Jangan sekadar urus sampah, uruslah sumber

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan pengurusan sumber daripada sekadar mengurus sampah; reka produk supaya tahan lama, boleh dibaiki dan digunakan semula dalam ekonomi kitaran.
  • Pengeluar mesti mereka bentuk produk boleh dibaiki, dikitar semula dan bertanggungjawab melalui dasar Peluasan Tanggungjawab Pengeluar.
  • Ubah ukuran kejayaan: ukur sisa dielakkan, bahan diguna semula dan nilai dipulihkan, bukan hanya jumlah sampah dikutip.

Setiap pagi, lori sampah bergerak dari satu kawasan perumahan ke kawasan yang lain. Tong dikosongkan, jalan dibersihkan dan sampah dibawa pergi. Apabila sampah sudah tidak kelihatan di hadapan rumah, kita merasakan masalah telah selesai.

Sebenarnya, masalah itu hanya berpindah tempat. Apa yang kita panggil “sampah” akan meneruskan perjalanan ke pusat pemindahan, kemudahan rawatan atau tapak pelupusan.

Bersamanya turut hilang plastik, kertas, logam, bahan organik dan pelbagai material yang suatu ketika dahulu menggunakan sumber, tenaga, air, wang dan tenaga manusia untuk dihasilkan.

Persoalannya, dalam sebuah negara yang bercita-cita membangun secara mampan, adakah kita mahu terus menjadi semakin cekap mengurus sampah, atau kita mahu menjadi lebih pintar mengurus sumber supaya ia tidak menjadi sampah sejak awal?

Inilah perubahan pemikiran yang diperlukan jika ekonomi kitaran mahu benar-benar menjadi sebahagian daripada pembangunan Malaysia.

Ekonomi “Ambil, Guna dan Buang”

Ekonomi kita sejak sekian lama banyak beroperasi menggunakan model linear yang mudah: ambil sumber, hasilkan produk, gunakan dan akhirnya buang.

Model ini mungkin sesuai ketika sumber dianggap banyak dan murah. Tetapi ia semakin sukar dipertahankan apabila kos bahan mentah meningkat, tapak pelupusan semakin terhad, perubahan iklim menjadi semakin serius dan rantaian bekalan global berdepan pelbagai ketidaktentuan.

Ekonomi kitaran menawarkan pendekatan berbeza. Produk perlu direka supaya lebih tahan lama. Bahan perlu boleh digunakan semula, dibaiki, dipulihkan atau dikitar semula.

Sisa daripada satu proses pula perlu dilihat sebagai kemungkinan input kepada proses yang lain. Maksudnya mudah, kita perlu mengekalkan nilai sesuatu sumber selama mungkin dalam sistem ekonomi.

Kerajaan telah pun menyediakan hala tuju melalui Blueprint Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal di Malaysia 2025–2035.

Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) turut menetapkan sasaran mengurangkan peratus keseluruhan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan daripada 61 peratus pada tahun 2024 kepada 52 peratus menjelang 2030.

Ini merupakan langkah yang signifikan. Namun cabaran sebenar bukan sekadar menyediakan dasar. Cabarannya ialah bagaimana kita menukar dasar tersebut menjadi tingkah laku, sistem operasi dan model perniagaan baharu.

Ekonomi Kitaran adalah Agenda MADANI

Di sinilah ekonomi kitaran mempunyai hubungan yang sangat dekat dengan aspirasi Malaysia MADANI. Antara nilai teras MADANI ialah Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

Kemampanan bukan hanya bermaksud menanam lebih banyak pokok atau membersihkan sungai. Ia juga bermaksud bagaimana kita mereka bentuk sistem ekonomi agar generasi hari ini tidak menghabiskan sumber yang sepatutnya turut dinikmati oleh generasi akan datang.

Kesejahteraan pula tidak boleh dipisahkan daripada persekitaran yang bersih, bandar yang selesa didiami serta sistem ekonomi yang menggunakan sumber secara cekap.

Daya Cipta amat diperlukan kerana masalah sisa abad ke-21 tidak boleh diselesaikan sepenuhnya menggunakan kaedah abad yang lalu.

Kita memerlukan teknologi, reka bentuk produk baharu, analitik data, model perniagaan kitaran dan inovasi dalam pemulihan sumber. Malah nilai Ihsan juga relevan.

Apabila makanan yang masih boleh dimanfaatkan dibuang sedangkan terdapat keluarga yang memerlukannya, atau apabila pencemaran akibat pengurusan sisa yang lemah memberi kesan kepada komuniti lain, isu sisa bukan lagi sekadar isu teknikal.

Ia menjadi persoalan bagaimana kita menghargai sumber dan mempertimbangkan kesejahteraan orang lain. Justeru, ekonomi kitaran sebenarnya mempunyai dimensi kemanusiaan yang sangat kuat.

Kitar Semula Sahaja Tidak Mencukupi

Selama bertahun-tahun, apabila berbicara tentang sampah, jawapan kita hampir selalu sama: tingkatkan kitar semula. Kitar semula memang penting. Tetapi ia bukan penyelesaian pertama.

Bayangkan kita menghasilkan satu juta botol plastik yang tidak diperlukan, kemudian dengan bangganya mengitar semula sebahagian daripadanya. Bukankah soalan yang lebih baik ialah mengapa satu juta botol itu perlu dihasilkan sejak awal?

Di sinilah konsep seperti reduce, reuse, repair, refurbish, remanufacture dan pelbagai strategi ekonomi kitaran menjadi penting.

Kitar semula berlaku apabila sesuatu produk sudah menghampiri penghujung hayatnya. Ekonomi kitaran bertanya lebih awal — ketika produk sedang direka.

Bolehkah pembungkusannya dikurangkan? Bolehkah produk digunakan lebih lama?cBolehkah komponennya diganti dan dibaiki?cBolehkah pengeluar mengambilnya kembali selepas digunakan/ Dan bolehkah materialnya digunakan semula untuk menghasilkan nilai ekonomi baharu?

Perubahan seperti ini memerlukan pengguna, pengeluar, peruncit, syarikat pengurusan sisa dan kerajaan bergerak sebagai satu sistem.

Jangan Ukur Berapa Banyak Sampah Berjaya Dikutip

Saya percaya satu lagi perubahan besar perlu berlaku pada cara kita mengukur kejayaan. Secara tradisional, prestasi pengurusan sisa banyak dilihat melalui kecekapan kutipan.

  • Berapa banyak premis diliputi?
  • Berapa tan sisa dikutip?
  • Seberapa cepat aduan dapat diselesaikan?

Semua ukuran tersebut masih penting. Tetapi dalam ekonomi kitaran, kita memerlukan generasi KPI yang baharu. Kita perlu mula bertanya:

  • Berapa banyak sisa berjaya dielakkan?
  • Berapa banyak bahan berjaya digunakan semula?
  • Berapa banyak sisa berjaya dialihkan daripada tapak pelupusan?
  • Berapa banyak nilai ekonomi berjaya dipulihkan daripada sesuatu yang sebelumnya dianggap sampah?

Dan akhirnya:

  • Berapa banyak sumber baharu yang tidak perlu kita gunakan kerana sumber sedia ada berjaya dikekalkan dalam sistem?

Apa yang kita ukur akan mempengaruhi apa yang organisasi lakukan. Sekiranya kejayaan masih dinilai terutama berdasarkan jumlah sisa yang berjaya dikutip, kita akan terus membina sistem yang sangat cekap menguruskan sampah.

Tetapi sekiranya prestasi turut diukur berdasarkan sisa yang berjaya dicegah dan nilai yang berjaya dipulihkan, seluruh model operasi akan mula berubah.

Industri Pengurusan Sisa Juga Perlu Berubah

Daripada pengalaman saya berinteraksi dan menjalankan pembangunan kompetensi bersama pemain industri, saya semakin yakin bahawa mereka tidak boleh lagi dilihat sekadar sebagai kontraktor kutipan dan pembersihan.

Mereka sebenarnya mempunyai potensi menjadi pengurus sumber bandar.

Mereka mempunyai rangkaian logistik, data, tenaga kerja, kemudahan, hubungan dengan pihak berkuasa tempatan serta akses kepada aliran bahan yang sangat besar.

Bayangkan jika data tersebut digabungkan dengan kecerdasan buatan untuk meramal jumlah sisa mengikut kawasan.

Bayangkan laluan lori dioptimumkan berdasarkan data sebenar. Bayangkan sisa makanan, plastik, kertas dan material lain dapat dikenal pasti lebih awal dan disalurkan kepada proses pemulihan yang sesuai.

Pada ketika itu, lori sampah bukan lagi semata-mata membawa sesuatu untuk dibuang. Ia menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan sumber sekunder.

Inilah transformasi yang saya percaya perlu berlaku kepada industri pengurusan sisa negara.

Pengeluar Juga Mesti Berada Dalam Sistem

Pengguna tidak boleh memikul seluruh tanggungjawab. Jika sesuatu produk sejak awal direka menggunakan pelbagai material yang sukar dipisahkan dan tidak ekonomik untuk dikitar semula, pengguna mempunyai pilihan yang sangat terhad.

Sebab itu pendekatan Peluasan Tanggungjawab Pengeluar atau Extended Producer Responsibility (EPR) sangat penting.

Prinsipnya mudah, pihak yang menghasilkan dan meletakkan sesuatu produk di pasaran juga mempunyai tanggungjawab terhadap apa yang berlaku kepada produk atau pembungkusannya selepas digunakan.

Ia akan mengubah persoalan daripada: “Bagaimana kerajaan hendak membersihkan sampah ini?” kepada: “Bagaimana industri boleh mereka bentuk produk supaya kurang sampah terhasil?” Itulah perubahan yang jauh lebih fundamental.

Daripada Budaya Membuang Kepada Budaya Menghargai

Akhirnya, ekonomi kitaran tidak akan berjaya hanya dengan teknologi, undang-undang atau tong kitar semula yang lebih banyak. Ia memerlukan perubahan budaya.

Kita perlu berhenti melihat barang yang tidak lagi diperlukan sebagai sesuatu yang secara automatik tidak mempunyai nilai. Makanan lebihan mungkin masih mempunyai nilai sosial.

Sisa organik mempunyai nilai biologi. Plastik dan logam mempunyai nilai material. Produk elektronik mempunyai komponen yang boleh dipulihkan.

Pakaian mempunyai hayat kedua Dan banyak barangan sebenarnya boleh dibaiki sebelum diganti.

Masyarakat MADANI sewajarnya bukan hanya masyarakat yang maju dari segi teknologi dan ekonomi, tetapi masyarakat yang mempunyai kebijaksanaan dalam menggunakan sumber.

Membuang adalah Mudah & Menghargai Memerlukan Pemikiran.

Malaysia telah mempunyai dasar dan hala tuju menuju ekonomi kitaran. Langkah seterusnya ialah memastikan ekonomi kitaran tidak kekal sebagai istilah dalam dokumen kerajaan, seminar atau kempen.

Ia perlu masuk ke kilang. Masuk ke pusat beli-belah. Masuk ke restoran. Masuk ke universiti. Masuk ke rumah Dan paling penting, masuk ke dalam cara kita membuat keputusan setiap hari.

Malaysia MADANI memerlukan sebuah ekonomi yang bukan sahaja menghasilkan lebih banyak kekayaan, tetapi menghasilkan kekayaan dengan menggunakan sumber secara lebih bijaksana.

Ia Kerana negara yang benar-benar maju bukanlah negara yang paling cekap membuang sampahnya. Negara maju ialah negara yang semakin sedikit mempunyai benda untuk dibuang.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Prof. Log. Ts. Dr. Mohd Rizal Razalli
Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi & Logistik
Universiti Utara Malaysia
Email: rizal@uum.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.