
SAUDARA PENGARANG
- Pesta buku dan program ilmu menyuburkan budaya membaca serta menghubungkan penulis, penerbit, akademik dan pembaca.
- Budaya membaca adalah asas tamadun; ilmu membentuk kekuatan bangsa dan kemajuan pemikiran.
- Membaca mengubah cara berfikir, memperkukuh kebijaksanaan, dan menyampaikan pengalaman generasi ke generasi.
- Cabaran era digital dan kos penerbitan mengancam kelangsungan, namun buku bercetak tetap memelihara nilai emosi dan jiwa ilmu.
Di tengah dunia yang semakin bising dengan hiburan, media sosial dan lambakan maklumat tanpa sempadan, buku masih setia menjadi rumah kepada ilmu dan kebijaksanaan manusia.
Dalam arus kehidupan moden yang bergerak terlalu pantas, budaya membaca semakin diuji oleh budaya melihat sepintas lalu, membaca secara ringkas dan menilai sesuatu tanpa benar-benar memahami.
Namun, di celah perubahan zaman itu, masih ada insan yang sanggup meluangkan masa berjam-jam di antara rak-rak buku, menyentuh helaian demi helaian naskhah ilmu dan membawa pulang buku sebagai bekalan jiwa serta pemikiran.
Pemandangan seumpama ini membuktikan bahawa buku belum mati. Malah, ia terus hidup dalam hati masyarakat yang masih menghargai ilmu dan peradaban.
Pelbagai program berkaitan buku terus dianjurkan sebagai usaha menyuburkan budaya membaca.
Antaranya termasuklah pesta buku, forum ilmu, wacana penulisan dan pameran penerbitan yang menghimpunkan penulis, penerbit, ahli akademik dan pembaca daripada pelbagai latar belakang.
Program seperti ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi menjadi simbol perjuangan mempertahankan budaya ilmu dalam dunia yang semakin tenggelam dalam budaya segera.
Penganjuran pesta buku berskala besar seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), misalnya, memperlihatkan bahawa masyarakat sebenarnya masih dahagakan ilmu.
Jutaan pengunjung yang hadir saban tahun bukan hanya untuk membeli buku, tetapi untuk merasai sendiri suasana yang dipenuhi semangat membaca, berdiskusi dan mencintai ilmu pengetahuan.
Di situlah dapat dilihat bahawa buku masih mempunyai tempat yang sangat istimewa dalam jiwa masyarakat.
Budaya Membaca, Membina Tamadun
Sesebuah bangsa tidak menjadi hebat hanya kerana pembangunan pencakar langit, kemajuan teknologi atau kekuatan ekonomi semata-mata. Bangsa yang benar-benar kuat ialah bangsa yang menjadikan ilmu sebagai asas kehidupan.
Sejarah tamadun manusia membuktikan bahawa kegemilangan sesuatu masyarakat lahir daripada budaya membaca, menulis, mengkaji dan menyebarkan ilmu pengetahuan.
Perkembangan dunia penerbitan hari ini menunjukkan bahawa budaya membaca masih hidup dan terus berkembang.
Kehadiran pelbagai penerbit, syarikat buku dan penggiat industri kreatif dalam program berkaitan buku membuktikan bahawa dunia penerbitan masih aktif menyampaikan ilmu kepada masyarakat.
Apa yang lebih menarik, masyarakat kini tidak hanya mencari bahan bacaan santai, tetapi turut memberikan perhatian kepada karya akademik, motivasi, agama, pembangunan diri dan pelbagai bahan yang mampu menambah pengetahuan.
Situasi ini memberikan sinar harapan bahawa kesedaran terhadap kepentingan ilmu masih utuh walaupun dunia diasak gelombang digital.
Lebih membanggakan apabila golongan muda juga mula menunjukkan minat terhadap naskhah yang mampu membuka perspektif baharu tentang kehidupan dan masa depan.
Dalam keadaan dunia yang dipenuhi pengaruh media sosial dan hiburan segera, minat terhadap buku sebenarnya menjadi satu isyarat bahawa budaya berfikir masih belum sirna.
Membaca sebagai Asas Perubahan
Membaca bukan sekadar hobi mengisi masa lapang, tetapi merupakan wahana penting dalam membentuk cara manusia berfikir dan memahami kehidupan.
