
SAUDARA PENGARANG
- Tekanan akademik terbina sedikit demi sedikit, menjadikan markah ukuran nilai diri dan menyebabkan pelajar tertekan.
- Penyalahgunaan ubat preskripsi sebagai 'ubat fokus' memberi kesan kesihatan serius: gangguan tidur, keresahan, degupan jantung cepat dan risiko kebergantungan.
- Pencegahan perlu holistik: saringan kesihatan mental, pendidikan tentang bahaya ubat, latihan pensyarah dan pengesanan tanda awal.
- Masyarakat dan ibu bapa mesti semak semula makna kejayaan supaya kesejahteraan mental dan akhlak dihargai, bukan hanya kecemerlangan akademik.
Di atas kertas, pelajar cemerlang sering dilihat sebagai lambang disiplin, ketekunan dan masa depan negara. Mereka mendapat markah tinggi, memenuhi KPI akademik dan menjadi kebanggaan keluarga. Namun di sebalik senyuman pada hari keputusan peperiksaan, ada tekanan senyap yang jarang dibincangkan secara terbuka.
Dalam dunia pendidikan yang semakin kompetitif, kejayaan kadang-kadang tidak lagi diraikan sebagai proses pembelajaran. Ia berubah menjadi perlumbaan tanpa garisan penamat. Tidur dianggap kelemahan, rehat dilihat membuang masa, dan kegagalan kecil terasa seperti hukuman besar.
Di sinilah muncul kebimbangan baharu: Penyalahgunaan ubat preskripsi sebagai “ubat fokus” atau cognitive enhancers. Ubat yang sepatutnya digunakan untuk rawatan tertentu, termasuk gangguan tumpuan seperti ADHD, disalahgunakan oleh sebahagian pelajar untuk berjaga malam, mengekalkan fokus dan mengejar prestasi akademik.
Siri “Teach You a Lesson” di Netflix memberi gambaran dramatik tentang sistem sekolah yang tertekan, termasuk tekanan terhadap pelajar, guru dan keluarga. Siri ini memaparkan sebuah biro fiksyen yang campur tangan apabila murid, guru atau ibu bapa melampaui batas dalam persekitaran sekolah yang bermasalah.
Walaupun bersifat fiksyen dan dramatik, mesej sosialnya melangkaui sempadan negara. Fenomena Juken Jigoku atau “Examination Hell” di Jepun misalnya sering dirujuk sebagai contoh bagaimana tekanan keluarga, masyarakat dan sistem pendidikan yang terlalu kompetitif boleh memberi kesan besar kepada pelajar.
Dalam budaya tersebut, kejayaan akademik bukan sekadar pencapaian peribadi. Ia turut dikaitkan dengan maruah keluarga, status sosial dan peluang masa depan. Namun di sebalik penekanan terhadap budaya ilmu dan disiplin, timbul kebimbangan tentang kesihatan mental, keletihan emosi dan kesejahteraan pelajar.
Di sinilah siri fiksyen dan fenomena dunia sebenar bertemu. Kedua-duanya mengingatkan kita bahawa tekanan untuk memasuki laluan pendidikan elit bukan hanya berpunca daripada peperiksaan. Ia turut dibentuk oleh jangkaan keluarga, budaya perbandingan dan ketakutan untuk gagal.
Apa yang boleh kita belajar daripada kiswah-kisah ini?
Pertama, tekanan akademik jarang berlaku secara tiba-tiba. Ia terbina sedikit demi sedikit. Bermula dengan kelas tambahan, kemudian jadual yang terlalu padat, seterusnya rasa bersalah apabila berehat. Akhirnya, pelajar mula percaya bahawa nilai dirinya hanya bergantung pada markah.
Kedua, kasih sayang yang tidak seimbang boleh berubah menjadi kawalan. Ramai ibu bapa mahu anak berjaya. Itu naluri yang baik. Namun, apabila setiap keputusan peperiksaan menjadi ukuran kasih, anak mungkin berasa dirinya hanya berharga apabila cemerlang.
