
ULASAN BERITA
- Kuota BUDI95 dikembalikan kepada 300 liter sebulan; Budi Diesel hingga 400 liter, meringankan beban pengguna kenderaan berulang-alik.
- Peruntukan penyelenggaraan sekolah dinaikkan 50% kepada RM1.5 bilion, kerja pembangunan dijangka bermula Januari 2027 merentasi pelbagai jenis sekolah.
- Program AI percuma tiga bulan untuk belia 18–30, akses platform antarabangsa; pelaburan pendigitalan RM1 bilion dan pengembangan Rekod Perubatan Elektronik.
Enam ikhtiar segera yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan hadiah paling bermakna buat jutaan rakyat Malaysia bersempena dengan Hari Kebangsaan ke-69.
Ketika negara masih berdepan cabaran konflik dan geopolitik dunia, ikhtiar itu memberi manfaat merentasi pelbagai lapisan masyarakat.
Ia meliputi subsidi bahan api, penyelenggaraan sekolah, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan kesihatan, e-Invois dan pembiayaan mikro.
Antara yang dinanti-nantikan, kuota asas Budi MADANI RON95 (BUDI95) yang dikembalikan semula pada kadar 300 liter sebulan.
Penstrukturan sementara pada kadar 200 liter sebulan April lalu, merupakan langkah awal dan bersasar bagi memastikan bekalan tenaga negara terus terjamin.
Kini, penambahbaikan inisiatif berkenaan menambahkan lagi kelegaan kepada lebih 16 juta individu yang layak, termasuk mereka yang saban hari berulang-alik ke tempat kerja.
Manakala lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak pula akan menikmati Budi Diesel hingga 400 liter sebulan.
Meski bukan dalam bentuk wang tunai, pengembalian kuota tersebut memberi ruang kepada rakyat menyusun semula perbelanjaan harian.
Pemberian itu hadir ketika ekonomi negara terus positif, dengan suku kedua 2026, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang enam peratus, manakala pelaburan diluluskan dan jumlah dagangan masing-masing mencatat paras tertinggi dalam sejarah.
Tidak hanya itu, peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah dinaikkan 50 peratus, kepada RM1.5 bilion.
Kerja-kerja pembangunan dijangka bermula seawal Januari 2027, melibatkan sekolah kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.
Langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan memastikan setiap murid, tanpa mengira kaum dan latar belakang bawah Kementerian Pendidikan (KPM) terus menikmati persekitaran pembelajaran yang selesa dan kondusif.
Anak muda Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun juga berpeluang menikmati langganan percuma selama tiga bulan bagi meneroka teknologi kecerdasan buatan (AI), melibatkan 100,000 peserta dengan akses kepada platform AI tempatan serta antarabangsa dari China dan Amerika Syarikat.
Program AI untuk Rakyat menjadi batu loncatan kepada pelajar dan usahawan muda menguasai teknologi baharu dan bersedia menghadapi dunia pekerjaan serta ekonomi digital.
Ke arah memperkukuh kecekapan digital sektor awam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan peruntukan tambahan RM350 juta bagi mempercepat pendigitalan perkhidmatan kerajaan, menjadikan keseluruhan dana mencecah RM1 bilion.
Ketika ini projek rintis Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di beberapa klinik kesihatan utama sedang dilakukan menerusi kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM).
Di samping memperluas capaian internet ke 150 hospital dan lebih 2,000 klinik kesihatan awam di seluruh negara, EMR membolehkan doktor mengakses rekod pesakit secara elektronik sekali gus menjimatkan masa menunggu dan mempercepat rawatan.
Dalam usaha memacu sektor perniagaan, pengecualian e-Invois diberikan kepada perniagaan dengan nilai jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta setahun.
Pendekatan pragmatik itu memberi ruang kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menstabilkan aliran tunai, memberi tumpuan kepada pertumbuhan perniagaan serta menyesuaikan operasi tanpa terbeban dengan keperluan pematuhan teknikal pada peringkat awal.
Bagi merancakkan ekonomi peniaga kecil, kemudahan pembiayaan mikro ditambah RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana pada 2026 meningkat kepada RM6 bilion.
Manakala RM200 juta lagi disediakan menerusi Geran Sejahtera MADANI untuk membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta golongan ibu yang berniaga dari rumah.
Angka itu mungkin besar di atas kertas, namun manfaatnya memberi ruang kepada peniaga mengukuhkan perniagaan, menstabilkan pendapatan dan mempergiat ekonomi setempat.
Nyata, enam ikhtiar segera yang diumumkan Perdana Menteri mencerminkan kesungguhan kerajaan memastikan manfaat pembangunan terus dirasai rakyat, khususnya dalam menghadapi cabaran semasa.
Setiap bentuk sokongan membawa kesan berganda, nantikan pula selepas ini pembentangan Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober depan.
Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Firdaus Rusli.