Pendaftaran sukarela Darjah Satu enam tahun, langkah progresif pendidikan negara

Gelagat ibu bapa murid Tahun Satu menyaksikan anak masing-masing memulakan hari pertama sesi persekolahan 2026 di SJK (Cina) Regent Elmina/Foto Fail BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengiktiraf kepelbagaian kadar perkembangan kanak-kanak dengan membenarkan pendaftaran Darjah Satu secara sukarela pada usia enam tahun.
  • Mengutamakan kesediaan sekolah berbanding usia kronologi selaras amalan terbaik antarabangsa.
  • Menggalakkan pendidikan yang lebih peribadi, inklusif dan berpusatkan murid mengikut keupayaan dan minat.
  • Menguatkan perkongsian rumah-sekolah bagi membuat keputusan pendaftaran awal dan menyokong perkembangan holistik murid.

Inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang membenarkan pendaftaran secara sukarela ke Darjah Satu bagi kanak-kanak seawal usia enam tahun bermula 2027 merupakan langkah progresif yang selaras dengan hasrat Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 dan mencerminkan fleksibiliti sistem pendidikan kita dalam memenuhi keperluan semasa.

Inisiatif ini mengakui bahawa setiap kanak-kanak berkembang pada kadar berbeza. Dengan memberi pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftar anak secara sukarela, kita menghormati kepelbagaian kematangan kognitif, emosi dan sosial murid.

Ini membolehkan kanak-kanak yang sudah bersedia dari segi mental dan emosi untuk memulakan pembelajaran formal lebih awal, sekali gus mengoptimumkan potensi mereka tanpa terikat kepada garis masa yang kaku.

Dunia pendidikan hari ini menuntut lebih banyak personalisasi dan kelenturan. Polisi ini menunjukkan responsif kerajaan terhadap evolusi keperluan pembelajaran abad ke-21, berdasarkan anggapan bahawa akses kepada pendidikan formal boleh disesuaikan dengan kesediaan individu.

Ia juga selari dengan amalan terbaik antarabangsa yang semakin mengutamakan “school readiness” berbanding sekadar usia kronologi.

Inisiatif ini selari dengan teras Rancangan Pendidikan Malaysia yang menekankan pendidikan berkualiti, inklusif dan berpusatkan murid. Dengan memberikan pilihan, kita mengukuhkan pendekatan berasaskan keupayaan dan minat murid, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan yang lebih holistik dan kompetitif.

Ia juga memperlihatkan komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi pendidikan yang progresif dan relevan.

Kajian akademik menunjukkan bahawa kanak-kanak yang diberikan peluang pembelajaran mengikut tahap kesediaan menunjukkan motivasi yang lebih tinggi, keyakinan diri yang kukuh, dan pencapaian akademik yang lebih baik dalam jangka panjang. Inisiatif ini boleh mengurangkan tekanan pembelajaran tidak sesuai usia dan membantu menggilap bakat murid seawal mungkin.

Dengan melibatkan ibu bapa dalam membuat keputusan pendaftaran awal, polisi ini mengukuhkan perkongsian tanggungjawab antara rumah dan sekolah. Ibu bapa yang memahami perkembangan anak boleh membuat pilihan terbaik, manakala sekolah pula dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih homogen dari segi kesediaan murid.

Inisiatif enam tahun masuk darjah satu secara sukarela merupakan langkah positif ke arah sistem pendidikan yang lebih lentur, adil dan berpusatkan murid. Inisiatif itu juga menjana ruang untuk pembangunan potensi murid secara optimum, sekali gus menyediakan generasi muda untuk menghadapi cabaran masa depan dengan lebih baik.

Inisiatif ini akan menyumbang secara signifikan kepada peningkatan kualiti pendidikan negara dan kesejahteraan holistik murid.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Fazilah Razali
Ketua Jabatan
Jabatan Asas Pendidikan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia
e-mel: fazilahrazali@upm.edu.my