
SAUDARA PENGARANG
- T20, M40 dan B40 ialah pengkelasan pendapatan isi rumah digunakan untuk perancangan ekonomi, subsidi dan analisis jurang pendapatan.
- PAKW menilai perbelanjaan minimum diperlukan untuk hidup wajar termasuk pendidikan, kesihatan, komunikasi, pengangkutan dan penyertaan sosial asas.
- Pendapatan sahaja tidak mencukupi; PAKW menonjolkan realiti kos sara hidup dan perlu jadi rujukan bagi penetapan gaji serta dasar sosial.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, istilah T20, M40, B40 dan PAKW semakin kerap digunakan dalam perbincangan berkaitan kos sara hidup, bantuan kerajaan dan kesejahteraan rakyat.
Namun, masih ramai yang keliru tentang maksud sebenar istilah-istilah ini serta perbezaan antara pengkelasan pendapatan dan kemampuan hidup sebenar.
Secara asasnya, T20, M40 dan B40 merupakan pengkelasan pendapatan isi rumah di Malaysia.
B40 merujuk kepada 40 peratus isi rumah berpendapatan terendah, M40 ialah 40 peratus kumpulan pertengahan, manakala T20 merujuk kepada 20 peratus isi rumah berpendapatan tertinggi.
Pengkelasan ini digunakan kerajaan untuk tujuan perancangan ekonomi, pemberian subsidi, bantuan sosial dan analisis jurang pendapatan rakyat.
Ia bersifat relatif kerana kedudukan kumpulan berubah mengikut perubahan ekonomi dan taburan pendapatan semasa negara.
Namun begitu, berada dalam kategori M40 atau T20 tidak semestinya bermaksud seseorang hidup selesa. Di sinilah pentingnya konsep PAKW atau Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar.
PAKW merujuk kepada tahap perbelanjaan minimum yang diperlukan untuk membolehkan seseorang hidup secara wajar dan bermaruah dalam masyarakat moden.
Ia bukan sekadar cukup makan atau mempunyai tempat tinggal, tetapi turut merangkumi pendidikan, kesihatan, komunikasi, pengangkutan, perlindungan kewangan dan penyertaan sosial asas.
Perbezaan utama antara pengkelasan pendapatan dan PAKW ialah T20, M40 dan B40 hanya melihat jumlah pendapatan, manakala PAKW menilai kecukupan sebenar pendapatan tersebut dalam menghadapi kos kehidupan semasa.
Sebagai contoh, seseorang mungkin tidak dikategorikan miskin kerana masih mempunyai pendapatan tetap, tetapi masih menghadapi kesukaran jika pendapatan itu tidak mencukupi untuk menampung kos pengangkutan, internet, pendidikan anak dan simpanan kecemasan.
Dalam keadaan ini, seseorang mungkin berada dalam kategori M40 tetapi belum mencapai tahap kehidupan wajar berdasarkan PAKW.
Perkara ini menunjukkan bahawa ukuran kesejahteraan rakyat tidak boleh bergantung kepada pendapatan semata-mata.
Realiti kos sara hidup semasa, khususnya di bandar besar, menyebabkan ramai isi rumah berpendapatan sederhana turut berdepan tekanan kewangan.
Oleh itu, konsep PAKW menjadi semakin penting sebagai rujukan dalam penetapan gaji, dasar sosial dan perancangan ekonomi negara.
Akhirnya, perbincangan tentang T20, M40, B40 dan PAKW bukan sekadar soal angka atau statistik.
Ia sebenarnya berkait rapat dengan persoalan lebih besar iaitu sama ada rakyat benar-benar mampu menjalani kehidupan yang stabil, sejahtera dan bermaruah dalam suasana ekonomi semasa.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Ahmad Yani Ismail
Pensyarah
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: ahmadyani@uis.edu.my