Sesebuah masyarakat yang membaca akan lebih terbuka dalam menerima pandangan, lebih matang dalam membuat keputusan dan lebih bijak dalam menilai sesuatu isu.
Perubahan besar dalam sejarah dunia juga lahir daripada masyarakat yang menghargai ilmu. Buku menjadi medium yang menyimpan pengalaman manusia, merakam sejarah dan menyampaikan pemikiran dari satu generasi kepada generasi yang lain.
Dalam Islam sendiri, perintah pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah berkaitan membaca. Firman Allah SWT dalam Surah al-‘Alaq ayat 1 yang bermaksud: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.”
Ayat ini membawa mesej yang sangat besar bahawa perubahan manusia bermula dengan ilmu dan pembacaan.
Tamadun yang besar tidak lahir daripada masyarakat yang malas membaca, tetapi daripada masyarakat yang sentiasa berusaha menambah pengetahuan dan memperbaiki pemikiran mereka.
Oleh sebab itu, usaha memupuk budaya membaca tidak boleh dipandang ringan. Ia perlu bermula dari rumah, diteruskan di sekolah dan disuburkan dalam masyarakat sehingga membaca menjadi budaya hidup, bukan sekadar keperluan akademik atau tuntutan pekerjaan.
Membawa Ilmu Lebih Dekat kepada Masyarakat
Bagi penulis, setiap pesta buku membawa makna yang lebih besar daripada sekadar himpunan naskhah dan jualan, tetapi menjadi ruang melihat ilmu terus hidup dalam jiwa masyarakat.
Program berkaitan buku memberikan ruang yang sangat besar untuk mendekatkan masyarakat dengan ilmu.
Melalui pesta buku dan pelbagai platform penerbitan, masyarakat dapat melihat bahawa buku bukan sekadar bahan bacaan, tetapi juga medium yang membentuk cara manusia memahami dunia.
Ramai pengunjung mula menyedari bahawa bahan ilmiah dan buku pengetahuan bukan hanya untuk golongan tertentu, tetapi boleh dibaca dan dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat.
Situasi ini sangat penting kerana masyarakat yang membaca ialah masyarakat yang mampu berfikir secara lebih matang dan rasional.
Pertemuan antara penulis, penerbit dan pembaca juga menjadikan dunia buku lebih manusiawi. Ada nilai estetika yang tidak dapat dirasai melalui transaksi pembelian dalam talian.
Melihat wajah pembaca yang datang mencari ilmu dan menyaksikan golongan muda membeli buku dengan penuh keterujaan sebenarnya memberikan harapan besar bahawa budaya ilmu masih belum tenggelam ditelan zaman.
Cabaran Dunia Buku dalam Era Digital
Walaupun dunia penerbitan masih bertahan, cabarannya semakin besar. Budaya membaca secara mendalam semakin digantikan dengan budaya membaca tajuk dan kapsyen pendek.
Masyarakat semakin terbiasa menerima maklumat secara segera tanpa benar-benar meneliti kesahihan dan nilai ilmu tersebut.
Dalam masa yang sama, peningkatan kos penerbitan turut memberi kesan kepada harga buku di pasaran.
Keadaan ini menjadi cabaran besar kepada penerbit untuk terus menghasilkan bahan bacaan berkualiti dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.
Namun begitu, buku bercetak tetap mempunyai jiwa yang tersendiri. Bau helaian buku, catatan kecil di penjuru muka surat dan pengalaman menyelak naskhah demi naskhah memberikan hubungan emosi yang sukar digantikan oleh skrin digital.
Di sinilah manusia kembali dipertemukan dengan dunia ilmu secara nyata, bukan sekadar melalui paparan piksel yang kaku.
Hakikatnya, buku bukan sekadar himpunan kertas bercetak. Di dalamnya terkandung denyut nadi pemikiran, pengalaman, perjuangan, dan harapan manusia.
Akhirnya, di celah lautan buku yang terbentang luas, tersimpan kompas untuk manusia terus mengenal diri, membina tamadun dan memahami kehidupan.
Selagi manusia masih mencari ilmu di tengah lautan buku, selagi itulah peradaban akan terus subur dan tidak akan tenggelam ditelan zaman.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Norashikin binti Azmi
Pegawai Tadbir
Universiti Islam Selangor (UIS)
E-mel: norashikinazmi@uis.edu.my