
SAUDARA PENGARANG
- Wolbachia adalah bakteria semula jadi yang menghalang pembiakan virus denggi dalam nyamuk dan diwarisi secara maternal.
- Nyamuk aedes disuntik wolbachia untuk membentuk koloni; pelepasan rintis di Malaysia sejak 2017 mengekalkan bakteria wolbachia >90% dalam populasi.
- Hasil menunjukkan penurunan kes denggi ketara, purata 62% di kawasan pelepasan dan 36% di Putrajaya.
- Komuniti diminta bekerjasama, tidak panik jika nyamuk meningkat, teruskan pencegahan kendiri dan usaha cari serta musnah tempat pembiakan.
Umum mengetahui mengenai denggi dan kesannya kepada kesihatan manusia sehingga boleh membawa maut. Orang ramai juga maklum tentang langkah-langkah kawalan sedia ada seperti semburan kabus (fogging) dan penggunaan ubat jentik-jentik.
Namun begitu, kes denggi masih kekal tinggi di negara ini. Berdasarkan statistik daripada Portal iDengue, jumlah kes terkumpul sehingga 11 Julai 2026 adalah sebanyak 44,080 kes. Hal ini menunjukkan terdapat keperluan untuk memperkukuh kawalan denggi di Malaysia.
Menariknya, Malaysia sebenarnya sudah pun mengadaptasi satu teknologi inovatif bagi mengawal denggi. Melalui pendekatan ini, nyamuk Aedes yang mengandungi bakteria semula jadi yang dikenali Wolbachia dilepaskan ke kawasan yang berisiko tinggi atau kawasan yang kerap berlaku wabak denggi.
Teknologi ini dilihat sebagai salah satu cara yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada racun serangga dalam usaha kawalan denggi.
Apakah Wolbachia?
Wolbachia merupakan mikrob semula jadi dalam serangga termasuk nyamuk. Bakteria ini lazimnya diwariskan daripada ibu nyamuk kepada anak-anaknya.
Kehadiran bakteria ini dalam badan nyamuk berfungsi untuk menghalang virus denggi daripada terus membiak, sekali gus mengurangkan keupayaan nyamuk tersebut untuk menyebarkan virus denggi kepada manusia.
Secara semula jadi, nyamuk Aedes aegypti tidak mengandungi bakteria Wolbachia. Bagi mewujudkan ejen kawalan biologi, bakteria daripada nyamuk spesies lain disuntik ke dalam telur nyamuk Aedes aegypti untuk menghasilkan koloni nyamuk ber-Wolbachia.
Projek Wolbachia Malaysia
Di Malaysia, pembebasan terawal nyamuk ini telah dilakukan sekitar tahun 2017 oleh pasukan Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), di bawah Projek Wolbachia Malaysia. Kawasan rintis yang terlibat termasuk Keramat, Shah Alam, Petaling dan Gombak.
Walaupun aktiviti pelepasan ini hanya dilakukan dalam tempoh 20 hingga 27 minggu, kaedah ini mampu mengekalkan bakteria Wolbachia melebihi 90 peratus dalam populasi nyamuk selama beberapa tahun.
Ciri pewarisan maternal bakteria ini membolehkan populasi nyamuk tanpa Wolbachia secara beransur-ansur digantikan oleh nyamuk ber-Wolbachia.
Keberkesanan Wolbachia Dalam Mengurangkan Kes Denggi
Hasil yang memberangsangkan dapat dilihat apabila bilangan kes denggi dilaporkan semakin menurun, dengan purata penurunan sebanyak 62 peratus di kawasan-kawasan pelepasan nyamuk tersebut, seperti dilaporkan oleh artikel penyelidikan Hoffman dan rakan-rakan pada tahun 2024 yang diterbitkan dalam jurnal iScience.
Baru-baru ini, kes denggi dilaporkan turut menurun sebanyak 36 peratus di Putrajaya dan ini dikaitkan dengan nyamuk ber-Wolbachia.
Ini membuktikan keberkesanan dan potensinya sebagai kaedah kawalan denggi jangka panjang. Pencapaian ini telah terbukti bukan sahaja di Malaysia, malah di negara-negara lain yang turut dibelenggu masalah denggi seperti Indonesia dan Australia.
Peranan Komuniti Dalam Menjayakan Projek Wolbachia Malaysia
Justeru, orang ramai digalakkan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pasukan KKM bagi menjayakan strategi pelepasan nyamuk ber-Wolbachia ini.
Komuniti penduduk di kawasan pelepasan nyamuk ber-Wolbachia tidak perlu berasa panik sekiranya mendapati bilangan nyamuk meningkat daripada biasa selepas aktiviti pelepasan nyamuk.
Namun begitu, langkah pencegahan kendiri untuk mengelakkan gigitan nyamuk, seperti penggunaan penghalau nyamuk dan pemakaian pakaian yang bersesuaian adalah disarankan.
Selain itu, usaha membasmi tempat pembiakan nyamuk melalui aktiviti ‘cari & musnah’ dan gotong-royong di kawasan rumah dan tempat kerja hendaklah diteruskan.
Kesimpulan
Projek nyamuk ber-Wolbachia berpotensi besar dalam kawalan denggi. Namun, keberkesanannya tetap bergantung kepada kerjasama berterusan pelbagai pihak.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof. Madya Dr. Aishah Hani Azil
Pensyarah Kanan
Jabatan Parasitologi & Entomologi Perubatan
Fakulti Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia
E-mel: aishah.azil@gmail.com