fb fb fb fb fb

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, didorong penurunan hasil perbendaharaan AS

Foto fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 November -Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Khamis, disokong oleh penurunan berterusan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang terus menekan mata wang negara maju itu.

Pada 8.03 pagi, ringgit meningkat kepada 4.1295/1395 berbanding dolar AS daripada paras penutupan 4.1315/1385 pada Rabu.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata hasil Perbendaharaan AS terus mencatatkan penurunan, dengan hasil bon 10 tahun susut 4.5 mata asas kepada 4.065 peratus, paras terendah bulan ini dan hampir 10 mata asas lebih rendah daripada paras tertingginya baru-baru ini.

“Sentimen pasaran kekal berhati-hati menjelang pengumuman data ekonomi utama AS yang dijangka minggu depan, susulan kelulusan rang undang-undang resolusi berterusan (CR) oleh Dewan Perwakilan pada malam tadi,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata sekiranya penutupan kerajaan AS berlarutan, ia boleh memberi kesan lebih meluas termasuk kemungkinan kelewatan pengumuman laporan pekerjaan November yang dijadualkan pada 5 Disember serta laporan indeks harga pengguna (CPI).

“Sebarang penangguhan akan menyebabkan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) membuat keputusan kadar faedah bagi mesyuarat Disember dengan maklumat yang jauh lebih terhad daripada kebiasaan, sekali gus meningkatkan ketidaktentuan dasar monetari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pada ketika ini ringgit berada dalam zon terlebih beli.

“Dengan mengambil kira ketidaktentuan mengenai pembukaan semula kerajaan AS, kami menjangka peniaga akan lebih berhati-hati dalam strategi dagangan mereka,” katanya sambil menambah bahawa ringgit dijangka diniagakan dalam julat antara RM4.13 hingga RM4.14 hari ini.

Pada pembukaan, ringgit kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen kepada 2.6669/6736 daripada 2.6681/6728 ketika ditutup pada Rabu, dan menokok berbanding pound British kepada 5.4187/4319 daripada 5.4189/4281 sebelumnya. Namun, ringgit menyusut berbanding euro kepada 4.7857/7973 daripada 4.7801/7882 semalam.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit, bagaimanapun diniagakan bercampur-campur.

Ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 246.9/247.7 daripada 247.1/247.7 ketika ditutup pada Rabu, dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.98/7.00 daripada 6.98/6.99 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit turun sedikit berbanding baht Thailand kepada 12.7564/7956 daripada 12.7068/7346 dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.1712/1791 daripada 3.1683/1742 pada Rabu. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF