KUALA LUMPUR, 1 November - Ringgit dijangka mengekalkan momentum positifnya minggu depan menjelang keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kadar dasar semalaman (OPR) pada 6 November yang dijangka menjadi tumpuan utama.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka diniagakan antara 4.18 dan 4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan.
"Keputusan ini akan memberi lebih banyak gambaran mengenai bagaimana BNM melihat ekonomi dan bagaimana ia dapat membentuk pendirian dasar monetarinya pada masa depan.
"Kami mengunjurkan OPR dikekalkan pada 2.75 peratus memandangkan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan berdasarkan anggaran terkini (pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar) untuk suku ketiga 2025 yang mencatatkan 5.2 peratus," katanya kepada Bernama.
Berdasarkan minggu ke minggu, ringgit mengukuh berbanding dolar AS dengan ditutup lebih tinggi sedikit iaitu kepada 4.1860/1930 daripada 4.2210/2255 minggu lepas.
Mata wang tempatan juga diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.7162/7210 daripada 2.7592/7623, naik berbanding pound Britain kepada 5.5025/5117 daripada 5.6232/6292 dan melonjak berbanding euro kepada 4.8453/8534 daripada 4.9010/9062 ketika ditutup pada minggu lepas.
Mata wang tempatan kebanyakannya bergerak lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN yang lain.
Ia berkembang berbanding dolar Singapura kepada 3.2185/2241 daripada 3.2484/2521, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 251.7/252.2 daripada 254.2/254.6, menokok berbanding peso Filipina kepada 7.12/7.14 daripada 7.20/7.21 tetapi merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9429/9702 daripada 12.8768/8952 sebelumnya.- BERNAMA