fb fb fb fb fb

Sektor minyak sawit diunjur kekal positif menjelang 2026

Foto RTM

PETALING JAYA, 27 November - Sektor minyak sawit di Malaysia dijangka terus kukuh pada 2026, disokong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) dan permintaan yang stabil.

Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Datuk Seri Johari Abdul Ghani optimis harga MSM akan terus berlegar melebihi paras RM4,000 untuk satu tan bagi tempoh berbaki 2025 sehingga tahun hadapan.

''Untuk tahun 2026, masih ada dua bulan lagi dan saya jangka harga tidak akan berubah ketara daripada paras ketika ini.

''Setakat ini, kami yakin dengan prospek sektor minyak sawit. Kenaikan harga minyak kacang soya akan mengecilkan jurang harga antara kedua-dua minyak tersebut dan memberi kelebihan kepada minyak sawit,'' katanya selepas majlis Dialog Industri Minyak Sawit Malaysia-China di sini hari ini.

Harga MSM ketika ini melebihi RM4,200 per tan dan lebih tinggi berbanding minyak kacang soya buat pertama kali.

Mengulas mengenai penyusutan eksport minyak sawit Malaysia ke China pula, beliau menjelaskan perkara tersebut berpunca daripada penurunan harga minyak sayuran itu.

''Penurunan harga ini bukan didorong oleh faktor geopolitik, tetapi disebabkan harga minyak sawit yang naik ketara dan konsisten melepasi paras RM4,200. Jadi ini menyebabkan jurang harga yang besar dengan minyak kacang soya.

"Perbezaan harga antara kedua-dua minyak ini sekitar AS$120, jadi sudah tentu pengguna di China memilih untuk menggunakan minyak soya yang lebih murah,'' tambahnya.

Menurut beliau, KPK telah mengaturkan pertemuan antara pembeli dari China bersama pengeluar tempatan bagi mendapatkan minyak sawit pada harga yang lebih baik.

''Saya cadangkan agar pembeli minyak sawit dari China membuat komitmen untuk membeli minyak sawit bagi tempoh satu tahun misalnya, jadi pemberian diskaun boleh dipertimbangkan untuk pembelian itu,'' katanya.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN