fb fb fb fb fb

Ringgit naik ke RM4.04, keyakinan terhadap ekonomi Malaysia meningkat

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 25 Disember - Pengukuhan ringgit yang melonjak ke paras RM4.04 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), paras tertinggi dalam tempoh lima tahun itu mencerminkan peningkatan sebenar dalam asas makroekonomi serta imbangan pembayaran Malaysia.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, pengukuhan itu disokong oleh kedudukan akaun semasa yang semakin kukuh, aliran perdagangan yang lebih stabil serta persekitaran makro domestik yang lebih kondusif.

Menurutnya, prestasi mata wang tempatan itu turut mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan pelabur dan pedagang terhadap ekonomi Malaysia.

"Pendekatan Ekonomi MADANI yang bertujuan menaikkan siling dan pada masa sama mengangkat lantai sudah mula menunjukkan hasil bukan sekadar pada peringkat individu tetapi pada lapisan makroekonomi yang kebiasaannya mengambil masa lebih lama untuk berubah.

"Dasar monetari yang lebih stabil pula menjadi sauh terakhir yang memberikan konsistensi ketika isyarat dasar global masih berpecah-pecah" katanya ketika dihubungi RTM.

Tambah beliau, ketahanan ekonomi domestik turut diperkukuh oleh pasaran buruh yang positif, dengan kadar pekerjaan berada pada paras tertinggi, selain pelarasan gaji minimum yang berterusan.

Katanya, bantuan tunai bersasar yang telah dilaksanakan kerajaan turut menyokong kuasa beli rakyat, sekaligus meningkatkan daya tahan isi rumah tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara.

Mengulas unjuran ringgit menjelang 2026, Mohd Sedek menjangkakan mata wang tempatan itu mengukuh ke sekitar RM4.05 berbanding dolar AS menjelang akhir 2026, disokong oleh imbangan luaran yang lebih kukuh, aliran masuk modal yang berterusan serta kejelasan dasar.

Jelasnya, kestabilan mata wang itu membantu meredakan tekanan inflasi import dan memulihkan keyakinan pasaran, dengan pergerakan ringgit semakin mencerminkan asas ekonomi sebenar Malaysia.

AZRUL FAIZAL JUSOH