
ULASAN BERITA
- Pemberian bantuan tunai dan sokongan awal persekolahan untuk meringankan beban B40 dan keluarga berpendapatan rendah.
- Peningkatan akses pembiayaan serta dana khusus untuk PMKS, pemandu e-hailing, dan projek infrastruktur tempatan.
- Reformasi institusi termasuk had tempoh Perdana Menteri, pemisahan kuasa pendakwaan, dan RUU Kebebasan Maklumat untuk tadbir urus lebih baik.
Amanat Tahun Baharu yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru baru ini bukanlah biasa-biasa, sebaliknya, penerusan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kesejahteraan rakyat negara ini terus disantuni.
Masakan tidak, Datuk Seri Anwar tiada lagi berbasa-basi, malah terus mengumumkan pelbagai bentuk bantuan reformasi pelbagai institusi
Bermula dengan pengumuman Pemberian SARA bulanan, RM100 hingga RM200 kepada B40 dan miskin tegar, yang akan dikreditkan hari ini, (09/01/2026); serta, bayaran RM100 secara sekali beri kepada warganegara 18 tahun ke atas yang akan dikreditkan seawal 9 Februari depan.
Tahun lalu, ramai yang memberi alasan tidak sempat menebus bantuan berkenaan. Kali ini, kerajaan memberi peluang kedua, kepada 22 juta penerima untuk menikmatinya; oleh demikian tiada lagi alasan tidak sempat untuk menebusnya.
Ia akan dikreditkan pada awal Ramadan dan sambutan Tahun baharu Cina, jadi bolehlah digunakan untuk membuat persediaan bagi menyambut perayaan berkenaan.
Bantuan kepada isi rumah berpendapatan rendah, Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah 2026 Fasa 1, sehingga RM500 juga diberi pada awal tahun agar memberi kelegaan kepada penerima bagi menjalani kehidupan di tahun baru.
Tidak hanya itu, ia ditambah lagi menerusi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 bagi setiap murid, membolehkan golongan ibu bapa yang kurang berkemampuan menarik nafas lega.
Sedikit sebanyak, ia dapat menampung poket yang ‘bocor’ bagi menyediakan keperluan anak-anak bagi sesi persekolahan yang bermula Isnin depan. Bantuan itu juga telah diperluas kepada pelajar Tingkatan Enam demi memastikan tiada lagi isu pelajar keciciran.
BAP bukan sekadar bantuan, ia juga boleh dilihat peluang untuk ibu bapa meningkatkan keterlibatan mereka dengan pihak sekolah.
Tidaklah daripada anak mula belajar sehinggalah mereka tamat persekolahan kelibat ibu bapa langsung tidak kelihatan. Ia boleh dijadikan titik tolak hubungan dua hala yang lebih sihat antara penjaga dan institusi dan warga pendidik.
Dalam usaha memacu ekonomi domestik pula, Perdana Menteri mengumumkan penambahan dana pinjaman mudah sebanyak RM2.5 bilion bagi sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menerusi Bank Negara, selain, skim jaminan pembiayaan PMKS bernilai sehingga RM10 bilion.
Peningkatan peruntukan di bawah TEKUN sebanyak RM500 juta juga membuktikan usaha kerajaan untuk memperluas akses pembiayaan kepada usahawan kecil dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.
Peruntukkan RM800 juta untuk pemandu e-hailing dan p-hailing dengan tambahan RM100 juta yang diluluskan juga sangat membantu golongan pekerja ekonomi gig tersebut. Bantuan tersebut membolehkan realiti sektor buruh baharu diiktiraf dan memberi sokongan kewangan dan perlindungan kepada golongan yang semakin penting dalam segmen baharu ekonomi negara.
RM2.4 bilion peruntukan bagi projek kecil G1 hingga G4 juga akan memberi impak yang positif kepada ekonomi tempatan. Usaha tersebut dapat mempercepat projek-projek membaik pulih dan menaik taraf bangunan kerajaan, serta infrastruktur kemudahan awam seperti sekolah, klinik dan jalan-jalan di desa.
Tidak hanya itu, pelaksanaan invois elektronik juga ditangguhkan setahun lagi, tanpa penalti, memberi kelegaan kepada syarikat dengan nilai jualan tahunan sekitar RM1 juta hingga RM2 juta. Jelas Perdana Menteri, penangguhan tersebut dibuat susulan terdapat sesetengah syarikat yang belum bersedia kerana melibatkan kos yang tinggi.
Sementara itu, pelbagai reformasi institusi yang diperkenal turut membuktikan kerajaan melihat jauh ke hadapan. Antaranya, Rang Undang-Undang mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, mampu mencipta kestabilan demokrasi dan transisi kuasa yang lebih lancar bagi mengelak sebarang krisis.
Reformasi RUU tersebut membolehkan lapisan baharu pemimpin negara dapat digilap dan memastikan Malaysia tidak ketandusan tonggak yang berkualiti.
RUU pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara yang akan dibentang pada sesi Parlimen akan datang pula merupakan isu penting yang perlu diberi perhatian.
Apa yang pasti, RUU tersebut akan menambahbaik sistem perundangan negara terhadap keadilan dan jenayah secara besar-besaran. Sekiranya berjaya dilaksana sepenuhnya, ia bukan sahaja dapat meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan dalam negara, malah tiada lagi isu pendakwaan berpilih.
Apabila imej perundangan kian mengukuh, hal tersebut dapat menarik perhatian lebih ramai pelabur kerana yakin dengan keamanan dan kestabilan negara.
Dalam pada itu, pengenalan kepada RUU Kebebasan Maklumat dilihat dapat mengelak ruang salah guna kuasa dan mencegah rasuah dalam tadbir urus kerajaan, terutama melibatkan tender dan projek.
Kebebasan tersebut bukan sahaja dapat mempertingkatkan kecekapan perbelanjaan awam dan kualiti projek pembangunan, malah mengurangkan ketirisan dalam pentadbiran.
Secara keseluruhannya, perutusan perdana menteri kali ini merupakan pelan induk dan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan reformasi yang dilaung dapat dilaksanakan. Moga, segala perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar agar natijahnya dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat di negara ini.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Ashriq Fahmy Ahmad.