
SAUDARA PENGARANG
- Tata kelola bersih menimbulkan keyakinan pelabur asing, menarik gergasi teknologi dan mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk anak muda.
- Reformasi fiskal dan penguatkuasaan pulihkan dana awam, menyalurkan kembali bantuan tunai, pembiayaan hospital dan prasarana sekolah.
- Mengawal rasuah menurunkan kos perniagaan, membasmi kos tersembunyi permit dan menstabilkan harga barang untuk pengguna marhaen.
- Ketegasan tanpa pilih bulu perlu; gubal RUU Kebebasan Maklumat dan kuatkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat untuk sistem semak dan imbang.
APABILA kerajaan meletakkan sasaran berani untuk membawa Malaysia ke kedudukan 25 teratas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) global menjelang 2033, khalayak di media sosial tidak terus bertepuk tangan.
Mereka terus skeptik san skeptisisme itu ada asasnya. Adakah agenda ini sekadar retorik politik bermusim, atau satu tekad radikal untuk merombak sistem yang sekian lama dimamah ketirisan?
Bagi marhaen, ranking antarabangsa tidak membawa apa-apa makna selagi amalan “duit kopi” masih subur di kaunter penguatkuasaan dan dana awam terus bocor di sebalik kontrak rundingan terus.
Hakikatnya cukup pahit. Apa yang tercatat di atas kertas laporan antarabangsa sering terasa asing berbanding realiti kepayahan hidup yang didepani saban hari.
Namun angka ekonomi makro terbaharu mula bercerita lain. Lompatan Malaysia ke tangga 54 CPI dunia, yang disusuli lonjakan ke kedudukan 23 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) IMD, membuktikan satu hubungan yang sukar disangkal.
Tata kelola bersih ialah nadi kemakmuran ekonomi rakyat. Bukan sekadar persepsi. Hubungan ini menyentuh aspek fundamental pasaran kewangan dan keyakinan jangka panjang dunia terhadap kestabilan sistemik negara kita.
Tatkala sesebuah pentadbiran benar-benar serius dengan prinsip ketelusan, isyarat positif itu ditangkap pantas oleh penganalisis ekonomi global, lalu Malaysia kembali masuk dalam radar pelaburan utama rantau Asia Tenggara.
Korelasi antara integriti dan isi poket rakyat bukan lagi teori akademik yang diperdebatkan di dewan kuliah. Lihat sahaja rekod pelaburan diluluskan yang mencecah RM426.7 bilion.
Gergasi teknologi dunia seperti Google, Microsoft dan AWS sanggup bertapak di Malaysia kerana ekosistemnya telus dan bebas daripada risiko rasuah sistemik.
Pelabur digital terkemuka ini bukan calang-calang pemain. Mereka tidak hanya mengejar insentif cukai, sebaliknya lebih mementingkan kepastian undang-undang serta birokrasi yang bersih daripada amalan korup.
Kesannya kepada pasaran tempatan amat luar biasa. Lebih 240,000 peluang pekerjaan baharu tercipta.
Industri kita tidak lagi bersandar pada konsep buruh murah, sebaliknya beralih kepada sektor bernilai tinggi seperti jurutera siber, pakar kecerdasan buatan (AI) dan reka bentuk semikonduktor canggih yang menjanjikan tangga gaji lebih bermartabat untuk anak muda tempatan memecahkan belenggu perangkap pendapatan sederhana.
Di sisi lain, reformasi fiskal dan tindakan tegas menyekat ketirisan telah berjaya menyelamatkan hasil negara daripada terus dirompak oleh segelintir elit yang mementingkan diri sendiri.
Dana berbilion ringgit yang dipulihkan melalui penguatkuasaan bersepadu kini mengalir semula kepada rakyat, daripada pengukuhan bantuan tunai langsung seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada pemulihan kemudahan hospital awam dan pembiayaan prasarana sekolah di kawasan pedalaman.
Malah, ketegasan tata kelola ini menjadi benteng utama yang mengukuhkan nilai ringgit sehingga muncul antara mata wang paling berprestasi di Asia, hasil keyakinan padu pelabur asing terhadap pasaran domestik.
Apabila rasuah dikawal, kos menjalankan perniagaan menurun secara automatik. Peniaga kecil dan sederhana tidak perlu lagi memperuntukkan “kos tersembunyi” demi kelulusan permit. Maka rantaian inflasi buatan yang selama ini membebankan pengguna marhaen di kedai runcit terhenti dengan sendirinya.
Kita harus sedar bahawa membanteras rasuah bukan sekadar tugas moral atau tuntutan etika semata-mata. Ia strategi serampang dua mata bagi memastikan survival ekonomi yang ampuh.
Justeru, usaha mengejar kedudukan 25 teratas CPI dalam tempoh sedekad ini bukan perlumbaan angka statistik di atas kertas semata-mata, sebaliknya sebuah perjuangan ideologi untuk memastikan kekayaan hasil bumi Malaysia diagihkan secara adil kepada seluruh rakyat.
Apabila negara bebas daripada cengkaman rasuah institusi, agihan kekayaan tidak lagi tertumpu kepada kapitalis kroni. Ia tersebar luas kepada usahawan tulen melalui persaingan tender yang adil, telus dan kompetitif.
Pendek kata, lahirlah komuniti perniagaan tempatan yang berdaya saing tinggi di peringkat global tanpa perlu bertongkatkan talian hayat politik.
Langkah transformatif telah pun bermula. Tetapi cabaran sebenar yang bakal menguji iltizam kerajaan ialah konsistensi pelaksanaan tanpa wujudnya amalan memilih bulu.
Kerajaan wajib terus berani mengurung “jerung” rasuah tanpa mengira latar belakang dan pangkat, di samping menyegerakan reformasi institusi yang sekian lama tergantung.
Penggubalan RUU Kebebasan Maklumat serta memperkuat dan mengukuhkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tidak boleh lagi ditangguhkan sekiranya kita benar-benar mahu membina sistem semak dan imbang yang kalis masa hadapan. Tiada jalan tengah dalam soal ini.
Hanya dengan ketegasan yang tidak berbelah bahagi, impian melihat sebuah Malaysia yang bersih, berpendapatan tinggi dan bermaruah akan menjadi realiti yang dirasai setiap lapisan masyarakat, dari bandar metropolitan sehinggalah ke pelosok kampung.
Ringkasnya, bersih bukan slogan kosmetik pilihan raya. Ia jaminan mutlak untuk kelangsungan generasi masa depan kita.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Mohd Gunawan Che Ab Aziz
Timbalan Pengarah
Bahagian Perancangan Governans Nasional
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia