
SAUDARA PENGARANG
- Kekurangan masa berkualiti menyebabkan keperluan emosi anak tidak dipenuhi, mendorong pengaruh media sosial, rakan sebaya dan tingkah laku berisiko.
- Lihat masa bersama anak sebagai pelaburan; kualiti interaksi seperti makan bersama, berbual tanpa gangguan dan aktiviti kecil bina memori.
- Ibu bapa perlu tingkatkan kemahiran komunikasi, empati, pengurusan emosi dan sempadan; cari ilmu, kursus atau kaunseling untuk keibubapaan berkesan.
Dalam era moden yang serba pantas, ibu bapa berusaha keras memenuhi keperluan keluarga. Ada yang keluar sebelum matahari terbit dan pulang ketika anak-anak hampir lena. Semua dilakukan atas nama tanggungjawab dan demi menyediakan kehidupan yang lebih selesa.
Namun, di sebalik kejayaan membina kestabilan kewangan, wujud satu bentuk “hutang” yang sering tidak disedari, iaitu hutang masa terhadap anak-anak.
Hutang ini tidak dicatat dalam penyata bank, tetapi kesannya terpahat dalam jiwa anak. Ia berlaku apabila masa berkualiti yang sepatutnya diberikan kepada anak ditangguhkan berulang kali kerana kesibukan kerja, urusan dunia, komitmen sosial atau keletihan.
Tanpa disedari, anak-anak mula membesar dalam keadaan keperluan emosi mereka tidak dipenuhi.
Hakikatnya, anak-anak tidak sekadar memerlukan rumah yang besar, pakaian yang cantik atau gajet yang mahal. Mereka lebih memerlukan kehadiran ibu bapa yang benar-benar hadir secara fizikal dan emosi. Mereka mahu didengari, dipeluk, diraikan dan diberikan perhatian.
Apabila hubungan emosi antara ibu bapa dan anak semakin renggang, anak akan mencari ruang lain untuk memenuhi keperluan tersebut. Ada yang bergantung sepenuhnya kepada media sosial, ada yang terlalu terpengaruh dengan rakan sebaya.
Malah tidak kurang juga yang terjebak dalam tingkah laku berisiko sebagai usaha mendapatkan perhatian, penghargaan atau rasa memiliki.
Fenomena peningkatan masalah disiplin, buli, ketagihan gajet, penyalahgunaan dadah, gejala seksual, kemurungan dan kebimbangan dalam kalangan remaja sewajarnya menjadi peringatan bahawa pembangunan anak bukan hanya bergantung kepada pencapaian akademik, tetapi juga kepada kekuatan hubungan dalam institusi keluarga.
Dalam bidang psikologi perkembangan, hubungan yang selamat dan mesra antara ibu bapa dengan anak menjadi asas kepada pembentukan keyakinan diri, kestabilan emosi dan daya tahan psikologi.
Anak yang membesar dalam suasana penuh kasih sayang lebih mudah mengurus emosi, mempunyai harga diri yang positif dan berupaya membuat keputusan secara matang apabila berhadapan dengan cabaran kehidupan.
Atas sebab itu, ibu bapa perlu melihat masa bersama anak sebagai satu pelaburan, bukannya baki masa yang hanya diberikan apabila semua urusan lain selesai. Walaupun tempoh bersama mungkin singkat, kualiti interaksi jauh lebih penting daripada kuantiti semata-mata.
Meluangkan masa untuk makan bersama, berbual tanpa gangguan telefon bimbit, bersolat berjemaah, membaca, bersukan atau sekadar bertanya tentang kehidupan harian anak mampu membina ikatan emosi yang kukuh.
Aktiviti yang kelihatan kecil inilah sebenarnya menjadi memori besar dalam kehidupan seorang anak. Selain memperuntukkan masa, ibu bapa juga perlu meningkatkan ilmu dan kemahiran keibubapaan mengikut peredaran zaman.
Cabaran membesarkan anak hari ini jauh berbeza berbanding generasi terdahulu. Anak-anak kini hidup dalam dunia digital yang penuh dengan lambakan maklumat, tekanan media sosial, kecerdasan buatan (AI), permainan dalam talian serta pengaruh budaya global yang bergerak pantas.
Oleh itu, pendekatan autoritarian semata-mata tidak lagi memadai. Ibu bapa perlu menguasai kemahiran komunikasi berkesan, mendengar secara empati, mengurus emosi, menetapkan sempadan yang sihat serta memahami perkembangan psikologi anak mengikut peringkat umur.
Keibubapaan bukanlah satu bakat semula jadi, tetapi satu kemahiran yang boleh dipelajari dan dipertingkatkan sepanjang hayat.
Menghadiri kursus keibubapaan, membaca bahan ilmiah, mendapatkan khidmat kaunseling keluarga atau berkongsi pengalaman dengan pakar bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya menunjukkan kesungguhan untuk menjadi ibu bapa yang lebih baik.
Dalam masa yang sama, ibu bapa perlu menyedari bahawa anak-anak lebih banyak belajar melalui pemerhatian berbanding nasihat. Mereka memerhati bagaimana ibu bapa mengurus tekanan, melayan pasangan, menghormati orang lain serta mengimbangi antara kerjaya dan keluarga.
Justeru, teladan yang baik merupakan pendidikan paling berkesan.
Sesibuk mana sekali pun tuntutan kerjaya dan kehidupan, tanggungjawab terhadap anak-anak tidak boleh ditangguhkan.
Masa yang terlepas tidak mungkin dapat diulang. Kanak-kanak hanya melalui zaman kanak-kanak sekali, dan apabila mereka meningkat dewasa, peluang untuk membina keakraban mungkin semakin sukar.
Jangan sampai suatu hari nanti kita mampu memberikan segala kemewahan kepada anak-anak, tetapi gagal memberikan apa yang paling mereka perlukan sejak kecil, iaitu kasih sayang, perhatian dan kehadiran ibu bapa.
Anak-anak tidak memerlukan ibu bapa yang sempurna. Mereka memerlukan ibu bapa yang sentiasa hadir ketika mereka memerlukan tempat bergantung, mendengar ketika mereka ingin meluahkan perasaan, serta membimbing ketika mereka sedang mencari arah kehidupan.
Sesungguhnya, masa yang diluangkan bersama anak bukanlah masa yang hilang, sebaliknya merupakan pelaburan paling berharga untuk melahirkan generasi yang sejahtera emosi, berakhlak mulia dan mampu menjadi aset kepada agama, bangsa dan negara.
Benarlah, hutang kewangan boleh dilangsaikan dengan wang, tetapi hutang masa terhadap anak-anak hanya mampu dibayar dengan kehadiran, kasih sayang dan perhatian yang tulus. Jangan biarkan hutang itu terus tertunda sehingga anak-anak hilang arah tanpa kita sedari.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Siti Fatimah Abdul Ghani K.B.,P.A
Pegawai Psikologi Kanan
Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia
Pejabat Pendaftar
Universiti Putra Malaysia
E-mel: sitifatimah@upm.edu.my