Antara teknologi dan amanah, masa depan animasi 2D dengan AI

Gambar hiasan/Penulis

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • AI mempercepat kerja awal animasi, sebagai alat bantu; pelajar kekal mengawal idea dan hasil karya.
  • Integrasi AI menuntut pemikiran kritis, keputusan bertanggungjawab dan pemeliharaan kreativiti manusia.
  • Masa depan animasi milik animator yang tahu bila menggunakan, mencabar atau menolak AI demi nilai dan tanggungjawab.

Bayangkan Aina, seorang pelajar animasi 2D, perlu menyiapkan sebuah projek dalam masa beberapa minggu. Dahulu, dia mungkin menghabiskan berjam-jam mencari idea, membina skrip, menghasilkan lakaran watak dan menyediakan visual awal.

Kini, dengan bantuan kecerdasan buatan (AI), sebahagian proses tersebut boleh dipercepatkan. Dalam beberapa minit sahaja, idea boleh diterjemahkan kepada visual awal.

Tetapi Aina berdepan satu persoalan yang lebih besar iaitu kalau AI boleh membantu menghasilkan karya, di manakah letaknya kreativiti dan tanggungjawab manusia?

Persoalan ini sebenarnya semakin penting dalam dunia pendidikan animasi. Satu kajian dalam Idealogy Journal memperkenalkan model 2D Animation Proposal Development (2DTAP) yang menggabungkan AI dengan pendekatan Human-Centred AI.

Menariknya, kajian tersebut mendapati bahawa kerja-kerja awal seperti mencari idea, menulis skrip dan menghasilkan visual boleh mengambil sehingga 40% daripada tempoh satu semester.

Jadi, AI boleh dimanfaatkan untuk membantu mempercepatkan proses ini, tetapi bukan untuk mengambil alih kreativiti pelajar. Sebaliknya, AI dilihat sebagai alat yang membantu pelajar bekerja dengan lebih cekap sambil mereka kekal mengawal idea dan hasil karya sendiri.

Namun, mempercepatkan kerja tidak semestinya bermaksud menghasilkan karya yang lebih baik. Kajian mengenai integrasi AI dalam pengajian animasi menekankan kepentingan pemikiran kritis, pembuatan keputusan yang bertanggungjawab dan pemeliharaan kreativiti manusia.

Di sinilah konsep amanah menjadi penting. Dalam Islam, teknologi bukan sekadar soal keupayaan melakukan sesuatu, tetapi bagaimana keupayaan itu digunakan.

Penyelidikan tentang etika AI berasaskan nilai al-Quran menunjukkan bahawa amanah berkait dengan tanggungjawab manusia, manakala ihsan menekankan kecemerlangan, kebaikan dan tindakan yang bermoral.

Maka, seorang animator Muslim yang menggunakan AI perlu bertanya lebih daripada “Bolehkah AI menghasilkan imej ini?” Soalan yang lebih penting ialah “Adakah hasil ini benar, bermanfaat, beretika dan sesuai dengan nilai yang ingin disampaikan?”

Perspektif Islam terhadap AI juga menekankan nilai seperti keadilan, akauntabiliti, ketelusan, dan maslahah, iaitu kemaslahatan manusia.

Masa depan animasi 2D mungkin bukan tentang manusia melawan AI. Sebaliknya, masa depan itu mungkin milik animator yang tahu bila perlu menggunakan AI, bila perlu mencabarnya dan bila perlu berkata “tidak” kepadanya.

Teknologi boleh mempercepatkan tangan. AI boleh membantu mencetuskan idea. Tetapi arah karya, nilai dan tanggungjawab masih memerlukan sentuhan manusia.

Ia kerana animasi yang hebat bukan hanya tentang apa yang mampu dihasilkan oleh teknologi, tetapi tentang nilai yang ingin disampaikan oleh penciptanya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Shafinaz Mohammad Niyaz Khan
Pensyarah, Jabatan Multimedia Kreatif
Fakulti Multimedia Kreatif dan Komputeran
Universiti Islam Selangor
E-mel: shafinaz@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.