Satu video, seribu andaian: Belajar bersangka baik ketika bencana

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Jangan buat andaian segera berdasarkan video ringkas; cari konteks dan fakta terlebih dahulu, kerana sangkaan boleh menjadi dosa menurut ajaran Islam.
  • Sebelum berkongsi atau memberi komen, semak sumber dan tarikh; satu hantaran boleh membantu atau melukakan, bertindak dengan penuh tanggungjawab.
  • Amalkan empati, tabayyun dan ingat pesanan al-Quran serta hadis; bertenang sebelum menghukum, berikan ruang kepada manusia dan fakta.

Apabila sesuatu bencana berlaku, media sosial sering menjadi jendela pertama untuk mengetahui apa yang sedang berlaku. Dalam beberapa saat, video dan gambar mangsa sudah tersebar di TikTok, Facebook, Instagram dan WhatsApp.

Kita melihat bangunan runtuh, manusia menyelamatkan diri, keluarga mencari orang tersayang dan petugas kecemasan bertungkus-lumus membantu mangsa.

Namun, dalam era media sosial, kita bukan sekadar menjadi penonton. Kita juga mudah menjadi pemberi komen, penganalisis tak bertauliah dan kadangkala “hakim” kepada mereka yang terlibat.

Hanya dengan melihat satu video berdurasi beberapa saat, kita boleh membuat pelbagai andaian. Mengapa mangsa tidak menyelamatkan diri lebih awal?

Mengapa mereka berada di tempat tersebut? Adakah ini balasan atas dosa-dosa yang mereka lakukan? Mengapa bantuan sering sampai lewat? Persoalannya, berapa banyak sebenarnya yang kita tahu?

Kita melihat beberapa saat daripada sebuah video, tetapi tidak melihat apa yang berlaku sebelum dan selepas kamera dirakam. Kita tidak tahu keadaan emosi mangsa, sama ada mereka sedang mencari ibu, ayah, anak atau pasangan.

Kita juga mungkin tidak tahu bahawa mereka baru sahaja kehilangan rumah, sumber pendapatan atau orang yang disayangi.

Dalam Islam, sikap tidak tergesa-gesa membuat andaian bukan perkara kecil. Allah SWT mengingatkan dalam Surah al-Hujurat, ayat 12: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa.”

Ayat ini mengajar kita supaya berhati-hati dengan sangkaan terhadap orang lain, khususnya apabila kita tidak mempunyai maklumat yang lengkap.

Rasulullah SAW juga mengingatkan agar umat Islam menjauhi prasangka buruk.

Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Baginda bersabda bahawa “berhati-hatilah kamu terhadap prasangka, kerana prasangka itu adalah sedusta-dusta percakapan.”

Dalam situasi bencana, prinsip ini menjadi semakin penting. Manusia mungkin bertindak di luar kebiasaan apabila berhadapan dengan ketakutan dan tekanan.

Ada yang berlari, ada yang kaku, ada yang menangis dan ada yang kelihatan tenang. Setiap manusia mempunyai reaksi berbeza terhadap situasi yang mengancam nyawa.

Malangnya, budaya media sosial kadangkala menjadikan tragedi sebagai ruang mencari kesalahan. Ruang komen dipenuhi tuduhan, sindiran dan andaian walaupun maklumat asal belum disahkan.

Malah, kadangkala sehingga menjadi perbalahan sesama sesame sendiri. Kita perlu bertanya kepada diri sendiri: Adakah apa yang saya lihat benar-benar menggambarkan keseluruhan keadaan?

Sebelum berkongsi sesuatu video, semak sumber, tarikh dan konteksnya. Sebelum menulis komen yang menghukum, tanyakan kepada diri sendiri: Jika saya berada di tempat mereka, adakah saya pasti mampu bertindak dengan lebih baik?

Bersangka baik bukan bermaksud kita menutup mata terhadap kesilapan. Sebaliknya, ia mengajar kita supaya memberikan ruang kepada fakta dan tabayyun terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan dan memberikan ruang kepada manusia sebelum menghukum mereka.

Kita mungkin tidak mampu menghentikan bencana, tetapi kita mempunyai kuasa untuk menentukan bagaimana kita bertindak balas terhadap penderitaan orang lain.

Satu hantaran boleh menjadi bahan ejekan, tetapi hantaran yang sama juga boleh membantu mencari mangsa, menghubungkan keluarga dan menyampaikan maklumat penting.

Justeru, dalam dunia yang bergerak terlalu pantas, mungkin kita perlu bertenang sebelum menghukum. Semak fakta dan memahami konteks situasi terlebih dahulu sebelum bertindak.

Tidak semua perkara memerlukan komen dan tidak semua video memerlukan penghakiman.

Sebelum membuat andaian, marilah kita memahami. Sebelum menghukum, marilah kita selidik dan mencari fakta terlebuh dahulu.

Sebelum menulis sesuatu yang mungkin melukakan orang lain, marilah kita ingat pesan agama untuk menjauhi prasangka kerana apabila bencana menimpa orang lain, cara kita melihat dan bercakap tentang manusia lain sebenarnya sedang memperlihatkan siapa diri kita yang sebenarnya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Mus’ab Khalili Bin Rosli
Pensyarah
Jabatan Multimedia Kreatif & Komputeran
Universiti Islam Selangor

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.