fb fb fb fb fb

Usaha bersepadu kerajaan pacu prestasi ringgit terus mengukuh

FOTO BERNAMA

TUMPAT, 14 Julai - Galakan pendapatan langsung asing daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dibawa balik ke Malaysia serta memantau penukaran hasil eksport dan import merupakan antara usaha bersepadu yang dilakukan kerajaan untuk memperlihatkan prestasi ringgit semakin mengukuh.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yakin dengan usaha bersepadu dan pengurusan fiskal yang efisien itu prestasi mata wang negara pada separuh kedua 2024 akan bertambah baik.

"Alhamdulillah usaha-usaha yang dijalankan berkesan. Kalau kita lihat ringgit sekarang adalah antara mata wang yang terkuat dalam Asia, kalau kita tengok pada Jumaat hari itu ke tahap RM4.67 dan US Dollar kita bezakan mata wang lain dalam Asia kita adalah yang terbaik di Asia," kata Amir Hamzah.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, di sini.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata hingga Khamis lepas, ringgit berada di kedudukan pertama antara negara serantau dengan peningkatan sekitar dua peratus dengan purata harian jumlah dagangan pasaran kewangan meningkat ke AS$17.6 bilion.

TETITIA YUSOFF