Subsidi petrol dan krisis global : Kepimpinan PMX melindungi rakyat Malaysia

Foto AFP

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Kepimpinan PMX mengekalkan subsidi petrol, melindungi rakyat daripada lonjakan harga minyak dunia.
  • Kawalan harga bahan api memutus rantaian kenaikan kos, mengurangkan tekanan inflasi jangka pendek dan panjang.
  • Pelarasan harga diesel untuk hentikan ketirisan, sambil bantuan bersasar BUDI MADANI memastikan keadilan.
  • Pendekatan seimbang: lindungi rakyat sekarang sambil merancang penyesuaian subsidi RON95 berperingkat demi kelestarian fiskal.

Dalam dunia yang semakin tidak menentu, konflik yang berlaku di Asia Barat yang semakin meruncing mungkin kelihatan jauh daripada kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Namun realitinya, kesan daripada ketegangan ini sampai terus ke dalam ekonomi negara melalui kenaikan harga minyak dunia.

Apabila bekalan minyak terganggu di kawasan strategik, harga meningkat dengan cepat dan seterusnya memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat.

Dalam keadaan seperti ini, keupayaan sesebuah kerajaan untuk bertindak dengan tepat menjadi penentu sama ada rakyat akan terbeban atau terus dilindungi.

Namun yang lebih penting, rakyat Malaysia perlu melihat gambaran yang lebih besar dan mensyukuri bahawa negara ini dipimpin oleh sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

Dalam keadaan di mana banyak negara lain gagal mengurus krisis bahan api sehingga menyebabkan kenaikan harga yang mendadak, beban hidup yang berat dan suasana panik dalam kalangan rakyat, keadaan tersebut tidak berlaku di Malaysia.

Pendekatan Kerajaan MADANI memperlihatkan satu cara berfikir yang matang dan di luar kebiasaan, dengan menyeimbangkan antara keperluan ekonomi dan kebajikan rakyat secara serentak.

Di Malaysia, pendekatan yang diambil oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan satu bentuk kepimpinan yang tenang dan berfokus kepada kebajikan rakyat.

Ketika banyak negara terpaksa menaikkan harga petrol akibat tekanan pasaran global, Malaysia memilih untuk mengekalkan kestabilan harga melalui subsidi.

Keputusan ini bukan sahaja mencerminkan kepekaan terhadap kesusahan rakyat, malah menunjukkan keberanian dalam membuat pilihan yang memberi keutamaan kepada kesejahteraan masyarakat.

Rekod kenaikan kos bahan api juga menunjukkan bahawa kenaikan harga minyak dunia hampir pasti membawa kepada kenaikan harga barang secara menyeluruh.

Apabila kos bahan api meningkat, kos pengangkutan dan pengeluaran turut meningkat, seterusnya mendorong kenaikan Indeks Harga Pengguna.

Keadaan ini menyebabkan kadar inflasi dalam negara meningkat dengan cepat. Lebih membimbangkan, apabila harga barang sudah naik, ia jarang kembali ke paras asal sebelum kenaikan berlaku.

Dalam erti kata lain, kesan inflasi ini bersifat berpanjangan dan sukar dipulihkan.

Justeru, langkah kerajaan mengawal kenaikan harga melalui kawalan kos bahan api adalah satu tindakan strategik yang penting.

Dengan mengekalkan harga petrol pada paras yang stabil, kerajaan sebenarnya sedang memutuskan rantaian kenaikan harga sebelum ia merebak ke seluruh ekonomi.

Ini bukan sahaja membantu rakyat dalam jangka pendek, tetapi juga mengelakkan tekanan inflasi yang lebih besar dalam jangka panjang.

Tekanan Fiskal Berbanding Kurang Kuasa Beli Rakyat

Beban tambahan subsidi bahan api yang perlu ditanggung oleh kerajaan masih terkawal, khususnya jika dibandingkan dengan kesan inflasi menyeluruh yang akan berlaku sekiranya harga bahan api dinaikkan.

Hal ini kerana kenaikan harga barang akan mengurangkan kuasa beli rakyat, sekali gus berpotensi meruntuhkan usaha kerajaan untuk mengeluarkan isi rumah miskin daripada garis kemiskinan.

Selain itu usaha untuk meningkatkan jumlah bantuan bulanan yang perlu disediakan bagi menyokong golongan B40 dan M40 terbawah juga akan terjejas.

Melalui subsidi petrol, harga RON95 tetap dikekalkan walaupun harga minyak dunia meningkat. Kesan daripada langkah ini sangat besar kepada kehidupan harian.

