
SAUDARA PENGARANG
- Buli meninggalkan trauma, kemurungan, hilang keyakinan dan menjejaskan prestasi akademik atau kerjaya, malah boleh membawa kepada tindakan drastik.
- Masyarakat mesti bertindak, jangan jadi penonton; lapor, halang pembuli dan sokong mangsa mengikut ajaran Islam serta prinsip amar makruf nahi mungkar.
- Pendidikan nilai sejak kecil, dasar sifar toleransi di institusi dan budaya empati diperlukan untuk mencegah buli sebelum parah.
Buli bukan lagi isu terpencil yang berlaku di sebalik tembok sekolah berasrama atau dalam kalangan remaja semata-mata. Mutakhir ini, ia telah menular menjadi barah sosial sama ada di sekolah, institusi pengajian tinggi, tempat kerja, media sosial malah dalam komuniti sendiri.
Lebih membimbangkan, masih ada segelintir masyarakat yang menganggap buli sebagai perkara biasa, sekadar gurauan, proses “mengeraskan mental” atau budaya senior terhadap junior.
Hakikatnya, setiap perlakuan buli meninggalkan kesan yang jauh lebih besar daripada kecederaan fizikal. Mangsa bukan sahaja dihantui trauma dan kemurungan, malah berdepan badai kepunahan keyakinan diri serta kemerosotan prestasi akademik atau kerjaya.
Malah, ada yang akhirnya mengambil tindakan drastik di luar jangkauan akal semata-mata kerana tidak lagi mampu memikul bebanan emosi yang begitu menghimpit.
Statistik semasa membuktikan bahawa kemelut ini masih berada pada tahap yang membimbangkan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan 7,681 kes buli sepanjang tahun 2024, meningkat berbanding 6,528 kes pada tahun 2023.
Daripada jumlah itu, 5,689 kes melibatkan sekolah menengah, manakala 1,992 kes berlaku di sekolah rendah.
Peningkatan ini menunjukkan bahawa usaha membanteras buli memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak, bukan sekadar bergantung kepada pihak sekolah atau penguat kuasa.
Statistik ini bukan sekadar angka. Ia menggambarkan bahawa budaya buli masih wujud dalam masyarakat dan mampu membawa kepada akibat yang amat tragis.
Negara masih mengingati kes Almarhum Zulfarhan Osman Zulkarnain, seorang penuntut universiti yang meninggal dunia pada tahun 2017 selepas menjadi mangsa penderaan oleh rakan-rakannya.
Kes tersebut bukan sahaja menggemparkan negara, malah menjadi simbol bagaimana budaya buli yang dibiarkan berakar umbi boleh bertukar menjadi jenayah yang meragut nyawa.
Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan terhadap enam bekas penuntut atas kesalahan membunuh dan 12 lagi atas kesalahan menyebabkan kecederaan menjadi peringatan bahawa perlakuan buli bukan sekadar salah laku disiplin, bahkan boleh membawa implikasi jenayah yang amat berat.
Islam Menolak Segala Bentuk Kezaliman
Islam meletakkan penghormatan terhadap maruah manusia sebagai satu tuntutan yang tidak boleh dipandang ringan. Perbuatan menyakiti orang lain, sama ada melalui tindakan fizikal, kata-kata atau tekanan emosi, adalah satu bentuk kezaliman yang ditegah. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 11:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain; boleh jadi mereka yang diperolok-olokkan lebih baik
daripada mereka…”
Ayat ini amat relevan dalam menangani budaya buli kerana kebanyakan kes bermula dengan ejekan, penghinaan dan gelaran yang memalukan sebelum berkembang menjadi penderaan fizikal.
Rasulullah SAW turut bersabda: “Seorang Muslim ialah orang yang kaum Muslimin yang lain selamat daripada gangguan lidah dan tangannya.” (Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini menjelaskan bahawa keselamatan seseorang bukan hanya daripada pukulan atau kecederaan fizikal, malah turut meliputi penghinaan, ejekan, ugutan, fitnah dan kata-kata yang melukakan hati.
Islam mengajar bahawa setiap individu memikul tanggungjawab untuk mencegah kezaliman, mempertahankan maruah insan dan tidak membiarkan kemungkaran berleluasa dalam masyarakat. Sikap berdiam diri terhadap perbuatan zalim hanya akan membuka ruang kepada lebih banyak penindasan dan penderitaan.
Buli Bermula Dengan Perkara Kecil
Ramai menyangka buli hanya berlaku apabila seseorang dipukul atau dicederakan. Hakikatnya, kebanyakan kes bermula dengan perkara yang dianggap remeh seperti usikan melampau, ejekan terhadap rupa paras, penghinaan terhadap latar belakang keluarga, gelaran yang memalukan, pemulauan, ugutan atau penyebaran kandungan di media sosial tanpa kebenaran.
Apabila perlakuan seperti ini dianggap perkara biasa, ia akhirnya menjadi budaya. Mangsa memilih untuk mengunci mulut kerana dihantui ketakutan dipersalahkan semula, diancam atau dibalas dendam. Lebih malang apabila orang di sekeliling hanya menjadi penonton, merakam video atau sekadar berpeluk tubuh tanpa bertindak.
Budaya “diam dan lihat” inilah yang membolehkan pembuli menjadi semakin berani. Sedangkan dalam Islam, membiarkan kezaliman berlaku tanpa usaha mencegahnya juga merupakan satu kegagalan menunaikan tanggungjawab sosial.
“You Touch, You Go” Membawa Mesej Tegas
Dalam menangani isu buli, ketegasan amat diperlukan. Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, memperkenalkan pendekatan “You Touch, You Go”, iaitu tiada kompromi terhadap mana-mana pelajar yang terbukti melakukan buli di institusi pendidikan MARA.
Pendirian ini menghantar isyarat yang jelas bahawa kecemerlangan akademik tidak boleh dijadikan perisai atau lesen untuk menghalalkan keruntuhan akhlak.
Seseorang pelajar mungkin memiliki rekod akademik yang memukau, namun sekiranya gagal menghormati maruah orang lain, maka pendidikan yang diterimanya gagal membentuk peribadi yang murni.
Ketegasan seperti ini bukan bertujuan menghukum semata-mata, tetapi menjadi langkah pencegahan agar budaya buli tidak terus menular.
Hukuman yang konsisten juga memberi keyakinan kepada mangsa untuk tampil membuat laporan dan menjadi pengajaran kepada masyarakat bahawa tiada siapa kebal daripada tindakan undang-undang atau disiplin.
Buli Tidak Terhenti Selepas Tamat Persekolahan
Ramai menyangka buli hanya berlaku dalam kalangan pelajar. Hakikatnya, budaya ini sering terbawa-bawa hingga ke alam pekerjaan.
Di tempat kerja, buli hadir dalam bentuk yang lebih halus seperti penghinaan secara terbuka, memalukan pekerja di hadapan rakan sekerja, ugutan oleh pihak atasan, menyebarkan fitnah, memulaukan individu tertentu, memberikan beban kerja yang tidak munasabah atau penyalahgunaan kuasa.
Walaupun tidak meninggalkan kesan fizikal, tekanan psikologi yang dialami mangsa boleh menyebabkan kebimbangan melampau, kemurungan, hilang motivasi dan akhirnya menjejaskan produktiviti organisasi.
Sebuah organisasi yang cemerlang bukan sekadar mendewa-dewakan KPI semata-mata, tetapi adalah sebuah entiti yang memastikan setiap pekerjanya berasa selamat, dihormati dan dihargai.
Masyarakat Tidak Boleh Menjadi Penonton
Islam bukan sahaja melarang seseorang menjadi pembuli, malah menuntut umatnya mencegah kezaliman.
Rasulullah SAW bersabda: “Tolonglah saudaramu sama ada dia menzalimi atau dizalimi.” (Riwayat al-Bukhari)
Apabila para sahabat bertanya bagaimana membantu orang yang zalim, Baginda menjelaskan bahawa bantuan itu ialah dengan menghalangnya daripada terus melakukan kezaliman.
Hadis ini mengajar bahawa masyarakat mempunyai tanggungjawab bersama. Menegur pembuli, melaporkan kejadian, melindungi mangsa dan tidak menormalisasikan budaya buli merupakan sebahagian daripada tuntutan amar makruf dan nahi mungkar.
Membina Budaya Empati
Usaha membanteras buli tidak boleh hanya bergantung kepada hukuman. Ia perlu bermula dengan pembentukan nilai dalam keluarga, sekolah, institusi pengajian tinggi, organisasi dan masyarakat.
Ibu bapa berperanan mendidik anak-anak supaya menghormati orang lain sejak kecil. Guru dan pensyarah pula perlu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat serta bertindak segera terhadap setiap aduan.
Institusi pendidikan hendaklah melaksanakan dasar sifar toleransi terhadap buli, manakala majikan perlu memastikan tempat kerja bebas daripada budaya intimidasi dan penyalahgunaan kuasa.
Lebih penting, masyarakat perlu membina budaya empati. Anak-anak harus diajar bahawa keberanian sebenar bukanlah menakutkan orang lain, tetapi mempertahankan mereka yang dizalimi.
Populariti tidak pernah menghalalkan penghinaan, manakala kekuatan bukan diukur melalui kemampuan menguasai orang lain, sebaliknya melalui kebijaksanaan mengawal diri dan menghormati maruah sesama insan.
Membanteras buli bukan sekadar menghukum pembuli selepas sesuatu tragedi berlaku, tetapi membina masyarakat yang menghormati maruah manusia sejak dari akar umbi. Pendidikan nilai, penguatkuasaan yang konsisten, sokongan kepada mangsa dan keberanian masyarakat untuk tidak berdiam diri perlu bergerak seiring.
Buli bukan sekadar salah laku disiplin, bahkan ancaman terhadap kesejahteraan masyarakat dan masa depan negara. Sudah tiba masanya budaya “diam dan lihat” digantikan dengan budaya “cegah sebelum parah”.
Ketegasan seperti pendekatan “You Touch, You Go” perlu disokong oleh semua pihak agar tiada lagi ruang untuk pembuli berasa kebal daripada tindakan.
Akhirnya, sebuah masyarakat yang benar-benar maju bukan diukur pada pembangunan fizikal atau kemajuan teknologi semata-mata, tetapi pada keupayaannya melindungi golongan yang lemah dan mempertahankan maruah setiap insan.
Apabila empati mengatasi ego, hormat mengatasi penghinaan dan ihsan mengatasi kezaliman, barulah kita mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik dan kerjaya, malah tinggi akhlaknya serta menjadi aset kepada agama, bangsa dan negara.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Norashikin Azmi
Pegawai Tadbir
Universiti Islam Selangor
E-mel: norashikinazmi@uis.edu.my

Muhammad Dinsuhaimi
Penolong Pendaftar
Universiti Sains Islam Malaysia