Banjir Nepal, bencana bergerak pantas sistem amaran perlu pintar

Keadaan rumah penduduk yang musnah akibat banjir kilat di Devighat, Daerah Nuwakot pada 31 Ogos 2026/Fail AFP

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem amaran awal perlu berasaskan risiko, bukan sekadar memberitahu bahawa bahaya mungkin berlaku.
  • Integrasi data hujan, paras sungai, bentuk muka bumi, geologi, penempatan dan sosioekonomi untuk analisis bersepadu menentukan kawasan paling berisiko.
  • Amaran mesti diterjemahkan kepada maklumat mudah difahami dan arahan tindakan cepat seperti laluan pemindahan dan keutamaan perlindungan infrastruktur.
  • Tukar budaya respons pasca bencana kepada budaya menjangka dan mengurus risiko menggunakan teknologi, bukti dan tadbir urus baik.

Tragedi banjir dengan aliran lumpur dan sampah sarap yang melanda kawasan sempadan Nepal dan Tibet baru-baru ini bukan sekadar kisah tentang bencana alam.

Ia merupakan peringatan bahawa apabila sesuatu bencana berkembang lebih pantas daripada kemampuan manusia untuk bertindak, setiap minit menjadi sangat berharga.

Kejadian yang dikaitkan dengan runtuhan ais dan batu di kawasan Himalaya menghasilkan aliran air, lumpur dan serpihan yang bergerak pantas ke kawasan hilir.

Keadaan ini memberi gambaran jelas bahawa bencana pada hari ini boleh berlaku secara kompleks, saling berkaitan dan sukar ditangani dengan hanya memantau satu jenis ancaman.

Persoalan yang perlu kita fikirkan ialah sama ada sistem amaran awal kita sekadar memberitahu bahawa sesuatu bahaya mungkin berlaku, atau mampu memberitahu siapa yang paling berisiko dan tindakan yang perlu diambil.

Perbezaannya Sangat Besar. Ramalan hujan, misalnya, penting untuk mengenal pasti kemungkinan berlakunya banjir. Namun, ramalan sahaja tidak semestinya menggambarkan tahap risiko kepada masyarakat.

Untuk tujuan tersebut, data hujan perlu dilihat bersama maklumat paras sungai, bentuk muka bumi, keadaan cerun, geologi, lokasi penempatan dan infrastruktur kritikal.

Kesemua maklumat ini perlu dianalisis secara bersepadu untuk menjawab persoalan yang lebih penting: kawasan mana yang paling berisiko, siapa yang terdedah dan berapa banyak masa yang masih ada untuk bertindak?

Inilah asas kepada pendekatan pengurusan bencana yang berasaskan risiko dan data. Malaysia sebenarnya sudah bergerak ke arah ini.

Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) memberi penekanan kepada pengurangan risiko bencana, peningkatan kesiapsiagaan, penggunaan teknologi termaju dan penambahbaikan Sistem Amaran Awal Meteorologi untuk Semua.

RMK13 turut menetapkan sasaran untuk memperluas jenis bencana yang diliputi sistem tersebut daripada enam kepada 10 jenis menjelang 2030.
Lebih penting, usaha mengintegrasikan data cuaca, hidrologi, geologi dan sosioekonomi antara agensi menyediakan asas yang lebih kukuh untuk membina sistem amaran yang bukan sekadar berasaskan bahaya, tetapi berasaskan risiko.

Namun, data yang banyak tidak semestinya bermakna kita lebih bersedia. Data hanya memberi nilai apabila dapat diterjemahkan kepada maklumat yang mudah difahami dan keputusan yang pantas.

Sistem amaran yang baik bukan sekadar menghasilkan peta atau amaran, tetapi membantu pihak berkuasa menentukan kawasan yang perlu diberi keutamaan, laluan pemindahan yang sesuai dan infrastruktur yang perlu dilindungi.

Pendekatan ini juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan tadbir urus yang baik dan kesejahteraan rakyat.

Dalam konteks bencana, kesejahteraan rakyat perlu diterjemahkan kepada keupayaan untuk menggunakan bukti dan data bagi melindungi nyawa sebelum bencana berlaku, bukan hanya bertindak selepas kemusnahan berlaku.

Malaysia mungkin tidak berdepan dengan risiko glasier seperti Nepal. Namun, kita berhadapan dengan banjir, tanah runtuh, kepala air dan pelbagai bencana lain yang boleh berlaku dengan pantas.

Oleh itu, pengajaran daripada Nepal perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. Kita perlu bergerak daripada budaya bertindak selepas bencana kepada budaya menjangka dan mengurus risiko sebelum bencana berlaku.

Teknologi boleh membantu kita melihat lebih awal. Data boleh membantu kita memahami risiko. Tetapi akhirnya, sistem amaran hanya benar-benar berjaya apabila maklumat tersebut sampai kepada masyarakat tepat pada masanya dan mendorong tindakan yang dapat menyelamatkan nyawa.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Prof. Madya Dr. Nazrina Aziz
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Sains Kuantitatif
Universiti Utara Malaysia (UUM)
E-mel: nazrina@uum.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.