Tangani buli remaja melalui seni budaya: Membina empati, memperkukuh jati diri

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Buli mencerminkan krisis empati dan jati diri remaja, bukan sekadar masalah disiplin.
  • Seni budaya membina empati melalui pengalaman watak, ekspresi dan pemahaman perspektif orang lain.
  • Penglibatan seni mengajar disiplin, pengawalan emosi, kerjasama dan ketahanan mental dalam konteks kumpulan.
  • Pendekatan menyeluruh melibatkan keluarga, sekolah, komuniti dan agensi untuk kukuhkan pendidikan karakter melalui seni budaya.

Setiap kali negara dikejutkan dengan insiden buli dalam kalangan remaja, perhatian umum sering tertumpu kepada persoalan hukuman, disiplin dan kegagalan pemantauan di institusi pendidikan. Reaksi sedemikian sememangnya penting dalam memastikan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara.

Namun di sebalik setiap insiden buli wujud persoalan yang lebih mendasar dan perlu direnungkan secara kolektif iaitu mengapa seorang remaja sanggup menyakiti, memperlekeh atau mengaibkan rakannya tanpa rasa belas kasihan?

Persoalan ini membawa kita kepada satu hakikat yang lebih kompleks bahawa buli bukan sekadar isu disiplin semata-mata tetapi juga mencerminkan krisis empati, nilai kemanusiaan dan jati diri dalam kalangan sebahagian remaja masa kini.

Oleh itu, usaha menangani gejala ini tidak wajar hanya tertumpu kepada pendekatan hukuman tetapi perlu diperluaskan kepada aspek pembentukan karakter secara menyeluruh.
Menurut data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebanyak 7,681 kes buli direkodkan pada tahun 2024 berbanding 6,528 kes pada tahun 2023.

Walaupun peningkatan ini boleh dikaitkan dengan sistem pelaporan yang semakin berkesan dan kesedaran masyarakat untuk melaporkan kes buli, hakikatnya gejala tersebut masih menjadi cabaran besar dalam sistem pendidikan negara.

Statistik ini memperlihatkan bahawa usaha menangani buli tidak boleh bergantung kepada tindakan disiplin semata-mata sebaliknya perlu diperkukuh dengan pendekatan yang membina nilai, empati dan jati diri dalam kalangan generasi muda.

Dalam era digital hari ini remaja membesar dalam persekitaran sosial yang jauh berbeza berbanding generasi terdahulu. Akses tanpa sempadan kepada media sosial dan budaya digital telah membentuk pola interaksi baharu yang sering mengutamakan populariti, perhatian dan penilaian segera.

Dalam keadaan tertentu, budaya ini boleh menghakis sensitiviti terhadap perasaan orang lain sekali gus menyumbang kepada fenomena buli siber dan penyebaran kandungan yang mengaibkan individu.

Krisis Empati Dan Pembentukan Nilai Remaja

Empati merujuk kepada keupayaan seseorang untuk memahami dan merasai pengalaman orang lain sebelum bertindak.

Individu yang mempunyai empati tinggi akan lebih berhati-hati dalam tindakan dan pertuturan kerana menyedari bahawa setiap perbuatan memberi kesan kepada emosi dan kesejahteraan orang lain. Sebaliknya kekurangan empati boleh menyebabkan seseorang bertindak secara impulsif tanpa mempertimbangkan kesan terhadap mangsa.

Dalam konteks buli, kekurangan empati menjadi faktor penting yang menyumbang kepada berlakunya tingkah laku agresif dan tidak berperikemanusiaan.

Justeru, usaha membina empati tidak boleh hanya bergantung kepada pendekatan disiplin tetapi perlu diperkukuh melalui pendidikan pengalaman yang membentuk kepekaan sosial dan nilai kemanusiaan sejak usia muda. Di sinilah pendidikan seni dan budaya memainkan peranan yang signifikan.

Seni Budaya Sebagai Medium Pembentukan Karakter

Seni budaya sering kali dilihat sebagai aktiviti kokurikulum atau platform pengembangan bakat semata-mata. Hakikatnya, proses penglibatan dalam seni budaya merupakan satu bentuk pendidikan tidak formal yang membentuk disiplin, kesabaran, kerjasama dan rasa hormat terhadap orang lain.

