
SAUDARA PENGARANG
- Jangan biarkan kesalahan kecil berulang; ia boleh merebak dan memusnahkan nilai serta reputasi organisasi.
- Tegah tingkah laku merosakkan, tegur dengan cara beradab, dan tunjukkan suri teladan secara konsisten.
- Elakkan budaya merungut, gosip dan mengabaikan tanggungjawab; galak staf cari penyelesaian bukan sekadar mengadu.
Isu pengukuhan tadbir urus dan tatakelola organisasi khususnya jabatan kerajaan terus menjadi agenda utama kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri secara berterusan mengegaskan beliau selaku pemimpin akan memastikan pemerintahan negara berjalan mengikut perundangan serta membebaskan negara daripada sebarang kecurangan.
Ironinya bukan mudah untuk menangani masalah tadbir urus sesebuah organisasi terutamana bila isu seperti rasuah dan salah guna kuasa sudah menjadi terlalu sistematik dan berakar umbi untuk tempoh masa yang lama.
Walaupun pelbagai usaha pendidikan kesedaran, pencegahan dan penguatkuasaan dilaksanakan namun masalah seperti ini tetap berlaku kerana adanya individu yang terus cuba merosakkan nilai dan etika organisasi dengan mengutamakan kepentingan dan keuntungan peribadi.
Umpama peribahasa ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’, tindak tanduk segelintir perosak dilihat boleh menghancurkan keseluruhan orgnisasi.
Hakikatnya, tulang belakang sesebuah organisasi ialah warga kerja yang merupakan aset paling bernilai dan penentu jatuh bangun organisasi tersebut.
Dalam konteks ini kita perlu sedar betapa, sesebuah organisasi itu boleh memiliki struktur bangunan yang cantik, menggunakan kemudahan teknologi yang hebat dan terkini, serta mampu menyusun atur sistem kerja dengan baik.
Namun semua itu tidak akan memberikan sebarang makna jika wujud segelintir warga kerja yang membudayakan sikap dan tingkah laku yang tidak sihat.
Tegasnya, nila setitik itu jika dibiarkan akan mempengaruhi warga kerja yang lain dan akhirnya boleh merosakkan keseluruhan pasukan di sesebuah organisasi.
Secara umumnya, seorang staf yang mempunyai sikap negatif tidak semestinya terus merosakkan keseluruhan organisasi.
Namun, jika sikap itu dibiarkan, ditiru atau dianggap perkara biasa, kesannya boleh merebak kepada rakan sekerja dan akhirnya membentuk budaya kerja yang tidak sihat.
Ringkasnya, budaya menormalisasikan atau bertolak ansur dengan budaya kerja tidak beretika akan memberi kesan negatif yang besar kepada organisasi, khususnya dalam jangka panjang.
Apa yang lebih membimbangkan ialah perkara kecil yang sering terlepas pandang oleh pengurusan organisasi.
Hal ini kerana isu yang dianggap kecil atau remeh serta tidak kelihatan seperti kesalahan besar tetapi sentiasa berulang boleh merosakkan organisasi.
Antaranya ialah, adanya individu yang suka merungut tetapi tidak mahu mencari penyelesaian.
Ini adalah situasi yang paling lazim berlaku di mana-mana organisasi terutamanya apabila beban kerja bertambah, sistem dan prosedur bermasalah, arahan mungkin berubah dan ada masanya keputusan pengurusan tidak seperti yang diharapkan.
Dalam hal ini, kita akui bahawa menyuarakan ketidakpuasan hati bukanlah sesuatu yang salah, tetapi ia perlu menggunakan saluran yang betul dengan niat yang baik khususnya bermatlamatkan objektif untuk membantu organisasi menjadi lebih baik.
Cuma apa yang dikhuatiri ialah apabila seseorang hanya tahu merungut, tetapi tidak pernah mahu membantu mencari jalan penyelesaian.
Lebih buruk lagi apabila rungutan itu disebarkan kepada rakan sekerja sehingga semua orang mula melihat setiap perkara dari sudut negatif.
Jelas sekali sikap seperti ini bukan saja boleh melemahkan semangat pasukan, malah menjejaskan tadbir urus dan reputasi jabatan.
Justeru, budaya di tempat kerja perlu mengubah soalan daripada “Kenapa benda ini susah?” kepada “Apa yang kita boleh buat untuk menyelesaikannya?”
Umumnya tidak semua masalah dapat diselesaikan oleh seorang staf, tetapi setiap orang boleh menyumbang kepada penyelesaiannya.
Selain itu, budaya gosip dan memburukkan orang lain juga boleh meruntuhkan nilai dan etika sesebuah organisasi.
Gosip mungkin kelihatan seperti perkara kecil, yakni amalan seperti sembang di kantin, dalam kumpulan WhatsApp atau ketika minum kopi kadangkala dianggap sekadar hiburan.
Namun apabila perbualan mula menyentuh kelemahan, maruah dan peribadi rakan sekerja, kesannya boleh menjadi jauh lebih besar.
Bayangkan senario di mana hari ini kita bercerita tentang seorang staf, dan esok lusa cerita itu sampai kepada orang lain. Selepas beberapa hari, cerita yang asalnya kecil mungkin sudah berubah menjadi cerita yang berbeza.
Akhirnya kita khuatir, budaya sebegini menyebabkan staf mula hilang kepercayaan antara satu sama lain. Mereka takut bercakap, takut berkongsi idea dan sentiasa curiga terhadap rakan sekerja.
Hakikatnya, organisasi yang sihat bukan organisasi yang tiada masalah, tetapi organisasi yang mempunyai ruang untuk membincangkan masalah secara terbuka, beradab dan melalui saluran yang betul.
Maka disyorkan, jika ada masalah dengan seseorang, kita sewajarnya berjumpa, bincang dan selesaikan secara matang dan profesional.
Selain itu, jika ia melibatkan salah laku, gunakan saluran rasmi yang disediakan tanpa mengaibkan mana-mana pihak secara terbuka. Tuntasnya, jangan lazimi budaya gosip sebagai cara menyelesaikan masalah dalam organisasi.
Pada masa sama, warga organisasi juga perlu sedar satu lagi budaya tidak sihat yang biasa berlaku iaitu kita hanya mahu menerima hak tetapi lupa tentang tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
Sedar atau tidak ramai yang sangat peka terhadap hak mereka, terutamanya dari segi gaji dan kebajikan tetapi kurang sensitif terhadap tanggungjawab mereka kepada majikan dan organisasi.
Lazimnya kita tahu bila gaji masuk, tahu bila cuti boleh dipohon, tahu apa kemudahan yang disediakan organisasi, tetapi apabila tiba masa untuk menyumbang lebih sedikit, ramai yang mula berkata, “Itu bukan kerja saya.”
Walaupun setiap staf mempunyai skop tugas yang telah ditetapkan, namun harus diingat organisasi tidak akan bergerak maju jika semua orang hanya bekerja berdasarkan apa yang tertulis di atas kertas sahaja.
Sikap terlalu berkira dan mengambil mudah tanggungjawab boleh membebankan rakan sekerja. Apabila seorang tidak membuat kerja dengan baik, orang lain terpaksa menampung kelemahannya.
Akibatnya, lama-kelamaan, staf yang rajin boleh berasa kecewa dan mula berfikir, “Kalau orang lain boleh buat kerja sambil lewa, kenapa saya perlu bersungguh-sungguh?”
Elak budaya menganggap salah laku kecil sebagai perkara biasa kerana kerosakan integriti dalam organisasi jarang bermula dengan kesalahan yang besar sebaliknya bermula dengan perkara yang dianggap remeh.
Misalnya, amalan seperti datang lewat dianggap biasa, mengambil masa menyelesaikan urusan peribadi, menggunakan kemudahan pejabat sesuka hati, menutup kesalahan rakan serta memberi alasan yang tidak benar akan merosakkan nilai murni organisasi.
Oleh sebab itulah pembudayaan integriti tidak boleh dijadikan tanggungjawab pegawai integriti, ketua jabatan atau pihak pengurusan semata-mata.
Sebaliknya, setiap staf perlu berani mengatakan bahawa sesuatu yang salah tetap salah walaupun ramai orang melakukannya.
Hakikatnya, tidak ada organisasi yang sempurna dan setiap tempat kerja mempunyai warga kerja dengan sikap, latar belakang dan cara kerja yang berbeza.
Kita juga tidak boleh melabel seseorang sebagai “setitik nila yang merosakkan” hanya kerana dia pernah melakukan kesilapan.
Justeru apa yang perlu diberi perhatian ialah tingkah laku negatif yang berulang, mempengaruhi orang lain dan dibiarkan tanpa tindakan.
Jika sebuah organisasi mahu membina budaya kerja yang sihat, tiga perkara perlu dilakukan secara konsisten, iaitu tegah tingkah laku yang merosakkan, tegur dengan cara yang beradab dan tunjukkan suri teladan yang baik.
Budaya sihat dan amalan tadbir urus serta tatakelola yang baik tidak boleh dibentuk hanya dengan paparan slogan di dinding atau buku peraturan semata-mata.
Hakikatnya, ia dibentuk melalui apa yang kita lakukan setiap hari seperti cara kita bercakap, cara kita melayan rakan, cara kita menjalankan amanah dan cara kita bertindak apabila tiada siapa melihat.
Tuntasnya, setitik nila mungkin nampak kecil dan tidak memberi kesan yang besar, tetapi jika dibiarkan ia boleh merebak dan merosakkan susu sebelanga.
Begitu juga analoginya dengan sesebuah organisasi baik awam mahupun korporat di mana pihak pengurusan tidak boleh membiarkan mana-mana individu mengulangi kesalahan kecil secara berterusan sehingga merosakkan nilai keseluruhan organisasi.
Tuntasnya, setitik nila mungkin kelihatan kecil, tetapi jika dibiarkan mampu merosakkan susu sebelanga.
Begitu juga analoginya dalam sesebuah organisasi, kesalahan kecil yang berulang dan sikap yang tidak diperbetulkan akhirnya boleh mencemarkan budaya, nilai dan reputasi seluruh organisasi.
Elak nila setitik rosak keseluruhan organisasi.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Noor Mohamad Bin Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
E-mel: nmohd77@upm.edu.my