
SAUDARA PENGARANG
- Gunakan Smart Logistics: AI, IoT, data besar dan algoritma untuk optimalkan laluan, gabungkan penghantaran dan tingkatkan penggunaan kapasiti kenderaan.
- Belajar daripada Singapura, Jepun dan Belanda, guna perkongsian sumber, automasi, pengoptimuman sistem dan elektrifikasi berperingkat.
- Ukur jejak karbon, gunakan data untuk pengurusan inventori dan laluan, serta galak insentif kerajaan untuk sokong peralihan teknologi hijau.
Apabila kita membeli makanan di pasar raya atau membuat pesanan melalui platform online, perhatian kita biasanya tertumpu kepada harga barang dan kos penghantaran.
Namun, di sebalik setiap penghantaran terdapat satu kos yang jarang kelihatan iaitu penggunaan bahan api, kesesakan jalan raya, penggunaan tenaga dan pelepasan karbon.
Persoalannya, bolehkah Malaysia membangunkan sistem logistik yang lebih hijau dan mampan tanpa menyebabkan harga barang meningkat? Jawapannya ialah boleh, tetapi pendekatannya mesti pintar.
Logistik Penting Kepada Ekonomi Malaysia
Sektor pengangkutan dan penyimpanan bukan lagi sekadar sektor sokongan kepada perdagangan. Ia semakin menjadi sebahagian penting daripada daya saing ekonomi negara.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2025, manakala subsektor pengangkutan dan penyimpanan mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 9.0 peratus.
Ini menunjukkan aktiviti logistik berkembang lebih pantas daripada pertumbuhan ekonomi keseluruhan.
Pertumbuhan e-dagang, perdagangan antarabangsa, industri pembuatan, makanan dan minuman serta penghantaran last-mile akan terus meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan logistik.
Namun, lebih banyak pergerakan barang bermakna lebih banyak penggunaan tenaga dan berpotensi menghasilkan lebih banyak pelepasan karbon jika operasi tidak dirancang dengan cekap.
Maka, cabaran utama kita bukanlah untuk mengurangkan pergerakan barang tetapi bagaimana memastikan barang bergerak secara lebih efisien.
Bayangkan sebuah lori bergerak dari Kuala Lumpur ke Kedah dengan hanya 50 peratus kapasiti muatan. Dalam perjalanan pulang, lori yang sama pula bergerak kosong.
Dari perspektif perniagaan, syarikat mungkin melihatnya sebagai kos operasi namun dari aspek alam sekitar, ia adalah pelepasan karbon yang sebenarnya boleh dielakkan.
Di sinilah Konsep Smart Logistics menjadi penting dengan penggunaan Artificial Intelligence (AI), Internet of Things (IoT), big data dan algoritma pengoptimuman yang boleh membantu syarikat menentukan laluan terbaik, menggabungkan penghantaran, meningkatkan penggunaan kapasiti kenderaan dan mengurangkan perjalanan kosong.
Dengan kata lain, logistik hijau tidak semestinya bermula dengan membeli lori elektrik. Ia boleh bermula dengan memastikan lori yang sedia ada bergerak dengan lebih cekap dan efisien.
Pengajaran Dari Singapura
Singapura memberikan contoh menarik bagaimana teknologi, perancangan bandar dan logistik digabungkan.
Kerajaan Singapura kini memberi tumpuan kepada sistem penghantaran bandar yang lebih cekap, termasuk perkongsian sumber, pengoptimuman operasi dan penggunaan teknologi untuk mengurangkan jumlah perjalanan kenderaan penghantaran.
Pendekatan ini penting kerana pertumbuhan e-dagang meningkatkan permintaan terhadap penghantaran dalam kawasan bandar.
Singapura juga mempunyai dasar yang jelas untuk mempercepatkan penggunaan kenderaan lebih bersih.
Kementerian Pengangkutan Singapura menyasarkan untuk mengurangkan jejak karbon negara melalui peralihan kepada kenderaan bertenaga bersih menjelang tahun 2040, selaras dengan Singapore Green Plan 2030 dan menyediakan insentif termasuk skim untuk kenderaan komersial ringan.
Malaysia boleh mengambil pengajaran daripada pendekatan ini. Kita tidak semestinya perlu meniru model Singapura sepenuhnya.
Tetapi konsep resource sharing, route optimisation, urban consolidation dan fleet electrification boleh disesuaikan dengan keadaan bandar-bandar Malaysia.
Jepun Sedia Teknologi Hadapi Kekurangan Tenaga Kerja
Jepun pula memberikan satu lagi pengajaran penting. Masalah logistik bukan hanya mengenai karbon tetapi ia juga berkaitan dengan kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos dan keperluan meningkatkan produktiviti.
Oleh itu, konsep Smart Logistics di Jepun semakin menekankan penggunaan automasi, data, sistem gudang pintar dan teknologi untuk mengurangkan kebergantungan kepada proses manual.
