
SAUDARA PENGARANG
- Penilaian kesiapsiagaan membezakan dari penilaian akademik; fokus pada kesediaan emosi dan sosial anak untuk sekolah formal.
- Tujuan penilaian ialah memastikan masa masuk sekolah sesuai, bukan menolak atau memberi label kekal pada kanak-kanak.
- Pelaksanaan penilaian perlu telus, bukan eksperimen, dan digunakan untuk memberi sokongan serta penjagaan kebajikan kanak-kanak.
Apabila diumumkan bahawa kemasukan murid ke Darjah Satu pada usia enam tahun akan disertai penilaian kesiapsiagaan, reaksi masyarakat segera bercampur-baur. Ada ibu bapa yang melihatnya sebagai langkah berhati-hati, namun tidak kurang juga yang bimbang anak-anak kecil bakal “diuji”, ditekan, atau dijadikan bahan eksperimen.
Perkataan seperti penilaian, saringan dan ujian mudah membangkitkan trauma lama terhadap sistem pendidikan yang terlalu sinonim dengan peperiksaan dan perbandingan.
Kebimbangan ini wajar difahami. Dalam pengalaman ramai ibu bapa, penilaian sering dikaitkan dengan keputusan lulus atau gagal, kedudukan dalam kelas, serta label awal yang boleh melekat lama dalam ingatan anak-anak.
Namun, dalam isu kemasukan murid enam tahun ini, persoalan sebenar bukanlah tentang menilai siapa yang lebih pandai atau siapa yang ketinggalan. Isu utamanya ialah sama ada seorang kanak-kanak benar-benar bersedia untuk berada dalam persekitaran pembelajaran formal yang mempunyai struktur, rutin dan tuntutan tertentu.
Di sinilah pentingnya kita membezakan antara penilaian akademik dan penilaian kesiapsiagaan. Penilaian akademik mengukur apa yang telah dikuasai, seperti kebolehan membaca, menulis atau mengira.
Penilaian kesiapsiagaan pula melihat perkara yang berbeza dan sering tidak kelihatan, seperti kestabilan emosi, kebolehan berinteraksi dengan rakan sebaya, keupayaan mengikuti arahan asas, serta kesediaan mengurus tekanan harian di sekolah.
Dua jenis penilaian ini sering disalah anggap sebagai perkara yang sama, sedangkan tujuan dan kesannya sangat berbeza.
Dalam bidang pendidikan perubatan, logik ini telah lama diterima dan diamalkan. Setiap tahun, ribuan pelajar cemerlang memohon memasuki sekolah perubatan dengan keputusan akademik yang hampir sempurna.
Namun, universiti tidak pernah menganggap kecemerlangan akademik sebagai jaminan mutlak kesesuaian seseorang untuk dilatih sebagai doktor. Sebab itu, kebanyakan sekolah perubatan menggunakan Multiple Mini Interview (MMI) sebagai sebahagian daripada proses kemasukan.
MMI bukan diwujudkan untuk mencari calon yang paling petah bercakap atau paling yakin di hadapan panel. Ia diperkenalkan kerana sistem sedar bahawa terdapat aspek penting yang tidak boleh diukur melalui peperiksaan bertulis semata-mata.
Melalui simulasi situasi, perbincangan berasaskan senario, dan interaksi berperingkat, MMI menilai keupayaan calon mengawal emosi, berkomunikasi dengan empati, membuat keputusan asas, serta bertindak secara profesional apabila berhadapan dengan tekanan. Dalam bahasa mudah, MMI cuba memahami sama ada seseorang itu bersedia untuk dilatih dalam persekitaran yang mencabar tanpa menjejaskan diri sendiri dan orang lain.
Penilaian ini bukan bertujuan menolak calon secara mutlak. Sebaliknya, ia berfungsi sebagai mekanisme membuat keputusan yang lebih berhati-hati. Calon yang menunjukkan kelemahan tertentu tidak semestinya disingkirkan, tetapi dikenal pasti untuk sokongan, bimbingan atau pembangunan lanjut.
