Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026: Apa kesannya kepada pengguna?

Foto hiasan/BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemansuhan kaedah 'Rule of 78' digantikan oleh kaedah baki berkurangan, memberi pengiraan faedah lebih adil dan penjimatan untuk penyelesaian awal.
  • Pendedahan Kadar Faedah Berkesan (EIR) diwajibkan supaya pengguna boleh membuat perbandingan kos pembiayaan sebenar antara tawaran.
  • Penggunaan tandatangan elektronik dan dokumentasi dalam talian dipermudahkan, mempercepatkan permohonan pembiayaan dan mengurangkan birokrasi.
  • Institusi kewangan mungkin mengetatkan syarat pinjaman; peminjam berisiko tinggi mungkin sukar lulus atau perlu bayar pendahuluan lebih besar.

Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Jun ini dilihat sebagai antara reform terbesar dalam industri pembiayaan kenderaan di Malaysia sejak beberapa dekad lalu.

Pindaan tersebut dijangka memberi kesan langsung kepada jutaan pengguna, khususnya pembeli kereta dan motosikal yang menggunakan kemudahan sewa beli.

Secara umum, pindaan ini bertujuan meningkatkan ketelusan, memperkukuh perlindungan pengguna serta memastikan sistem pembiayaan menjadi lebih adil dan mudah difahami.

Antara perubahan paling signifikan ialah pemansuhan kaedah “Rule of 78” atau kaedah pengiraan faedah dan kadar keuntungan yang selama ini sering dikritik kerana membebankan pengguna.

Di bawah sistem lama, sebahagian besar bayaran ansuran pada tahun-tahun awal digunakan untuk membayar faedah atau kadar keuntungan berbanding jumlah pokok pembiayaan. Akibatnya, ramai pengguna mendapati baki hutang mereka masih tinggi walaupun telah membuat bayaran selama beberapa tahun.

Melalui pindaan baharu ini, pengiraan akan dibuat berdasarkan kaedah baki berkurangan atau “reducing balance”, yang dianggap lebih adil kepada pengguna.

Ini bermakna pengguna yang membuat penyelesaian awal pinjaman berpotensi menikmati penjimatan yang lebih besar kerana faedah hanya dikira berdasarkan baki semasa pinjaman.

Selain itu, institusi kewangan juga perlu mendedahkan kadar faedah efektif atau “Effective Interest Rate” (EIR) bagi memudahkan pengguna membuat perbandingan antara tawaran pembiayaan.

Sebelum ini, kebanyakan pengguna hanya melihat kadar “flat rate” yang sering menimbulkan kekeliruan kerana kadar sebenar yang ditanggung oleh peminjam adalah lebih tinggi apabila dikira secara efektif.

Pendedahan kadar efektif dijangka membantu pengguna membuat keputusan kewangan yang lebih tepat dan mengelakkan mereka terperangkap dengan kos pembiayaan yang tidak difahami sepenuhnya.

Sebelum ini ramai pengguna melihat kadar “flat rate” 3 peratus sebagai rendah dan murah, sedangkan kadar sebenar yang ditanggung mungkin jauh lebih tinggi apabila dikira berdasarkan kadar efektif.

Sebagai contoh, seorang pengguna mengambil pinjaman kereta RM90,000 untuk tempoh sembilan tahun pada kadar flat 3 peratus. Pada pandangan awal, pengguna mungkin menyangka kadar tersebut hampir sama seperti pinjaman perumahan.

Namun apabila dikira menggunakan kadar efektif, kos sebenar pembiayaan boleh mencecah sekitar 5 hingga 6 peratus setahun bergantung kepada struktur bayaran dan tempoh pinjaman.

Akibatnya, ramai pengguna tidak menyedari jumlah keseluruhan bayaran balik sebenar sehingga mereka menanggung komitmen bulanan untuk tempoh yang panjang.

Ringkasan pinjaman

Melalui pendedahan kadar efektif, pengguna kini boleh membuat perbandingan yang lebih tepat antara tawaran institusi kewangan dan memahami kos sebenar pinjaman sebelum menandatangani perjanjian.

Dalam masa sama, pindaan akta ini turut membuka ruang kepada penggunaan proses digital termasuk tandatangan elektronik dan dokumentasi secara dalam talian. Langkah tersebut selari dengan perkembangan teknologi kewangan dan dijangka mempercepatkan proses permohonan pembiayaan serta mengurangkan birokrasi.

Namun begitu, penganalisis berpandangan reform ini juga boleh memberi kesan tidak langsung kepada pasaran pembiayaan. Apabila keuntungan institusi kewangan daripada sistem lama semakin berkurangan, sesetengah bank mungkin akan memperketat syarat kelulusan pinjaman, khususnya bagi pemohon berisiko tinggi.

Keadaan itu berpotensi menyebabkan sebahagian pengguna menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan atau perlu menyediakan bayaran pendahuluan yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, secara keseluruhan pindaan Akta Sewa Beli 2026 dilihat sebagai langkah positif ke arah mewujudkan sistem pembiayaan pengguna yang lebih telus, moden dan seimbang.

Bagi pengguna, perubahan ini juga menjadi peringatan penting bahawa memahami struktur pinjaman sebelum menandatangani perjanjian adalah sama penting dengan kemampuan membeli sesebuah kenderaan.

Dalam era kos sara hidup yang semakin mencabar, celik kewangan bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

AHMAD YANI ISMAIL
Ahmad Yani Ismail
Pensyarah
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: ahmadyani@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.