
SAUDARA PENGARANG
- Penguatkuasaan kerajaan penting tetapi perlu disokong oleh pengguna celik digital yang membuat semakan sebelum membuat pembayaran.
- Gunakan ulasan di Google Review dan Facebook untuk menilai layanan, pengurusan visa, hotel, pengangkutan dan mutu mutawif.
- Baca komen terperinci dan perhatikan aduan berulang seperti pertukaran hotel, kelewatan, kegagalan jadual, sukar dihubungi atau masalah bayaran balik.
- Amalkan prinsip "semak dahulu sebelum bayar" dan pilih agensi berdasarkan kredibiliti serta pengalaman pelanggan, bukan harga semata.
Kes penipuan pakej umrah terus menjadi kebimbangan masyarakat walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi membanteras kegiatan tersebut.
Berdasarkan maklumat daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Dewan Rakyat, sebanyak 204 aduan berkaitan penipuan umrah melibatkan anggaran kerugian melebihi RM3.6 juta direkodkan bagi tempoh 2024 hingga Mei 2025.
Jumlah kerugian ini bukan sahaja besar, malah mencerminkan kesan kewangan yang terpaksa ditanggung oleh para jemaah. Statistik ini menunjukkan bahawa isu penipuan umrah masih berlaku dan memerlukan perhatian serta tindakan berterusan daripada semua pihak.
Kerajaan sememangnya telah mengambil pelbagai langkah bagi melindungi pengguna, termasuk memperkukuh penguatkuasaan, mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang melanggar peraturan, memperketatkan syarat pelesenan serta menambah baik mekanisme kawal selia industri umrah.
Usaha ini amat penting dan wajar diteruskan. Namun, usaha tersebut perlu disokong oleh tindakan pengguna sendiri dalam membuat keputusan yang lebih bijak sebelum memilih agensi umrah.
Dalam bidang pemasaran, keputusan pembelian yang baik bergantung kepada maklumat yang diperoleh sebelum sesuatu pembelian dibuat. Dalam era digital hari ini, bakal jemaah mempunyai akses kepada pelbagai sumber maklumat yang boleh membantu mereka menilai sesebuah agensi.
Malangnya, masih terdapat pengguna yang membuat keputusan hanya berdasarkan iklan di media sosial, promosi harga yang menarik atau cadangan individu tertentu tanpa melakukan semakan yang lebih menyeluruh.
Hakikatnya, ibadah umrah bukan sekadar satu urusan pembelian biasa. Ia melibatkan perbelanjaan yang besar, persediaan yang rapi serta harapan untuk menjadi tetamu Allah. Oleh itu, pemilihan agensi tidak seharusnya dibuat secara tergesa-gesa atau hanya kerana tertarik dengan tawaran harga yang lebih murah daripada pasaran.
Salah satu sumber maklumat yang wajar dimanfaatkan ialah ulasan pengguna dalam talian (online consumer reviews) yang terdapat pada platform seperti Google Review dan Facebook.
Berbeza dengan bahan promosi yang diterbitkan oleh syarikat, ulasan pengguna lazimnya mencerminkan pengalaman sebenar pelanggan yang pernah menggunakan perkhidmatan agensi berkenaan.
Melalui ulasan tersebut, bakal jemaah dapat menilai pelbagai aspek penting seperti layanan kakitangan, kecekapan pengurusan visa, kualiti hotel, pengangkutan, penyediaan makanan, mutu perkhidmatan mutawif serta keupayaan agensi mengendalikan sebarang isu yang timbul sepanjang perjalanan.
Bagaimanapun, pengguna perlu bijak menilai ulasan yang dibaca. Jangan sekadar melihat jumlah penarafan bintang, sebaliknya luangkan masa membaca komen pelanggan secara terperinci.
Perhatikan sama ada terdapat aduan yang berulang seperti kelewatan penerbangan, pertukaran hotel tanpa dimaklumkan, kegagalan memenuhi jadual perjalanan, kesukaran menghubungi pihak syarikat atau masalah mendapatkan bayaran balik.
Jika isu yang sama sering dibangkitkan oleh pelanggan yang berbeza, ia seharusnya menjadi petunjuk awal sebelum membuat keputusan.
Pada masa yang sama, ulasan pengguna bukan sahaja membantu mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan, malah menjadi petunjuk kepada kualiti perkhidmatan sesebuah agensi.
Sebuah syarikat mungkin beroperasi secara sah dan mematuhi semua syarat pelesenan, namun pengalaman pelanggan terdahulu boleh mendedahkan kelemahan dari segi pengurusan, komunikasi dan penyampaian perkhidmatan.
Sebaliknya, ulasan yang konsisten positif daripada ramai pelanggan mampu meningkatkan keyakinan terhadap kredibiliti dan reputasi syarikat tersebut.
Penguatkuasaan kerajaan akan terus menjadi benteng utama dalam membanteras penipuan umrah. Namun, benteng tersebut perlu diperkukuh dengan kesedaran pengguna untuk membuat semakan sebelum membuat pembayaran.
Gabungan antara penguatkuasaan yang berkesan dan pengguna yang lebih celik digital bukan sahaja mampu mengurangkan risiko penipuan, malah dapat menggalakkan agensi umrah meningkatkan mutu perkhidmatan mereka melalui persaingan yang sihat.
Akhirnya, sebelum memilih agensi umrah, jadikan prinsip “semak dahulu sebelum bayar” sebagai amalan. Luangkan sedikit masa untuk menyemak latar belakang syarikat, membaca ulasan pengguna di Google Review, Facebook dan platform lain, bagi mendapatkan pandangan daripada mereka yang pernah menggunakan perkhidmatan agensi tersebut.
Langkah yang hanya mengambil masa beberapa minit ini mampu mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan dan membantu bakal jemaah membuat keputusan yang lebih bijak.
Lebih penting, ia dapat membantu mereka memilih agensi yang bukan sahaja sah beroperasi, malah benar-benar berupaya memberikan perkhidmatan yang berkualiti bagi memastikan ibadah umrah dapat dilaksanakan dengan lebih tenang, selesa dan sempurna.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Muhamad Izaidi Ishak
Pensyarah Pemasaran
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis
E-mel: izaidi@unimap.edu.my