Dalam perubatan, membenarkan seseorang melangkah ke persekitaran berisiko tinggi tanpa kesiapsiagaan yang mencukupi dianggap lebih tidak bertanggungjawab daripada memperlahankan langkah dan menyediakan sokongan awal.
Logik yang sama boleh difahami dalam konteks kemasukan murid berusia enam tahun ke Darjah Satu. Tidak semua kanak-kanak berkembang pada kadar yang sama, walaupun mereka sebaya dari sudut umur. Ada yang lebih cepat matang dari segi emosi dan sosial, dan ada yang memerlukan sedikit masa tambahan sebelum bersedia menghadapi struktur formal sekolah.
Menilai kesiapsiagaan lebih awal bukan bermaksud menolak kanak-kanak yang belum bersedia, tetapi memastikan mereka tidak memasuki alam persekolahan terlalu awal sebelum benar-benar mampu menyesuaikan diri.
Dalam konteks ini, penilaian awal lebih tepat dilihat sebagai usaha menentukan masa yang sesuai, bukan ukuran nilai seorang kanak-kanak. Ia memberi ruang kepada sistem untuk bertanya soalan penting sebelum sesuatu langkah diambil: Adakah persekitaran ini sesuai untuk kanak-kanak ini sekarang, atau adakah laluan yang lebih berperingkat akan memberi manfaat yang lebih baik kepada perkembangan mereka?
Tanpa penilaian sebegini, ada kanak-kanak yang mungkin memasuki alam persekolahan sebelum mereka benar-benar bersedia untuk mengurus tuntutan rutin dan struktur formal, lalu berdepan tekanan yang tidak perlu.
Kebimbangan bahawa kanak-kanak akan dijadikan “tikus makmal” perlu ditangani secara jujur dan berfakta. Penilaian kesiapsiagaan yang dirancang dengan baik bukanlah eksperimen. Ia tidak bersifat rawak, tidak memaksa, dan tidak mengabaikan kebajikan kanak-kanak.
Sebaliknya, ia merupakan proses membuat keputusan secara terkawal dan bersyarat, dengan tujuan memastikan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan. Dalam perubatan, eksperimen tanpa saringan dianggap kecuaian. Dalam pendidikan awal kanak-kanak, prinsip berhati-hati yang sama wajar diaplikasikan.
Perbincangan yang lebih penting bukanlah sama ada penilaian ini perlu atau tidak, tetapi bagaimana ia difahami dan digunakan. Jika penilaian ini disalah tafsir sebagai ujian akademik awal, maka kebimbangan ibu bapa adalah berasas. Namun, jika ia digunakan sebagai alat untuk memahami keperluan dan kesiapsiagaan kanak-kanak, ia boleh membantu sistem menyediakan laluan yang lebih sesuai bagi setiap individu.
Sebagai masyarakat, kita juga perlu mengubah cara kita melihat penilaian. Tidak semua penilaian bertujuan mengasingkan yang berjaya daripada yang gagal. Ada penilaian yang wujud untuk memastikan seseorang tidak terdedah kepada tekanan sebelum masanya.
Dalam perubatan, prinsip ini diterima tanpa banyak soal kerana risikonya jelas. Dalam pendidikan awal kanak-kanak, risikonya mungkin kurang kelihatan, tetapi kesannya terhadap emosi, keyakinan diri dan sikap terhadap pembelajaran boleh berpanjangan.
Menilai kesiapsiagaan bukan bermaksud meragui kebolehan kanak-kanak.
Ia adalah pengakuan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai rentak perkembangan yang berbeza. Tanggungjawab sistem pendidikan ialah memastikan mereka melangkah ke alam persekolahan pada saat yang paling sesuai, agar pengalaman awal mereka dengan sekolah menjadi asas yang sihat untuk pembelajaran jangka panjang, bukan sumber tekanan yang boleh dielakkan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Dr Anisa Ahmad
Pensyarah Pendidikan Perubatan
Pusat Pengajian Sains Perubatan
Universiti Sains Malaysia.