KUALA LUMPUR, 18 April- Semakan semula unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini oleh Tabung Kewangan Antarabangsa; IMF adalah sejajar dengan ramalan Bank Negara Malaysia.
Penganalisis ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif berkata, unjuran dari 4.3 peratus kepada 4.4 peratus itu didorong perkembangan faktor dalaman dan luaran.
"Kita masih menyaksikan peningkatan berterusan dalam perbelanjaan isi rumah yg dipacu juga oleh kemajuan dalam pelaburan sama ada bersifat domestik ataupun pelaburan daripada luar dan kita juga lihat bahawa aktiviti perdagangan kembali pulih.
"Bagi ringgit, walaupun kita lihat nampak merudum berbanding dolar, sebenarnya ia menyumbang kepada peningkatan berterusan dalam ketibaan pelancong,"katanya.
Ekonomi China yang berkembang 5.3 peratus pada suku pertama 2024, lebih tinggi dari jangkaan, akan turut mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara.
"Apabila China berkembang ekonominya, ia akan mewujudkan permintaan yang lebih tinggi terhadap barangan dari Malaysia dan itulah yang turut menyumbang kepadad unjuran yang lebig tinggi oleh Tabung Kewangan Antarabangsa dan kita juga melihat pertumbuhan ekonomi lebih pesat berbanding negara-negara di barat,"katanya.
Jelasnya, prospek lebih baik akan turut menyumbang kepada keyakinan pelabur yang lebih tinggi terhadap ekonomi negara.