Kesihatan kulit cermin kesihatan tubuh

Foto janaan AI

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Kulit sebagai organ utama melindungi terhadap patogen, sinaran UV, mengawal suhu, keseimbangan air dan deria sentuhan.
  • Perubahan kulit seperti kekeringan, ruam atau luka lambat sembuh boleh menandakan penyakit sistemik seperti diabetes atau jangkitan.
  • Penjagaan kulit perlu pemakanan seimbang, hidrasi, tidur berkualiti, aktiviti fizikal dan perlindungan matahari termasuk penggunaan pelindung suria.

Apabila berbicara tentang kesihatan, tumpuan biasanya diberikan kepada jantung, paru-paru atau pemakanan yang sihat. Namun, ada satu organ yang sering dipandang ringan walaupun peranannya sangat besar dalam melindungi tubuh manusia iaitu kulit.

Peranan Kulit

Kulit merupakan organ terbesar pada tubuh manusia yang bertindak sebagai benteng pertahanan utama terhadap bakteria, virus, bahan kimia dan sinaran ultra ungu (UV).

Tambahan lagi, kulit juga berperanan dalam mengawal suhu badan, mengekalkan keseimbangan air serta membolehkan manusia merasai sentuhan, tekanan dan perubahan persekitaran.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebagai barisan pertahanan pertama tubuh, kulit memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan badan secara menyeluruh.

Penjagaan Kulit

Penjagaan kulit yang sihat tidak hanya bergantung kepada produk sapuan semata-mata. Ia perlu disokong dengan amalan gaya hidup sihat.

Pemakanan yang seimbang memainkan peranan penting dalam mengekalkan struktur dan keanjalan kulit. Nutrien seperti protein, vitamin C, vitamin E dan zink membantu dalam pembentukan kolagen, iaitu komponen utama yang memberikan kekuatan kepada kulit.

Selain itu, pengambilan air yang mencukupi membantu mengekalkan kelembapan kulit, manakala tidur yang berkualiti membolehkan proses pembaikan sel berlaku dengan lebih efektif.

Aktiviti fizikal yang konsisten juga membantu meningkatkan peredaran darah, sekali gus memastikan bekalan oksigen dan nutrien sampai ke tisu kulit dengan baik.

Satu lagi faktor penting yang sering diabaikan ialah pendedahan kepada sinaran matahari. Di negara beriklim tropika seperti Malaysia, kulit terdedah kepada sinaran UV hampir setiap hari. Pendedahan UV secara berlebihan merupakan salah satu faktor utama penuaan pramatang dan dapat meningkatkan risiko kanser kulit.

Oleh itu, penggunaan pelindung matahari (sunscreen), pemakaian pakaian pelindung serta pengurangan pendedahan cahaya matahari secara langsung amat digalakkan.

Kulit dan Kesihatan Tubuh

Walaupun sering dikaitkan dengan aspek kecantikan, hakikatnya kulit yang sihat mencerminkan kesihatan tubuh secara keseluruhan.

Perubahan pada kulit seperti kekeringan, ruam, perubahan warna atau luka yang lambat sembuh boleh menjadi petanda awal kepada masalah kesihatan lain seperti diabetes, jangkitan kuman atau gangguan sistem imun.

Dalam konteks kesihatan awam, KKM turut menekankan bahawa luka yang tidak sembuh dalam tempoh normal perlu diberi perhatian segera kerana ia boleh menjadi petunjuk kepada komplikasi kesihatan seperti diabetes yang tidak terkawal.

Ini selari dengan pemerhatian klinikal bahawa kadar penyembuhan luka yang perlahan sering dikaitkan dengan gangguan peredaran darah dan metabolisme.

Kajian Terkini

Dalam perkembangan semasa, bidang sains dan perubatan turut memberikan tumpuan kepada teknologi baharu dalam penjagaan kulit dan penyembuhan luka.

Kajian terhadap bahan bioaktif seperti peptida, serta penggunaan biomaterial dan nanoteknologi, telah membuka peluang baharu dalam mempercepat proses pemulihan tisu kulit yang rosak.

Pendekatan ini memberi harapan khususnya kepada pesakit yang mengalami luka kronik seperti ulser kaki diabetes kerana peningkatan kadar pemulihan dan pengurangan komplikasi jangka panjang.

Kesimpulan

Kulit bukan sekadar lapisan luaran tubuh dan simbol kecantikan semata-mata. Ia adalah organ penting yang berfungsi sebagai pelindung utama kehidupan manusia.

Menjaga kulit tidak memerlukan langkah yang rumit. Sebaliknya, langkah awal bermula dengan amalan asas seperti pemakanan seimbang, gaya hidup sihat, perlindungan daripada cahaya matahari dan penjagaan yang konsisten.

Kulit yang sihat bukan sahaja mencerminkan penampilan yang baik, tetapi turut menyumbang kepada kualiti hidup yang lebih baik dan sejahtera.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Nur Izzah Md Fadilah
Pensyarah
Jabatan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif (DTERM)
Fakulti Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
E-mel: izzahfadilah@ukm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.