Dalam aktiviti seperti tarian tradisional, muzik, teater, silat atau persembahan kebudayaan setiap individu perlu memahami peranan masing-masing dalam satu kesatuan persembahan. Kejayaan tidak bergantung kepada individu secara berasingan tetapi kepada keharmonian dan kerjasama seluruh kumpulan.

Proses ini secara tidak langsung mendidik peserta untuk menghargai peranan orang lain serta memahami kepentingan saling bergantung dalam kehidupan sosial.

Selain itu, seni budaya turut mengajar pengawalan emosi, disiplin diri dan kesungguhan dalam mencapai sesuatu matlamat.

Latihan yang berulang, teguran daripada jurulatih serta proses penambahbaikan berterusan membentuk ketahanan mental dan keupayaan menerima kritikan secara positif. Elemen-elemen ini merupakan asas penting dalam pembentukan individu yang stabil dari segi emosi dan sosial.

Lebih penting, seni budaya juga membina empati melalui pengalaman memahami watak, ekspresi dan naratif manusia. Dalam teater misalnya, pelakon perlu memahami latar belakang dan emosi watak yang dibawa.

Proses ini membantu individu melihat dunia daripada perspektif orang lain, sekali gus meningkatkan kepekaan terhadap perasaan manusia lain.

Menyuburkan Empati Melalui Pengalaman Budaya

Kajian dalam bidang pendidikan seni dan psikologi sosial menunjukkan bahawa penglibatan aktif dalam aktiviti seni berkumpulan mempunyai hubungan positif dengan perkembangan kemahiran sosial seperti empati, kerjasama dan regulasi emosi.

Pengalaman berkongsi ruang kreatif dan bekerjasama dalam satu pasukan membantu individu memahami kepelbagaian manusia serta membina sikap toleransi.

Dalam konteks ini, seni budaya bukan sahaja membentuk bakat, tetapi turut berfungsi sebagai ruang pembelajaran nilai kehidupan. Ia memberi peluang kepada remaja untuk mengalami sendiri dinamika hubungan sosial yang sihat sekali gus mengurangkan kecenderungan kepada tingkah laku negatif seperti buli.

Peranan Agensi Dan Ekosistem Budaya

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melalui pelbagai program pengembangan bakat seni budaya di peringkat negeri dan komuniti telah menyediakan ruang pembelajaran yang inklusif kepada generasi muda.

Program seperti bengkel seni, latihan kebudayaan, aktiviti komuniti dan persembahan warisan bukan sahaja bertujuan melahirkan penggiat seni, tetapi turut menjadi platform pembentukan sahsiah dan jati diri.

Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) serta agenda Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan insan secara holistik, seimbang dan berteraskan nilai kemanusiaan.

Dalam konteks ini, seni budaya tidak lagi boleh dilihat sebagai aktiviti sampingan tetapi sebagai sebahagian daripada ekosistem pembangunan modal insan negara.

Pendekatan Menyeluruh Membendung Buli

Usaha menangani gejala buli memerlukan pendekatan pelbagai dimensi yang melibatkan institusi keluarga, sekolah, komuniti dan agensi kerajaan. Tindakan disiplin semata-mata tidak mencukupi sekiranya akar permasalahan iaitu pembentukan nilai dan empati tidak ditangani secara berkesan.

Oleh itu, pendidikan karakter melalui seni budaya wajar diperkukuh sebagai salah satu pendekatan pencegahan jangka panjang. Ia bukan bertujuan menggantikan sistem pendidikan sedia ada tetapi melengkapkannya dengan elemen pembentukan jiwa dan nilai kemanusiaan.

Kesimpulan

Jika kita benar-benar ingin melihat generasi muda yang bebas daripada budaya buli, kita perlu melangkaui pendekatan hukuman semata-mata dan memberi tumpuan kepada pembinaan karakter sejak awal. Dalam hal ini seni budaya menawarkan ruang pendidikan yang unik kerana ia bukan sahaja membentuk kemahiran, tetapi juga membina jiwa.

Seni budaya mengajar manusia untuk mendengar, memahami, menghormati dan bekerjasama. Nilai-nilai ini merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang berempati dan beradab.

Mungkin sudah tiba masanya kita melihat pengembangan bakat seni budaya bukan sekadar sebagai aktiviti kokurikulum tetapi sebagai pelaburan strategik negara dalam membina generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu tetapi juga luhur dari segi budi dan perwatakan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Muhsinatul Amal Mustapha
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
E-mel: muhsinatul@jkkn.gov.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.