Ramai kawan tapi kenapa masih rasa sunyi?

Imej janaan AI/Penulis

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Berhubung secara digital tidak bermakna dekat; kita perlukan hubungan bermakna yang mendengar, memahami dan menghargai.
  • Media sosial dan AI memudahkan perbandingan dan menggantikan perbualan manusia; gunakan teknologi untuk mendekatkan, bukan menjauhkan.
  • Mulakan dengan tindakan kecil: letak telefon, dengar tanpa notifikasi, tanya 'Kau okay?' dan hidupkan nilai ukhuwah.

1,500 ‘friends’ di Facebook.
5 ribu ‘followers’ di Instagram.
Sepuluh WhatsApp group yang tidak pernah sunyi.

Kita hidup pada zaman manusia paling mudah berhubung antara satu sama lain. Namun, apabila hati terasa berat, kadangkala muncul satu soalan, “Aku nak cerita dengan siapa?” Ironinya, kita mungkin sentiasa connected, tetapi jauh di sudut hati masih terasa sunyi.

Connected Tidak Semestinya Dekat

Cuba lihat kehidupan kita hari ini. Bangun pagi, tangan mencari telefon. Ketika makan, telefon berada di atas meja. Dalam perjalanan, kita scroll media sosial. Sebelum tidur, telefon sekali lagi menjadi peneman.

Secara digital, kita hampir tidak pernah bersendirian. Kita boleh mengetahui seorang rakan sedang bercuti hanya melalui Instagram Story. Kita tahu tempat yang dilawatinya dan apa yang dimakannya. Namun, kita mungkin tidak tahu bahawa dia sebenarnya sedang melalui hari yang sangat sukar dalam kehidupannya.

Inilah paradoks dunia digital. Kita semakin tahu apa yang berlaku dalam kehidupan seseorang, tetapi tidak semestinya memahami apa yang berlaku dalam hatinya. Seribu ‘followers’ juga tidak bermaksud kita mempunyai seribu orang yang boleh dihubungi apabila sedang menghadapi masalah atau semasa memerlukan.

Manusia bukan sekadar memerlukan ‘connection’. Kita memerlukan ‘meaningful connection’ iaitu hubungan yang membuatkan kita berasa didengari, difahami dan dihargai.

Bila Hubungan Digital Tidak Mampu Mengisi Kesunyian

Media sosial memberikan ruang untuk manusia berhubung, tetapi ia juga membuka ruang kepada perbandingan sosial. Buka Instagram. Seorang rakan baru membeli rumah. Seorang lagi sedang bercuti. Ada yang dinaikkan pangkat. Ada yang baru menyambut cahaya mata. Ada pula memuat naik gambar keluarga yang kelihatan sempurna.

Kemudian kita melihat kehidupan sendiri lalu tertanya-tanya, “Kenapa hidup aku macam tak ke mana?”. Tanpa sedar, kita sebenarnya telah membandingkan keseluruhan kehidupan sendiri.Kita bandingkan masalah, kegagalan dan ketakutan kita dengan beberapa saat terbaik yang dipilih orang lain untuk dipamerkan.

Kini muncul pula satu fenomena baharu. Manusia bukan sahaja berhubung melalui teknologi, tetapi mula bercerita kepada teknologi. Kita membuka AI dan menaip.
“Aku rasa kesunyian”.

AI membalas. Ia tidak kelihatan bosan, tidak memotong cerita dan tersedia walaupun pada pukul dua pagi. AI boleh membantu menyusun fikiran dan menjadi ruang untuk refleksi diri. Namun, persoalan penting ialah bagaimana jika kita mula lebih selesa bercerita kepada mesin daripada manusia?

AI boleh menghasilkan tindakbalas yang kedengaran memahami, tetapi ia tidak mempunyai pengalaman dan emosi seperti manusia. Jika setiap kali sedih kita hanya mencari chatbot, teknologi yang sepatutnya menjadi alat sokongan mungkin perlahan-lahan mengambil ruang hubungan manusia sebenar.

Kembali kepada Hubungan yang Sebenar

Namun, teknologi bukan musuh. WhatsApp menghubungkan keluarga yang berjauhan. Media sosial membina komuniti. AI pula boleh membantu kita mendapatkan maklumat dan menyusun fikiran. Bukan baik atau buruknya teknologi itu yang perlu dirisaukan, tetapi bagaimana kita menggunakannya untuk mendekatkan manusia, bukan semakin menjauhkan mereka.

Jadi, mari kita mulakan dengan hari ini. Letakkan telefon ketika makan bersama keluarga. Apabila sahabat bercerita, dengar tanpa melihat notifikasi. Daripada sekadar memberikan emoji pada Story seseorang, cuba hubungi dan bertanya: “Kau okay?”. Kadangkala dua perkataan itu lebih bermakna daripada seratus ‘likes’ di Instagram.

Dalam Islam, hubungan sesama manusia bukan sekadar hubungan sosial. Kita diajar tentang ukhuwah, silaturahim dan kepedulian terhadap orang lain. Rasulullah SAW mengajar bahawa seseorang tidak sempurna imannya sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

Prinsip ini menjadi semakin bermakna dalam dunia digital.

Kita mungkin cepat memberikan like kepada kejayaan seseorang, tetapi adakah kita juga hadir ketika dia sedang jatuh?

Kita mungkin melihat ratusan Story setiap hari, tetapi bila kali terakhir kita benar-benar bertanya khabar tentang seseorang?

Kita mungkin mempunyai ramai kenalan di media sosial, tetapi adakah kita menyedari apabila seseorang di sekeliling kita sedang berasa sendirian?

Mungkin kita juga perlu mengubah satu kebiasaan. Daripada bertanya, “Kenapa tiada siapa mencari aku?”, sekali-sekala tanyakan, “Siapa yang aku belum tanya khabar hari ini?”.

Kerana mungkin di sebalik gambar yang tersenyum, status yang ceria, ada seseorang yang sedang menunggu untuk didengari. Dalam dunia yang mempunyai semakin banyak cara untuk ‘connect’, jangan sampai kita semakin kehilangan rasa dalam ukhuwah.

Akhirnya, nilai sebuah hubungan bukan terletak pada berapa ramai yang mengikuti kita di dunia maya, tetapi berapa ramai yang kita sentuh hatinya dengan kehadiran, kepedulian dan kasih sayang.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Farhana binti Abdullah Asuhaimi
Pensyarah
Jabatan Komputeran
Universiti Islam Selangor

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.