fb fb fb fb fb

ST lulus 5,297 lesen operasi pengecas EV

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR , 1 Disember – Suruhanjaya Tenaga (ST) telah meluluskan 5,297 lesen bagi pengoperasian sistem pengecas kenderaan elektrik (EV) setakat ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siti Safinah Salleh.

Menurut belliau, daripada jumlah itu, 3,522 merupakan pengecas arus ulang alik (AC), manakala 1,775 adalah pengecas pantas (DC).

Jelasnya, pertumbuhan pemasangan pengecas DC kini meningkat lebih pantas berbanding AC susulan perkembangan teknologi serta kos pemasangan yang semakin kompetitif.

Trend tersebut turut menunjukkan keperluan menilai semula sasaran infrastruktur dalam Pelan Peralihan Tenaga (NETR), selain memastikan ia berkembang seiring pertambahan kenderaan EV.

“Yang paling penting ialah memastikan nisbah antara jumlah kereta EV dan stesen pengecasan sentiasa seimbang, bukan sekadar memenuhi angka sasaran,” katanya ketika ditemui pada majlis sesi libat urus media bersama ST, di ibu negara.

Beliau turut menjelaskan bahawa ST memproses permohonan lesen setiap dua minggu, dengan permohonan baharu masuk secara berterusan. Menandakan pelaburan dalam infrastruktur pengecasan EV kekal aktif dan positif bagi agenda peralihan tenaga negara.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI