KUALA LUMPUR, 23 Jun- Usaha proaktif dan dasar pelaburan Malaysia yang menggalakkan telah meletakkan negara ini secara strategik dengan baik dalam landskap pelaburan langsung asing (FDI) global, menurut Laporan Pelaburan Dunia 2024 Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD).
Laporan itu, yang dikeluarkan pada 20 Jun lepas, mengetengahkan pelbagai inisiatif strategik yang dicadangkan Malaysia meliputi bantuan dalam mendapatkan permit khusus sehingga sokongan menyeluruh untuk pelabur asing.
Antara lain, Malaysia menerima guna perkhidmatan kemudahan visa khusus untuk pelabur strategik yang dikenal pasti oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Negara ini juga melaksanakan laluan ‘hijau’ untuk pencepatan dan proses dipermudah untuk melancarkan pelaburan.
Negara anggota Asean juga telah membangunkan portal pelaburan dan platform digital untuk e-pembayaran serta penerimaan dokumen dan sijil elektronik, sekali gus menambah baik landskap pelaburan.
“Rantau Asean telah proaktif sejak sekian lama dalam mengguna pakai strategi dan langkah dasar untuk menyokong pelaburan.
“Usaha ini telah ditingkatkan lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin rancak semasa pandemik, dengan peningkatan daripada enam langkah pemudahan pelaburan baharu pada 2019 kepada 28 pada 2020,” menurut UNCTAD.
UNCTAD menjelaskan usaha itu merangkumi pengenalan kemudahan dalam talian, sistem e-aplikasi dan proses pentadbiran yang diperkemas, justeru, mencerminkan komitmen serantau yang teguh untuk mendigitalkan dan mempermudah prosedur pelaburan.
Laporan itu juga mendapati daya tarikan Malaysia diperkukuh dengan peningkatan inisiatif pembangunan mampan yang konsisten.
Menurut Laporan Pelaburan Dunia 2024 perkembangan pasaran kewangan mampan yang pesat telah membawa pertumbuhan selari dengan kewangan mampan negara dalam Kumpulan 20 dan ekonomi membangun terbesar, termasuk Malaysia.
Pada 2023, ekonomi tersebut memperkenalkan 94 dasar dan peraturan kewangan mampan.
Secara keseluruhan, aliran masuk FDI ke Asia Tenggara kekal stabil, dengan peningkatan dalam jualan penggabungan dan pengambilalihan.
Bilangan pengumuman pembangunan baharu melonjak sebanyak 42 peratus, menambah nilai U$62 bilion.
Walau bagaimanapun, peningkatan itu telah dikekang dengan kemerosotan U$64 bilion dari segi nilai perjanjian kewangan projek antarabangsa.
Secara lebih menyeluruh, walaupun pelaburan asing mengalir ke Asia membangun berkurang pada 2023 namun nilainya kekal tinggi pada U$621 bilion.
Benua itu, yang diterajui Asia Timur dan Asia Tenggara, terus menjadi penerima FDI terbesar di dunia, membentuk hampir separuh daripada aliran masuk global.
Di Malaysia, projek terkemuka termasuk perluasan pembuat kereta Malaysia, Proton bernilai U$10 bilion, yang sebahagiannya dimiliki Geely.
Pada 2023, pelaburan langsung asing (FDI) global turun sebanyak dua peratus kepada U$1.3 trilion.
Pada suku pertama 2024, MIDA melaporkan Malaysia menarik RM83.7 bilion pelaburan yang diluluskan, terdiri daripada RM43 bilion atau 51.3 peratus dalam pembuatan, RM39.3 bilion (47 peratus) dalam perkhidmatan dan sektor utama pada RM1.4 bilion atau 1.7 peratus.
Keseluruhan pelaburan yang diluluskan mencatatkan peningkatan 13 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.- BERNAMA