Ketiga, penyalahgunaan ubat tidak semestinya bermula dengan niat buruk. Ada pelajar mengambilnya kerana mahu kekal berjaga. Ada yang mahu menyiapkan tugasan. Ada juga yang sekadar mahu “bertahan” dalam sistem yang terlalu menekan. Masalahnya, jalan pintas ini boleh membawa kesan panjang.
Dari sudut kesihatan, ubat perangsang bukan gula-gula akademik. Jika diambil tanpa pemantauan doktor, ia boleh mengganggu tidur, meningkatkan keresahan, mempercepat degupan jantung dan membawa risiko kebergantungan. Dalam konteks pelajar perubatan, isu ini lebih membimbangkan kerana mereka sepatutnya dilatih memahami etika penggunaan ubat.
Bayangkan seorang pelajar yang hadir ke kuliah dengan mata merah, tangan menggigil dan fikiran bercelaru. Pada zahirnya, dia masih menjawab soalan pensyarah. Namun, di bilik asrama, dia tidak tidur dengan baik, hilang selera makan dan mula percaya bahawa tanpa pil tertentu, dia tidak mampu berfungsi.
Inilah wajah tekanan yang tidak selalu kelihatan dalam transkrip akademik. Masyarakat juga perlu membuang mitos bahawa penyalahgunaan bahan hanya berlaku dalam kalangan mereka yang tercicir.
Realitinya, tekanan, kebimbangan dan budaya persaingan boleh wujud dalam mana-mana kelompok, termasuk golongan berpendidikan tinggi. AADK sendiri merupakan agensi utama negara dalam usaha pencegahan, rawatan dan pemulihan berkaitan penyalahgunaan dadah.
Dari sudut psikologi, isu ini boleh difahami melalui konsep self-medication, iaitu kecenderungan seseorang menggunakan bahan tertentu untuk meredakan tekanan, keresahan atau emosi yang tidak tertanggung. Dalam bahasa mudah, mereka bukan mencari “keseronokan”, tetapi mencari jalan keluar yang salah.
Sebab itu, penyelesaiannya tidak boleh hanya berbentuk hukuman. Kita perlu bertanya soalan yang lebih jujur: mengapa pelajar merasa mereka perlu mengorbankan kesihatan untuk membuktikan kecemerlangan?
Empat langkah wajar diberi perhatian.
Pertama, institusi pendidikan perlu menyediakan saringan kesihatan mental secara berkala, terutama bagi program bertekanan tinggi seperti perubatan, kejuruteraan dan bidang profesional lain.
Kedua, fakulti dan sekolah perlu mendidik pelajar tentang bahaya penyalahgunaan ubat preskripsi. Pendidikan ini mesti menyentuh aspek kesihatan, undang-undang dan etika, bukan sekadar amaran umum.
Ketiga, pensyarah, mentor dan kaunselor perlu dilatih mengenal tanda awal seperti insomnia melampau, perubahan tingkah laku, keresahan, pengasingan diri atau kebergantungan kepada bahan tertentu.
Keempat, ibu bapa dan masyarakat perlu menilai semula makna kejayaan. Anak yang sihat, berdaya tahan dan berakhlak tidak kurang nilainya berbanding anak yang hanya cemerlang di atas kertas.
Kisah-kisah seperti ini bukan sekadar hiburan. Ia mengingatkan kita bahawa budaya pencapaian perlu sentiasa disemak agar tidak mengorbankan kesejahteraan anak muda. Apabila kecemerlangan menjadi beban, pendidikan kehilangan rohnya.
Negara memerlukan doktor, pendidik dan profesional masa depan yang bukan sahaja bijak, tetapi juga sihat jiwa dan tubuh. Maka, tugas kita bukan sekadar melahirkan pelajar yang mampu menang dalam peperiksaan, tetapi manusia yang mampu hidup dengan seimbang, beretika dan bermaruah.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Dr Mohd Salami Ibrahim
Pensyarah Pendidikan Perubatan
Fakulti Perubatan
Universiti Sultan Zainal Abidin
E-mel: azrilshahreez@iium.edu.my