fb fb fb fb fb

Tindakan kolektif semua pihak lindungi mata wang tempatan - Gabenor BNM

Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour

KUALA LUMPUR, 20 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) komited untuk mengekalkan keyakinan mata wang ringgit.

Ke arah itu, BNM bekerjasama dengan kerajaan untuk meningkatkan aliran masuk yang akan membolehkan nilai ringgit mencerminkan asas dan prospek ekonomi Malaysia.

Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour menyeru tindakan kolektif semua pihak untuk melindungi mata wang tempatan.

Ini termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), selain sektor swasta.

"Dari sudut usaha bersepadu yang diambil termasuk dari aspek komunikasi, mendekati komuniti perniagaan, pelabur, pengeksport dan pengimport, ini adalah solusi jangka pendek.

"Untuk jangka panjang, reformasi struktur elemen terpenting yang akan menyokong prestasi ringgit," katanya pada sidang media, di sini.

Dalam pada itu, Abdul Rasheed berkata BNM bersedia memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang mampan.

Beliau berkata, operasi tukaran asing dan monetari akan terus memastikan mudah tunai mencukupi dalam pasaran pertukaran asing, wang dan bon kerajaan.

Katanya, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari, (MPC) mengembalikan Kadar Dasar Semalaman ke paras wajar iaitu 2.75 peratus pada Mei 2023, selepas kenaikan empat kali berturut-turut, selari prospek pertumbuhan dalam negara yang berdaya tahan tahun lepas.

"Di sebalik landskap ekonomi yang berkembang, menuju ke hadapan, dasar monetari juga akan berpaksikan data. MPC kekal peka dengan situasi semasa dan kesannya kepada inflasi dan prospek pertumbuhan Malaysia," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN