Budaya ‘kerja segera’: Realiti atau sekadar mitos produktiviti?

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Budaya 'kerja segera' sering akibat kegagalan perancangan dan keputusan lewat pihak pengurusan.
  • Tekanan masa dan KPI tidak realistik menyebabkan burnout, pengurangan kreativiti, kesihatan mental terjejas dan pusing ganti pekerja meningkat.
  • Produktiviti sebenar memerlukan hala tuju jelas, perancangan matang dan penjagaan kebajikan pekerja sebagai pelaburan jangka panjang.

Saban hari, ruang pejabat dan aplikasi mesej digital pekerja sering dihujani dengan frasa ‘as soon as possible‘ (ASAP) atau ‘segera’. Tidak dinafikan dalam era ekonomi yang bergerak pantas, kepantasan menyiapkan kerja sering kali diangkat sebagai kayu ukur utama kejayaan sesebuah organisasi.

Namun, di sebalik kerancakan budaya ‘kerja segera’ ini, timbul satu persoalan yang menuntut jawapan jujur: Adakah budaya ‘menekan-nekan’ pekerja ini benar-benar membuahkan realiti hasil yang berkualiti, atau ia sekadar satu mitos produktiviti yang akhirnya membunuh kreativiti dan kesihatan mental?

Bagi mengupas persoalan ini, kita perlu melihat akar umbi mengapa budaya ‘nak cepat’ ini berlaku. Sering kali, arahan ‘last-minute’ yang menekan pekerja bukanlah disebabkan oleh tuntutan pasaran yang luar biasa, melainkan manifestasi daripada kegagalan merancang di peringkat pengurusan.

Apabila pihak atasan lewat membuat keputusan atau lemah dalam menyusun strategi masa dengan baik, ‘kebakaran’ yang timbul terpaksa dipadamkan oleh pekerja bawahan.

Akibatnya, pekerja dikerah untuk menghasilkan keputusan magis dalam masa beberapa jam, sedangkan tugas tersebut secara realistiknya memerlukan masa beberapa hari untuk diteliti demi sebuah hasil yang berkualiti.

Lebih mengecewakan, status ‘segera’ yang diberikan selalunya tidak disusuli dengan tindakan yang munasabah. Ramai pekerja terpaksa mengorbankan masa rehat dan kestabilan emosi demi mengejar ‘due-date’ yang tidak realistik.

Ada kala hasil kerja yang dibuat dalam mod ‘segera’ ini, akhirnya ‘sepi’ tanpa sebarang maklum balas daripada pihak pengurusan. Arahan yang kononnya kritikal itu rupa-rupanya sekadar satu keperluan misteri yang tidak diketahui hujung pangkalnya, malah ada kalanya objektif sebenar tugasan tersebut kekal kabur dan samar.

Apabila tugasan yang dikerah seolah-olah tiada nilai impak dan sekadar berakhir di dalam fail simpanan, ia bukan sahaja membazirkan sumber syarikat, malah menghakis motivasi dalaman pekerja secara perlahan-lahan.

Kombinasi antara tekanan masa, kekaburan objektif, dan heretan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang tidak realistik inilah yang menjadi formula utama kepada kelesuan upaya (burnout) dalam kalangan pekerja. Berlari dalam keadaan gelap demi mengejar angka di atas kertas hanya akan mengundang keletihan yang sia-sia.

Pekerja bukan sahaja kepenatan secara fizikal, malah emosi mereka terdera kerana merasakan diri mereka sekadar robot yang melakukan kerja mekanikal tanpa impak nyata.

Akibatnya, syarikat bakal berdepan dengan kerugian lebih besar apabila kadar pusing ganti pekerja (turnover rate) meningkat disebabkan bakat-bakat terbaik memilih untuk angkat kaki demi menyelamatkan kesihatan mental mereka.

Budaya menekan demi mengejar keputusan segera ini jelas merupakan satu mitos produktiviti yang amat merugikan kelestarian organisasi. KPI syarikat sepatutnya berfungsi sebagai kompas strategik untuk memandu kualiti dan ROI, bukannya dijadikan ‘tali jerat’ yang mematikan potensi manusiawi pekerja.

Sudah tiba masanya pihak pengurusan menilai semula acuan budaya kerja tegang ini. Melindungi kebajikan pekerja daripada ‘burnout’ bukan bermakna syarikat menjadi lemah, sebaliknya ia adalah pelaburan bijak untuk masa hadapan.

Produktiviti sebenar tidak lahir daripada ketakutan dan tekanan melampau, tetapi daripada hala tuju yang jelas, perancangan yang matang, dan minda pekerja yang sihat. Hargailah pekerja kerana mereka bukan sekadar aset organisasi semata-mata tetapi manusia yang mempunyai perasaan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Hazelena Dewi Fatahul Ariffin
Pensyarah
Jabatan Pengurusan dan Perniagaan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
University Islam Selangor
E-mel: hazelena@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.