KUALA LUMPUR, 15 Januari- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar US berikutan penurunan permintaan terhadap dolar US dipengaruhi oleh data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah dan jangkaan terhadap pelaksanaan tarif secara beransur-ansur, kata seorang penganalisis.
Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.4970/5010 berbanding dolar US daripada 4.5035/5100 ketika ditutup pada Selasa.
Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata bagaimanapun peniaga pertukaran asing (forex) kekal berhati-hati terutamanya dengan IHP AS malam ini dijangka mencatatkan kenaikan yang berpotensi mengukuhkan kekuatan mata wang AS.
“Kebanyakan komuniti berada dalam mod tunggu dan lihat, menjangkakan dasar tarif khusus yang akan diumumkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump minggu depan.
“Tindakan ini (mod tunggu dan lihat) mencerminkan ketidakpastian terhadap taktik perdagangan akan datang pentadbiran dan kesannya terhadap mata wang global,” katanya kepada Bernama
IHPR AS meningkat 0.2 peratus bulan ke bulan pada bulan Disember, kebanyakannya didorong oleh kenaikan harga petrol.
Bagaimanapun teras PPI kekal tidak berubah pada 0.2 peratus bulan ke bulan kerana harga perkhidmatan tidak berubah.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama.
Unit tempatan jatuh berbanding euro kepada 4.6364/6405 daripada 4.6201/6268 ketika ditutup pada Selasa, merosot berbanding pound Britain kepada 5.4949/4998 daripada 5.4839/4918 semalam dan merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8656/8685 daripada 2.8510/8553 sebelumnya.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN yang lain.
Ia turun berbanding baht Thailand kepada 12.9503/12.9682 daripada 12.9500/9739, bagaimanapun meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 275.4/275.8 daripada 276.7/277.3 ketika ditutup pada Selasa.
Ringgit berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.2909/2943 daripada 3.2889/2939, namun melonjak berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.68 daripada 7.68/7.70 sebelum itu. - BERNAMA