Kos pengangkutan tidak melonjak secara mendadak, harga makanan lebih terkawal dan tekanan inflasi dapat dikurangkan.

Dalam erti kata yang lebih luas, subsidi ini berfungsi sebagai pelindung kepada kestabilan sosial, memastikan rakyat tidak terbeban secara mendadak akibat krisis global yang berada di luar kawalan mereka.

Namun dalam masa yang sama, terdapat juga suara suara yang mula menyerang kepimpinan PMX dengan alasan harga minyak diesel terlalu tinggi.

Kritikan ini sering dilihat secara luaran tanpa memahami realiti sebenar yang dihadapi oleh kerajaan. Hakikatnya, terdapat beberapa alasan penting mengapa harga diesel tidak boleh dikekalkan terlalu rendah seperti sebelum ini.

Harga diesel yang terlalu rendah sebelum ini telah menyebabkan ketirisan yang serius, apabila ia disalahgunakan melalui aktiviti arbitraging seperti pembelian diesel bersubsidi untuk dijual semula pada harga lebih tinggi.

Akibatnya, subsidi tidak sampai kepada golongan yang sepatutnya.

Pelarasan harga diesel dilakukan bagi menutup ruang penyelewengan ini, bukan untuk membebankan rakyat.

Pada masa yang sama, kerajaan memperkenalkan pendekatan bersasar melalui program BUDI MADANI, termasuk bantuan seperti subsidi tunai pukal sekitar RM300 kepada golongan layak, bagi memastikan bantuan sampai dengan lebih adil dan tepat.

Pendekatan ini memastikan bantuan lebih tepat sasaran tanpa membuka ruang kepada ketirisan yang berlaku sebelum ini. Di sinilah terserlah kekuatan kepimpinan semasa.

Keputusan untuk terus melindungi rakyat walaupun berdepan tekanan fiskal menunjukkan satu bentuk tanggungjawab yang jelas terhadap kesejahteraan negara.

Pada masa yang sama, kerajaan tidak mengabaikan keperluan untuk mengurus kewangan negara dengan lebih baik melalui pendekatan yang lebih tersusun dan berstrategi.

Apa yang menarik dalam pendekatan ini ialah keseimbangan antara tindakan jangka pendek dan perancangan jangka panjang. Dalam jangka pendek, rakyat dilindungi daripada kejutan harga yang mendadak.

Dalam jangka panjang pula, usaha sedang dilakukan untuk memperbaiki sistem subsidi agar lebih bersasar, memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar benar memerlukan.

Di samping itu, penambahbaikan dalam bantuan tunai dan usaha mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil menunjukkan bahawa kerajaan tidak hanya bertindak balas terhadap krisis, tetapi juga sedang membina asas ekonomi yang lebih mampan.

Kerajaan MADANI bukan sahaja bertindak balas terhadap krisis, tetapi merancang dengan teliti agar rakyat tidak menjadi mangsa keadaan global.

Inilah nilai sebenar sebuah kerajaan yang berfungsi dengan baik, iaitu bukan sekadar mentadbir, tetapi menjaga dan melindungi rakyat dalam setiap keadaan.

Perlu Ada Pengorbanan Dari Rakyat

Namun begitu, dalam usaha memastikan kelestarian kewangan negara pada masa hadapan, mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan penyesuaian secara berperingkat terhadap harga subsidi RON95 kepada satu paras yang lebih munasabah.

Paras itu seperti dalam lingkungan RM2.20 hingga RM2.50 seliter.

Berdasarkan penggunaan bahan api tersebut yang dianggarkan pada 1.4 billion sebulan, kerajaan boleh menjimatkan hampir RM70 juta sebulan.

Langkah ini boleh membantu mengurangkan beban subsidi negara tanpa memberi kejutan besar kepada rakyat, sekiranya dilaksanakan dengan teliti dan disertai mekanisme perlindungan yang sesuai.

Akhirnya, krisis global seperti konflik Iran dan Amerika Syarikat mungkin tidak dapat dielakkan, tetapi kesannya terhadap rakyat boleh diurus dengan baik.

Malaysia telah menunjukkan bahawa walaupun berdepan tekanan luar, kestabilan dalam negara masih boleh dipertahankan melalui dasar yang tepat dan kepimpinan yang berprinsip.

Kepimpinan yang ada hari ini telah membuktikan bahawa rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Mohd Amim Othman
Pensyarah Kanan
Fakulti Ekologi Manusia
Universiti Putra Malaysia
E-mel: mohdamim@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.