Ini relevan kepada Malaysia kerana transformasi logistik pada masa hadapan tidak boleh hanya bergantung kepada pertambahan jumlah pekerja atau kenderaan.
Kita perlu meningkatkan produktiviti setiap kenderaan, setiap gudang dan setiap pekerja.
Belanda Mengoptimumkan Sistem, Bukan Hanya Kenderaan
Belanda pula terkenal dengan pendekatan yang lebih bersepadu terhadap logistik bandar dan pengangkutan barang. Pengajaran utama daripada negara-negara maju ialah kelestarian tidak boleh dilihat hanya dari sudut jenis kenderaan.
Ia perlu dilihat sebagai sistem keseluruhan daripada lokasi gudang, pengurusan inventori, mod pengangkutan, laluan penghantaran sehingga ke destinasi akhir.
Ini penting untuk Malaysia kerana jika sebuah syarikat menggunakan lori elektrik tetapi lori tersebut masih bergerak dengan muatan rendah, membuat perjalanan kosong dan menunggu lama akibat kesesakan, kita belum mencapai logistik yang benar-benar pintar.
Kenderaan hijau tidak semestinya menghasilkan sistem logistik hijau jika sistemnya tidak cekap.
Bagaimana pula dengan harga barang?
Ini merupakan persoalan yang paling dekat dengan rakyat. Transformasi hijau mempunyai kos. Kenderaan elektrik, sistem automasi, perisian, sensor dan infrastruktur pengecasan memerlukan pelaburan tetapi kita perlu melihatnya dalam perspektif jangka panjang.
Sebagai contoh, pengoptimuman laluan boleh mengurangkan jarak perjalanan dan penggunaan bahan api. Pengurusan inventori yang lebih tepat boleh mengurangkan lebihan stok dan kerosakan.
Sistem penghantaran yang lebih tersusun pula boleh mengurangkan masa menunggu dan penggunaan kenderaan.
Kesannya, teknologi hijau bukan semata-mata meningkatkan kos tambahan. Ia boleh menjadi alat pengurangan kos.
Malaysia perlu membina “Smart Green Logistics Ecosystem”
Pada pandangan saya, Malaysia perlu bergerak daripada pendekatan yang berasingan kepada satu Ekosistem Logistik Hijau Pintar (Smart Green Logistics Ecosystem).
Pertama, syarikat perlu mula mengukur carbon footprint operasi logistik untuk mengurangkan kos operasi dan memenuhi pematuhan kawalseliaan.
Kedua, data perlu digunakan untuk mengoptimumkan laluan, kapasiti dan jadual penghantaran.
Ketiga, penggunaan kenderaan rendah karbon perlu diperluaskan secara berperingkat, terutama bagi operasi penghantaran bandar dan perjalanan yang mempunyai corak penggunaan yang sesuai.
Keempat, gudang perlu bergerak ke arah automasi dan penggunaan tenaga yang lebih cekap.
Kelima, kerajaan perlu menyediakan pelbagai insentif untuk menggalakkan syarikat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, melabur dalam teknologi hijau dan melaksanakan amalan mesra alam.
Universiti pula mempunyai peranan penting untuk menyediakan tenaga kerja yang mempunyai gabungan kemahiran logistik, AI, data analytics, optimisation dan sustainability.
Dari “Faster and Cheaper” Kepada “Smarter, Cleaner and Resilient”
Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh untuk membangunkan ekosistem logistik yang lebih pintar.
Pada 2025, ekonomi negara bernilai sekitar RM2.03 trilion pada harga semasa, manakala pertumbuhan sektor pengangkutan dan penyimpanan menunjukkan kepentingannya yang semakin meningkat.
Persoalannya sekarang bukan sama ada kita memerlukan logistik pintar dan hijau kerana kita memang memerlukannya.
Persoalan yang lebih penting ialah seberapa cepat industri, kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti boleh bergerak bersama. Kita tidak perlu menunggu semua kenderaan menjadi elektrik sebelum bercakap tentang logistik hijau.
Kita boleh bermula hari ini dengan mengurangkan perjalanan kosong, mengoptimumkan laluan, meningkatkan penggunaan kapasiti, mengurangkan pembaziran makanan, berkongsi sumber logistik dan menggunakan data untuk membuat keputusan yang lebih baik.
Akhirnya, matlamat logistik hijau bukan untuk menghentikan pergerakan barang. Matlamatnya ialah memastikan barang bergerak dengan lebih bijak, lebih cekap, lebih rendah karbon dan pada kos yang mampu ditanggung oleh rakyat serta industri.
Jika berjaya, logistik hijau bukan lagi sekadar agenda alam sekitar. Ia boleh menjadi sumber kelebihan daya saing baharu Malaysia.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim
Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik
Universiti Utara Malaysia
E-mel: mk.irwan@uum.edu.my