
SAUDARA PENGARANG
- Pengorbanan rakyat terlihat dalam pengurangan perbelanjaan, menangguhkan kehendak, bekerja lebih masa demi kelangsungan hidup menghadapi tekanan kos sara hidup.
- Kerajaan mesti beri bantuan bersasar, kawal harga barangan asas dan perkuat penguatkuasaan untuk melindungi golongan rentan serta sektor pertanian dan penternakan.
- Aidiladha mengingatkan budaya berhemat, perancangan kewangan dan solidariti sosial supaya pengorbanan rakyat dihargai dan dasar tidak mengkhianatinya.
Setiap kali tibanya Hari Raya Aidiladha, umat Islam diingatkan kepada kisah agung pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Kisah tentang kepatuhan, keikhlasan dan kesediaan melepaskan sesuatu yang paling disayangi demi tuntutan yang lebih besar.
Pengorbanan itu bukan sahaja simbolik melalui ibadah korban tetapi merupakan falsafah kehidupan yang sentiasa relevan merentas zaman.
Dalam konteks hari ini, semangat pengorbanan itu dapat dilihat dalam realiti kehidupan rakyat yang berdepan cabaran ekonomi yang semakin menekan. Kenaikan kos sara hidup, peningkatan harga barangan asas, ketidaktentuan ekonomi global serta kesan rantaian konflik geopolitik dunia menuntut rakyat melakukan pelbagai bentuk pengorbanan demi meneruskan kelangsungan hidup.
Bagi sebahagian besar masyarakat, pengorbanan hari ini hadir dalam bentuk yang tidak selalu kelihatan, seperti mengurangkan perbelanjaan keluarga, menangguhkan hasrat memiliki sesuatu, bekerja lebih masa demi menampung keperluan, malah ada yang terpaksa mengetepikan impian sendiri demi pendidikan anak-anak dan kelangsungan keluarga.
Ironinya, ketika Aidiladha mengajar tentang berkongsi rezeki melalui ibadah korban, ada juga yang bergelut untuk menyertainya kerana kekangan kewangan.
Golongan penternak turut merasai kesan tekanan ekonomi apabila kos makanan ternakan meningkat, harga lembu korban naik, namun kuasa beli masyarakat pula menyusut. Dalam ruang ini, kita melihat makna pengorbanan berkembang daripada ibadah ritual kepada perjuangan ekonomi rakyat.
Lebih terasa, ramai masih belum pulih sepenuhnya daripada tekanan kewangan pasca Aidilfitri. Perbelanjaan musim perayaan, kos perjalanan pulang ke kampung dan komitmen harian sering meninggalkan kesan berpanjangan kepada ekonomi isi rumah.
Dalam keadaan ini, berbelanja secara sederhana bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan. Namun, pengorbanan rakyat tidak boleh dibiarkan bersendirian.
Kerajaan dan pihak berkepentingan perlu melihat tekanan ekonomi rakyat bukan sekadar isu statistik, tetapi realiti kehidupan yang menuntut penyelesaian konkrit. Bantuan bersasar kepada golongan rentan harus terus diperkasa agar benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.
Pada masa sama, kawalan harga barangan asas serta penguatkuasaan terhadap manipulasi harga perlu diperkukuh.
Sektor yang terkesan seperti pertanian, penternakan, perikanan dan pengangkutan juga tidak boleh dipinggirkan. Kenaikan kos bahan api, termasuk diesel, memberi kesan rantaian kepada nelayan, petani dan akhirnya pengguna. Tanpa intervensi yang berkesan, beban ini akhirnya dipindahkan kepada rakyat.
Aidiladha juga sepatutnya menjadi titik untuk memperkukuh kesedaran tentang budaya berhemat. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, penjimatan bukan lagi retorik, tetapi strategi bertahan. Perancangan kewangan, disiplin berbelanja dan keutamaan terhadap keperluan perlu menjadi budaya, bukan amalan bermusim.
Sesungguhnya, pengorbanan rakyat dalam mendepani cabaran ekonomi adalah satu bentuk jihad kehidupan yang wajar dihargai. Janganlah pengorbanan ini dikhianati oleh kelemahan dasar, ketirisan atau ketidakpedulian.
Aidiladha mengajar bahawa pengorbanan yang ikhlas melahirkan keberkatan. Dalam konteks negara, semangat itu perlu diterjemahkan melalui solidariti sosial, tadbir urus beramanah dan dasar yang benar-benar membela rakyat.
Kerana akhirnya, erti korban bukan sekadar pada sembelihan, tetapi pada kesediaan bersama memikul beban dan berkongsi harapan.
Bak bait puitis lagu legenda negara, Tan Sri P. Ramlee: “Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa…”. Lirik ini terus hidup kerana mengingatkan kita bahawa pengorbanan sentiasa menuntut keikhlasan, dan daripadanya lahir keberkatan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof Madya Dr. Shazleen Mohamed
Fakulti Komunikasi & Pengajian Media
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
E-mel: shazleen@uitm.edu.my