
SAUDARA PENGARANG
- Jejak digital harian membina profil terperinci tentang minat, rutin dan kecenderungan kita.
- Sains data boleh beri manfaat besar dalam kesihatan, pertanian, pengangkutan dan pengurusan bencana jika digunakan secara bertanggungjawab.
- Pengumpulan data tanpa pemahaman dan kebenaran menjejaskan privasi; aplikasi sering minta kebenaran berlebihan.
- Algoritma boleh menimbulkan bias dan keputusan tidak adil; perlunya pengawasan manusia, ketelusan dan peluang rayuan.
Pernahkah kita berbual tentang sesuatu produk, kemudian iklannya muncul di telefon? Atau membuka aplikasi penstriman dan mendapati filem yang dicadangkan benar-benar menepati cita rasa kita?
Keadaan ini mungkin terasa seperti kebetulan.
Namun, di sebaliknya terdapat teknologi yang mengumpul, menganalisis dan mempelajari tingkah laku kita melalui data.
Teknologi ini semakin pintar sehingga mampu menjangkakan perkara yang mungkin kita inginkan sebelum kita sendiri menyedarinya.
Setiap hari, kita menghasilkan jejak digital tanpa disedari. Carian di internet, video yang ditonton, lokasi yang dikunjungi, barangan yang dibeli dan tempoh kita melihat sesuatu hantaran merupakan maklumat yang bernilai.
Malah, tindakan kecil seperti menekan butang ‘suka’, berkongsi gambar atau berhenti seketika pada sebuah video turut boleh direkodkan.
Apabila digabungkan, data tersebut menghasilkan gambaran terperinci tentang minat, rutin, personaliti dan kecenderungan seseorang.
Telefon pintar, jam tangan pintar dan pelbagai aplikasi menjadikan pengumpulan data semakin meluas.
Aplikasi kecergasan, misalnya, boleh merekodkan bilangan langkah, kadar denyutan jantung, tempoh tidur dan lokasi aktiviti fizikal.
Aplikasi penghantaran makanan pula mengetahui jenis makanan yang kita gemari, waktu kita biasanya membuat pesanan dan jumlah yang sanggup dibelanjakan.
Sedikit demi sedikit, maklumat ini membentuk profil digital yang mungkin lebih tersusun daripada ingatan kita sendiri.
Di sinilah sains data memainkan peranan. Secara mudah, sains data ialah bidang yang menggunakan kaedah statistik, pengkomputeran dan kecerdasan buatan untuk menemukan corak dalam sejumlah besar maklumat.
Melalui corak tersebut, sistem boleh membuat ramalan. Sebagai contoh, platform beli-belah boleh meramalkan produk yang mungkin kita beli, manakala aplikasi navigasi boleh mencadangkan laluan berdasarkan lokasi, sejarah perjalanan dan keadaan trafik semasa.
Penggunaan data bukanlah sesuatu yang semestinya buruk. Dalam bidang kesihatan, data dapat membantu doktor mengenal pasti risiko penyakit lebih awal dan menyokong pemilihan rawatan yang lebih sesuai.
Dalam pertanian, data cuaca, keadaan tanah dan kesihatan tanaman boleh digunakan untuk menentukan masa terbaik bagi menanam atau menuai.
Pihak berkuasa pula boleh menggunakan data trafik untuk merancang jalan raya, mengurangkan kesesakan dan menambah baik sistem pengangkutan awam.
Sains data juga boleh memberi manfaat dalam pengurusan bencana. Maklumat tentang taburan hujan, paras sungai dan pergerakan penduduk boleh membantu pihak berkuasa mengesan kawasan berisiko banjir serta menyampaikan amaran awal.
Dalam pendidikan, data boleh digunakan untuk mengenal pasti pelajar yang memerlukan sokongan tambahan.
Apabila digunakan secara bertanggungjawab, sains data mampu meningkatkan mutu perkhidmatan serta membantu manusia membuat keputusan yang lebih pantas dan tepat.
Namun, persoalan penting ialah sejauh mana kita memahami data yang dikumpulkan tentang diri kita. Kebanyakan pengguna menerima syarat penggunaan sesuatu aplikasi tanpa membacanya.
Kita mungkin tidak mengetahui jenis maklumat yang dikumpulkan, tempoh penyimpanannya atau pihak yang boleh mengaksesnya.
