
SAUDARA PENGARANG
- Kebebasan bersuara mesti disertai tanggungjawab sosial untuk melindungi keharmonian masyarakat majmuk.
- Literasi media sosial merangkumi pemikiran kritikal, penilaian sumber, kesedaran etika dan kefahaman implikasi sosial setiap hantaran.
- Pendidikan literasi digital perlu diintegrasi dalam kurikulum, institusi tinggi serta diperkukuh melalui peranan keluarga dan komuniti.
- Pengguna terutama remaja harus bertanggungjawab: cek fakta, elak provokasi 3R, dan sedar jejak digital serta kesan jangka panjang.
Baru-baru ini, negara sekali lagi dibangkitkan dengan insiden hantaran dan penyebaran kandungan yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) di platform media sosial.
Tindakan ini bukan sekadar menarik perhatian masyarakat, malah turut mencetuskan kecaman, perdebatan serta campur tangan pihak berkuasa. Perkara ini merupakan refleksi penting terhadap tahap kefahaman generasi muda mengenai penggunaan media sosial dan tanggungjawab yang menyertainya.
Statistik terkini menunjukkan sebanyak 85 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini merupakan pengguna media sosial aktif. Dari segi jumlah pengguna pula, terdapat lebih 30.7 juta akaun pengguna media sosial di Malaysia.
Data ini jelas menggambarkan bahawa media sosial bukan lagi sekadar platform sosial, sebaliknya telah menjadi ruang maklumat, pembentukan identiti, ekspresi diri dan pembinaan naratif awam.
Kajian juga menunjukkan Instagram, TikTok dan Facebook kekal popular dalam kalangan belia Malaysia, dengan sebahagian besar golongan muda bergantung pada platform ini sebagai sumber berita, hiburan dan komunikasi sosial.
Namun, statistik yang tinggi ini membawa beberapa implikasi. Lebih ramai remaja mudah terdedah kepada kandungan tidak ditapis, termasuk kandungan kontroversi dan bersifat provokatif. Dalam konteks ini, media sosial sering dijadikan medan untuk mencipta atau mencari sensasi, bukannya ruang refleksi dan diskusi yang matang.
Hakikatnya, kadar penggunaan yang tinggi tidak semestinya sejajar dengan tahap kefahaman terhadap etika digital, kesahihan maklumat dan tanggungjawab sosial.
Kebebasan Bersuara atau Tanggungjawab Sosial
Kebebasan bersuara merupakan prinsip asas dalam negara demokrasi. Negara tidak menghalang kebebasan tersebut, namun hak itu datang bersama tanggungjawab jangka panjang. Freedom of expression bukan lesen untuk menghina, memprovokasi atau mempermainkan sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja.
Sempadan undang-undang diwujudkan bukan untuk mengekang kebebasan, tetapi untuk memelihara keharmonian masyarakat majmuk.
Dalam konteks media sosial, tafsiran bahawa individu bebas menyatakan apa sahaja tanpa sekatan adalah tidak tepat. Kebebasan bersuara dalam kerangka demokrasi moden sentiasa diseimbangkan dengan prinsip tanggungjawab sosial.
Isu melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) merupakan isu yang mempunyai sensitiviti tinggi. Perbincangan mengenainya menuntut tahap kepekaan yang lebih tinggi. Dalam masyarakat majmuk, kestabilan tidak terbina secara kebetulan, sebaliknya hasil toleransi, kompromi dan saling menghormati yang dipupuk sekian lama.
Tanggungjawab sosial dalam konteks digital merujuk kepada kesedaran bahawa setiap kandungan yang diterbitkan membawa implikasi sosial. Ia menuntut pengguna mempertimbangkan kesan terhadap keharmonian antara kaum, sensitiviti agama dan persepsi masyarakat sebelum sesuatu kandungan disebarkan.
Dalam erti kata lain, kebebasan bersuara perlu digandingkan dengan pertimbangan etika.
Kefahaman tentang keseimbangan antara kebebasan dan tanggungjawab perlu diperkukuh melalui pendidikan literasi media sosial. Masyarakat, khususnya generasi muda, perlu didedahkan bahawa hak bersuara datang bersama akauntabiliti.
Setiap hantaran bukan sahaja mencerminkan identiti individu, malah turut membentuk ekosistem komunikasi digital.
Literasi Media Sosial: Satu Keperluan, Bukan Pilihan
Literasi media sosial sering disalah tafsir sebagai sekadar kemahiran menggunakan aplikasi. Hakikatnya, ia merangkumi keupayaan mengakses, menganalisis, menilai dan menghasilkan kandungan secara beretika serta bertanggungjawab.
Dalam dunia digital yang dipacu algoritma, status tular tidak menjamin sesuatu kandungan itu benar, beretika atau bermanfaat. Algoritma media sosial cenderung mempromosikan kandungan yang menerima perhatian tinggi.
Kandungan kontroversi lazimnya memperoleh kadar interaksi yang tinggi, termasuk komen, perkongsian dan tanda suka. Situasi ini menyebabkan sistem secara automatik menonjolkan kandungan tersebut kepada lebih ramai pengguna.
Remaja yang mengejar perhatian berpotensi terdorong menghasilkan kandungan lebih ekstrem bagi meningkatkan capaian. Tanpa kesedaran literasi, mereka gagal menilai risiko jangka panjang terhadap reputasi, masa depan akademik dan kerjaya.
