
SAUDARA PENGARANG
- Konflik kerja-keluarga menjejaskan masa bersama keluarga, kesejahteraan emosi dan keupayaan berfungsi secara optimum di tempat kerja.
- Menurut TPSKK, konflik boleh dipulihkan secara berperingkat melalui pengenalpastian, penggemblengan sumber dan pembinaan semula sempadan yang lebih sihat.
- Pemulihan memerlukan tindakan bersama pekerja, majikan dan keluarga, termasuk dasar fleksibel, komunikasi jelas dan penghormatan terhadap waktu rehat.
Telefon pintar yang terus berbunyi selepas waktu bekerja, mesej daripada ketua jabatan pada lewat malam dan tugasan pejabat yang dibawa hingga ke hujung minggu semakin mengaburkan sempadan antara kehidupan pekerjaan dan keluarga.
Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan pekerja sukar benar-benar meninggalkan urusan kerja selepas tamat waktu pejabat, malah berpotensi menjejaskan masa bersama keluarga, kesejahteraan emosi dan keupayaan untuk berfungsi secara optimum di tempat kerja.
Konflik kerja-keluarga berlaku apabila tuntutan pekerjaan dan keluarga bertembung sehingga seseorang sukar memenuhi kedua-dua peranan dengan baik. Perkembangan budaya kerja fleksibel dan kerja dari rumah turut menjadikan sempadan antara kedua-dua kehidupan semakin mudah ditembusi.
Menurut Teori Pemulihan Sempadan Kerja-Keluarga (TPSKK), konflik berkenaan bukan keadaan yang semestinya berpanjangan, sebaliknya boleh dipulihkan secara berperingkat melalui proses membina semula sempadan yang lebih sihat antara pekerjaan dan kehidupan keluarga.
Proses tersebut bermula dengan gangguan sempadan, apabila urusan kerja mula memasuki waktu peribadi atau sebaliknya.
Membalas e-mel ketika makan malam, menerima panggilan kerja pada hujung minggu atau menguruskan hal keluarga ketika waktu bekerja merupakan antara contoh keadaan yang menyebabkan peranan kerja dan keluarga bertindih.
Jika berlarutan, keadaan itu boleh membawa kepada pengurangan sumber peribadi, khususnya dari segi masa, tenaga dan kekuatan emosi.
Keletihan, beban fikiran serta kesukaran untuk memberi tumpuan boleh berlaku, namun keadaan tersebut kadangkala dianggap sebagai perkara biasa dalam rutin pekerjaan.
Fasa seterusnya ialah pengenalpastian konflik, iaitu apabila seseorang mula menyedari bahawa ketidakseimbangan antara kerja dan keluarga telah memberi kesan kepada dirinya, hubungan kekeluargaan atau prestasi kerja.
Kesedaran terhadap konflik merupakan langkah penting kerana ia membolehkan individu mengenal pasti perkara yang perlu diubah sebelum tekanan tersebut menjadi lebih serius.
Selepas menyedari masalah, proses pemulihan melibatkan penggemblengan sumber, termasuk mendapatkan sokongan pasangan, keluarga dan rakan sekerja, selain mengurus masa rehat, aktiviti fizikal, keutamaan serta keperluan diri dengan lebih teratur.
Pada masa sama, majikan mempunyai peranan penting dalam memastikan tanggungjawab menangani konflik kerja-keluarga tidak diletakkan sepenuhnya kepada pekerja.
Dasar kerja yang fleksibel, komunikasi yang jelas mengenai jangkaan tugasan serta budaya organisasi yang menghormati waktu rehat dan kehidupan peribadi pekerja boleh membantu mewujudkan sempadan kerja-keluarga yang lebih sihat.
Proses seterusnya ialah pembinaan semula dan pengayaan sempadan, apabila pekerja mula menetapkan aturan yang lebih jelas antara masa bekerja dan masa peribadi.
Sebagai contoh, seorang eksekutif pemasaran yang sebelum ini kerap membalas mesej kerja sehingga lewat malam boleh menetapkan waktu tertentu untuk tidak menerima komunikasi berkaitan kerja selepas jam 8 malam.
Pada masa sama, perbincangan bersama penyelia dapat membantu menjelaskan tugasan yang benar-benar memerlukan tindakan segera dan perkara yang boleh diselesaikan pada waktu bekerja berikutnya.
Perubahan kecil seperti itu boleh membantu pekerja mendapatkan semula masa rehat, meningkatkan tenaga dan memberi perhatian yang lebih baik kepada keluarga tanpa gangguan kerja yang berterusan.
Bagaimanapun, pemulihan konflik kerja-keluarga bukan proses yang berlaku sekali sahaja. Tuntutan pekerjaan, keperluan keluarga dan keadaan kehidupan sentiasa berubah, menyebabkan sempadan yang dibina perlu dinilai dan disesuaikan dari semasa ke semasa.
Justeru, usaha menangani konflik kerja-keluarga memerlukan penglibatan tiga pihak utama, iaitu pekerja, majikan dan keluarga.
Pekerja perlu menetapkan sempadan kerja yang munasabah serta berkomunikasi secara terbuka mengenai jadual dan keutamaan. Majikan pula perlu membina budaya kerja yang tidak menganggap pekerja sentiasa tersedia di luar waktu bekerja.
Dalam keluarga, pembahagian tanggungjawab rumah tangga yang lebih seimbang dan sokongan ketika berhadapan dengan tempoh kerja yang sibuk turut menjadi sumber penting kepada kesejahteraan pekerja.
Pendekatan terhadap konflik kerja-keluarga perlu dilihat sebagai proses yang berterusan kerana keseimbangan tersebut bukan sesuatu yang statik, sebaliknya perlu disesuaikan mengikut perubahan tuntutan pekerjaan dan kehidupan keluarga.
Apa yang penting, keseimbangan kerja-keluarga bukan sekadar soal bagaimana pekerja mengurus masa, tetapi turut berkait dengan bagaimana organisasi dan keluarga membentuk persekitaran yang membolehkan seseorang melaksanakan kedua-dua peranan secara lebih sihat.
Dengan sempadan yang lebih jelas serta sokongan daripada pelbagai pihak, konflik kerja-keluarga bukan sahaja dapat dikurangkan, malah berpotensi menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan, hubungan kekeluargaan dan prestasi kerja yang lebih mampan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Siti Noormi Alias
Pensyarah
Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia
E-mel: sitinoormi@upm.edu.my