Ada aplikasi yang meminta kebenaran untuk mengakses lokasi, kamera, mikrofon dan senarai kenalan walaupun fungsi tersebut tidak begitu diperlukan.
Akibatnya, kita mungkin mendedahkan sebahagian daripada kehidupan peribadi tanpa benar-benar menyedarinya.
Algoritma juga boleh mempengaruhi pilihan kita. Apabila sistem sentiasa memaparkan kandungan yang selari dengan minat dan pandangan kita, kita mungkin hanya melihat maklumat yang mengukuhkan kepercayaan sedia ada.
Keadaan ini dikenali sebagai ‘gelembung maklumat’, iaitu situasi apabila pengguna kurang terdedah kepada pandangan yang berbeza.
Dalam konteks yang lebih serius, data boleh digunakan untuk mempengaruhi keputusan membeli, pandangan politik, emosi dan cara seseorang menilai sesuatu isu.
Selain itu, ramalan berasaskan data tidak semestinya sentiasa tepat atau adil. Jika data yang digunakan tidak lengkap, tidak seimbang atau mengandungi kecenderungan tertentu, keputusan yang dihasilkan juga boleh berat sebelah.
Kesannya menjadi lebih besar apabila algoritma digunakan untuk menilai permohonan pekerjaan, pinjaman, kemasukan ke institusi pendidikan atau kelayakan menerima bantuan.
Seseorang mungkin menerima keputusan yang tidak adil hanya kerana sistem mengaitkannya dengan corak tertentu dalam data terdahulu.
Oleh sebab itu, keputusan penting tidak sepatutnya diserahkan sepenuhnya kepada mesin tanpa pengawasan manusia.
Algoritma boleh membantu menilai maklumat dengan pantas, tetapi manusia masih perlu mempertimbangkan konteks, nilai moral dan keadaan individu.
Organisasi yang menggunakan sistem berasaskan data juga perlu menerangkan cara sesuatu keputusan dibuat.
Jika seseorang ditolak daripada menerima pinjaman atau peluang pekerjaan, individu tersebut wajar diberi penjelasan dan peluang untuk membuat rayuan.
Sebagai pengguna, kita perlu meningkatkan celik data. Kita boleh bermula dengan menyemak tetapan privasi, mengehadkan kebenaran aplikasi dan mengelakkan perkongsian maklumat peribadi secara berlebihan.
Kita juga perlu berfikir sebelum menekan sesuatu pautan, menjawab kuiz dalam talian atau memuat naik lokasi semasa.
Penggunaan kata laluan yang kukuh dan unik bagi setiap akaun dapat membantu melindungi maklumat peribadi daripada kebocoran dan penyalahgunaan.
Pada masa yang sama, organisasi yang mengumpul data perlu bersikap telus dan bertanggungjawab.
Pengguna berhak mengetahui tujuan data mereka dikumpulkan, bagaimana data itu digunakan dan dengan siapa data tersebut dikongsi.
Maklumat yang dikumpulkan juga hendaklah terhad kepada perkara yang benar-benar diperlukan.
Sistem berasaskan algoritma perlu dinilai secara berkala bagi memastikan keputusannya tepat, selamat dan tidak mendiskriminasi mana-mana pihak.
Kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat turut mempunyai tanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran tentang data. Pendidikan berkaitan privasi dan keselamatan digital perlu diberikan sejak di bangku sekolah.
Orang ramai bukan sahaja perlu tahu menggunakan teknologi, tetapi juga memahami kesan penggunaan tersebut.
Kemahiran ini penting kerana kehidupan moden semakin bergantung pada aplikasi, perkhidmatan digital dan sistem kecerdasan buatan.
Data mungkin mengenali tabiat kita dengan baik, tetapi data tidak memahami sepenuhnya nilai, impian dan perubahan dalam diri manusia.
Teknologi seharusnya membantu kita, bukannya mempengaruhi kehidupan kita tanpa kita sedari.
Dalam dunia yang semakin dipacu oleh data, persoalannya bukan lagi sama ada maklumat kita sedang dikumpulkan, tetapi sama ada kita memahami penggunaannya dan masih mempunyai kawalan terhadapnya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Siti Nurulain Mohd Rum
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Komputer
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Putra Malaysia
E-mel: snurulain@upm.edu.my