Dalam konteks isu 3R, literasi media sosial menjadi semakin kritikal kerana kandungan berkaitan agama, kaum dan institusi diraja bersifat sensitif serta mudah mencetuskan reaksi emosi. Tanpa kemahiran menilai konteks dan implikasi, pengguna berisiko menjadi penyumbang kepada penyebaran sentimen negatif, sama ada secara sedar atau tidak.
Satu dimensi penting literasi media sosial ialah pemikiran kritikal. Pengguna tidak menerima maklumat secara bulat-bulat hanya kerana ia tular atau dikongsi individu berpengaruh.
Mereka menilai sumber, memahami konteks dan mempertimbangkan kemungkinan manipulasi. Dalam era lebihan maklumat (information overload), keupayaan menapis lebih penting daripada keupayaan mengakses.
Dimensi kedua ialah kesedaran etika. Literasi bukan sekadar ketepatan fakta, tetapi juga kesesuaian dan kesan sosial. Sesuatu kandungan mungkin benar dari sudut fakta, namun penyampaiannya boleh bersifat provokatif atau menyinggung sensitiviti tertentu.
Dalam masyarakat majmuk, kepekaan budaya dan agama bukan sekadar pilihan moral subjektif, sebaliknya keperluan sosial.
Selain itu, literasi media sosial turut melibatkan kefahaman tentang jejak digital dan reputasi dalam talian. Setiap hantaran meninggalkan rekod yang berpotensi memberi kesan jangka panjang terhadap peluang pendidikan, kerjaya dan kepercayaan masyarakat.
Generasi muda perlu sedar bahawa identiti digital merupakan sebahagian daripada identiti sosial.
Lebih penting, literasi media sosial berfungsi sebagai mekanisme pencegahan. Dalam banyak kes melibatkan provokasi 3R, isu sering berpunca daripada kegagalan menilai akibat.
Tahap literasi yang tinggi mendorong individu mempertimbangkan risiko undang-undang, implikasi sosial dan kesan terhadap keharmonian sebelum memuat naik kandungan.
Peranan Institusi, Keluarga dan Komuniti
Menangani isu ini tidak memadai melalui kempen kesedaran umum semata-mata. Pendidikan literasi media sosial perlu diperkasa sejak di bangku sekolah dan diintegrasikan secara sistematik dalam kurikulum serta aktiviti kokurikulum.
Institusi pendidikan disaran menjadikan literasi digital sebagai kompetensi asas pelajar. Keupayaan menilai berita palsu atau mengenal pasti provokasi di ruang digital merupakan kemahiran yang tidak boleh dipandang ringan.
Pelajar perlu didedahkan kepada simulasi kes sebenar, perbincangan etika digital serta analisis kesan sosial sesuatu kandungan. Mereka perlu memahami bahawa menjadi pengguna media sosial bukan sekadar hak, tetapi juga tanggungjawab sebagai warganegara digital.
Institusi pengajian tinggi juga memainkan peranan penting. Mahasiswa bukan sahaja pengguna, malah pencipta kandungan yang mampu mempengaruhi ribuan pengikut. Tanpa kesedaran etika, ruang digital boleh menjadi medan penyebaran sentimen negatif.
Pelajar juga perlu dididik untuk menilai maklumat dari sudut etika, undang-undang, kesan sosial serta implikasi psikologi, termasuk memahami konteks budaya dan sensitiviti masyarakat majmuk Malaysia.
Kerjasama antara sekolah, institusi pengajian tinggi, keluarga dan komuniti amat penting. Ibu bapa dan penjaga bukan sekadar memantau masa skrin anak, tetapi juga membimbing mereka menjadi pengguna media sosial yang beretika. Perbualan mengenai isu digital perlu dijadikan sebahagian daripada komunikasi harian keluarga.
Kesimpulan
Media sosial merupakan medium komunikasi digital yang sepatutnya memperkukuh perpaduan, menyebarkan ilmu dan meraikan kepelbagaian. Namun, tanpa literasi yang kukuh dan kawalan kendiri, ia boleh berubah menjadi medan provokasi.
Masyarakat perlu beralih daripada pengguna pasif kepada warganet yang bertanggungjawab. Ini termasuk berani menegur secara berhemah, melaporkan kandungan tidak wajar serta tidak menyebarkan mesej berunsur 3R.
Remaja khususnya perlu sedar bahawa identiti digital mereka mencerminkan diri. Satu hantaran yang mencalarkan reputasi boleh memberi kesan jangka panjang.
Kebebasan bersuara yang matang bukan kebebasan tanpa batas, tetapi kebebasan yang disalurkan dengan pertimbangan rasional, kesedaran undang-undang dan kepekaan sosial.
Sebagai masyarakat yang menghargai keharmonian, keadilan dan kebersamaan, generasi yang dibina perlu bukan sahaja cekap menggunakan teknologi, tetapi juga beretika dan matang. Dalam masyarakat majmuk, setiap perkataan membawa makna dan setiap hantaran memberi kesan.
Justeru, literasi media sosial bukan lagi pilihan, tetapi keperluan mendesak demi memastikan ruang digital kekal sebagai ruang dialog yang matang, bukan medan provokasi.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Siti Nasarah Ismail
Pensyarah Kanan
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan