Universiti dan media: Peluang strategik membina pengaruh ilmu di ruang awam

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Ruang media membolehkan universiti menterjemah penyelidikan kepada bahasa mudah difahami oleh masyarakat.
  • Pensyarah sebagai intelektual awam meningkatkan keterlihatan dan reputasi universiti melalui penulisan dan kemunculan media.
  • Universiti perlu sokong latihan penulisan media, bengkel komunikasi dan pengiktirafan impak sebagai sebahagian penilaian prestasi.
  • Keterlihatan digital menjadi aset reputasi, menarik kerjasama, mempengaruhi dasar dan menangkis naratif tanpa asas ilmu.

Dalam ekosistem pendidikan tinggi hari ini, universiti tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada penerbitan jurnal dan penarafan akademik untuk membina reputasi institusi. Dunia digital telah mengubah cara masyarakat menilai kewibawaan sesebuah universiti.

Kini, universiti turut dilihat berdasarkan kesediaan institusi itu hadir dalam wacana awam, membentuk pandangan masyarakat dan menyampaikan ilmu dalam bahasa yang mudah difahami.

Dalam konteks ini, ruang media sebenarnya membuka peluang strategik yang sangat besar kepada universiti.

Penulisan rencana umum oleh ahli akademik di platform seperti BERNAMA, Berita Harian, Astro Awani, RTM, Harian Metro dan portal berita digital bukan lagi sekadar aktiviti sampingan atau tanggungjawab sosial.

Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai instrumen penting untuk memperkukuh keterlihatan (visibility) universiti, membina reputasi kepakaran dan menghubungkan ilmu dengan masyarakat.

Media Sebagai Ruang Ilmu Universiti

Universiti moden tidak boleh lagi bergerak secara eksklusif dalam kelompok akademik tertutup. Penyelidikan yang baik tetapi hanya dibaca dalam jurnal berbayar atau dibincangkan dalam seminar tertentu akan menghadkan impak ilmu kepada masyarakat.

Sedangkan rakyat sebenarnya memerlukan penjelasan yang mudah tentang pelbagai isu semasa seperti kecerdasan buatan (AI), ekonomi rakyat, kesihatan mental, pendidikan, perubahan sosial, kewangan Islam, keselamatan digital dan cabaran keluarga moden.

Dalam banyak keadaan, universiti memiliki kepakaran dan data yang kukuh untuk membantu masyarakat memahami isu-isu ini dengan lebih tepat.

Di sinilah ruang media menjadi platform penting antara universiti dan masyarakat secara dinamik.

Penulisan rencana umum memberi peluang kepada ahli akademik menterjemahkan hasil penyelidikan kepada bentuk yang lebih santai, relevan dan mudah difahami dengan laras Bahasa yang bersesuaian tanpa menghilangkan nilai ilmunya.

Jika universiti tidak mahu memanfaatkan ruang ini, masyarakat akan lebih banyak mendapatkan maklumat daripada media sosial, pencipta kandungan atau ‘pakar segera’ yang tidak semestinya mempunyai asas ilmu yang kukuh.

Pensyarah Sebagai Wajah Intelektual Awam

Setiap kali pensyarah menulis di media atau tampil sebagai panel televisyen, radio dan podcast, bukan sahaja nama individu dan kepakarannya yang mendapat perhatian. Tinta dan suara ahli akademik turut membawa universiti menerima limpahan reputasi.

Masyarakat akan mula mengaitkan universiti tertentu dengan kepakaran bidang tertentu.

Pensyarah yang konsisten membincangkan isu ekonomi, teknologi, pendidikan atau sosial misalnya akan menjadikan universitinya lebih dikenali sebagai pusat rujukan ilmu dalam bidang tersebut.

Inilah konsep kesarjanaan awam atau public scholarship, yang kian diberi perhatian di peringkat global.

Universiti terkemuka dunia dan tempatan yang bukan sahaja terkenal kerana kekuatan penyelidikannya, tetapi juga kerana kemampuan ahli akademiknya membentuk perbincangan awam dan dasar negara.

Dalam era komunikasi digital, keterlihatan akademik bukan lagi terbina hanya melalui sitasi jurnal, tetapi juga melalui kemampuan institusi hadir secara aktif dalam ekosistem media dan perbincangan masyarakat.

Peluang Besar dalam Pelbagai Kategori Penulisan

Ruang media sebenarnya menawarkan peluang yang sangat luas kepada universiti untuk menghasilkan kandungan berilmiah dalam pelbagai kategori.

Ahli akademik bidang ekonomi boleh menulis tentang kos sara hidup, kewangan peribadi dan peluang pekerjaan. Pensyarah komunikasi boleh membincangkan isu literasi media, budaya digital dan pengaruh media sosial.

Bidang pendidikan pula boleh mengupas cabaran generasi muda, keciciran pembelajaran dan masa depan sistem pendidikan negara.

Begitu juga ahli akademik dalam bidang kesihatan, undang-undang, psikologi, sains politik, teknologi, pertanian dan alam sekitar. Semua bidang mempunyai nilai besar untuk diterjemahkan kepada masyarakat melalui pendekatan penulisan umum.

Malah, media hari ini tidak lagi terhad kepada akhbar atau televisyen semata-mata. Kandungan ilmu juga boleh dikembangkan melalui podcast, video pendek, portal berita digital, webinar dan media sosial institusi.

Ini memberi peluang lebih luas kepada universiti untuk membina pengaruh secara konsisten.

Keterlihatan Digital Kini Aset Reputasi

Dalam dunia yang dikuasai algoritma dan enjin carian, keterlihatan digital menjadi aset reputasi yang sangat penting. Universiti yang aktif menyumbang pandangan di media akan lebih mudah ditemui, disebut dan dikenali masyarakat.

Pelajar dan ibu bapa hari ini juga membuat penilaian terhadap universiti melalui jejak digital institusi. Mereka mahu melihat sama ada pensyarah aktif berkongsi ilmu, sama ada universiti terlibat dalam isu masyarakat dan sama ada institusi itu relevan dengan realiti semasa.

Keterlihatan yang dibina melalui perkongsian ilmu lebih dipercayai berbanding promosi institusi semata-mata. Ia memberi gambaran bahawa universiti mempunyai budaya intelektual yang hidup dan dekat dengan masyarakat.

Pada masa yang sama, kehadiran media turut membuka peluang kerjasama lebih luas dengan industri, agensi kerajaan, NGO dan pembuat dasar.

Banyak peluang konsultasi, penyelidikan bersama dan jaringan strategik yang lebih besar sebenarnya bermula daripada keterlihatan dan pengaruh awam.

Sokongan Universiti Terhadap Budaya Keterlihatan Media

Namun begitu, untuk menjadikan media sebagai ruang strategik universiti, ahli akademik juga memerlukan sokongan institusi.

Penulisan media mempunyai pendekatan yang berbeza daripada jurnal akademik. Ia memerlukan gaya bahasa yang mudah, naratif yang kuat, tajuk yang menarik dan keupayaan menghubungkan ilmu dengan realiti masyarakat.

Cabaran utama ramai pensyarah ialah kecenderungan menggunakan bahasa terlalu teknikal sehingga sukar difahami pembaca umum.

Sedangkan masyarakat membaca media secara pantas dan terpilih. Jika artikel terlalu panjang atau terlalu teoritikal, pembaca mudah hilang minat.

Oleh itu, universiti wajar menyediakan latihan penulisan media, bengkel komunikasi awam dan galakan profesional kepada pensyarah yang berpotensi menyumbang dalam ruang media.

Sumbangan penulisan umum dan perkongsian melalui televisyen dan radio, juga media sosial lain turut perlu dilihat sebagai sebahagian daripada impak universiti kepada masyarakat.

Ia juga bukan sekadar khidmat sosial yang dilihat tidak mempunyai nilai strategik terutama dalam nilai sasaran kerja atau penilaian prestasi.

Peluang Universiti Memasyarakatkan Ilmu

Hakikatnya, ruang media hari ini sedang dipenuhi oleh pelbagai suara dan pengaruh yang belum tentu berasaskan ilmu dan fakta yang sahih.

Jika universiti tidak mengambil peluang untuk hadir secara aktif dalam ruang ini, masyarakat akan terus dibentuk oleh naratif yang belum tentu tepat bersumberkan ilmu dan adab atau etika yang baik.

Universiti wajar melihat dan memanfaatkan media sebagai rakan strategik dalam menyebarluaskan ilmu kepada masyarakat.

Penulisan rencana umum dan kemunculan di televisyen dan radio atau TikTok bukan soal populariti, tetapi medium membina pengaruh ilmu, memperkukuh reputasi institusi dan memastikan universiti terus relevan dalam kehidupan rakyat secara bertanggungjawab.

Dalam era digital yang sangat kompetitif, universiti boleh menimbangkankan idea ‘visibility creates authority, and authority attracts influence’. Mencontohi beberapa universiti luar negara dan tempatan yang mempunyai kekuatan pengaruh pemikiran awamnya.

Sebahagian besarnya juga aktif menghasilkan komentar dasar awam, dan agresif menampilkan ahli akademik mereka dalam media dan forum global.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

AHMAD YANI ISMAIL
Ahmad Yani Ismail
Pensyarah
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: ahmadyani@uis.edu.my


Rahmahtunnisah Sailin
Pensyarah Komunikasi dan Media
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor
E-mel: rahmahtunnisah@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.