fb fb fb fb fb

Ringgit dibuka kekal mengukuh menjelang pengumuman OPR, kadar faedah AS

GAMBAR FAIL/ RTM

KUALA LUMPUR, 5 November - Ringgit diniagakan hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga hari ini ketika tumpuan pelabur terus terarah kepada penilaian semula kadar faedah di peringkat domestik dan di AS.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia dijadual mengumumkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) terbaharu pada esok manakala di AS, pasaran menunggu keputusan Rizab Persekutuan AS mengenai Kadar Dana Persekutuan (FFR) pada bulan depan.

Jurang perbezaan antara FFR dan OPR kekal menjadi faktor utama yang mempengaruhi prestasi ringgit.

Pada 8 pagi, ringgit berada di paras 4.1945/2050 berbanding dolar AS daripada 4.1950/1985 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran menjangkakan MPC mengekalkan kadar OPR semasa manakala AS akan meneruskan pengurangan kadar yang akan mengecilkan lagi jurang kadar pinjaman terbabit.

“Faktor itu serta pembaharuan fiskal berterusan di Malaysia adalah positif kredit bagi negara ini dan secara langsung menyaksikan lebih banyak dana asing berminat terhadap Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII).

“Setakat ini, nisbah terhadap jumlah penutupan bagi bon kerajaan adalah sihat pada 2.6 kali bagi 10 bulan pertama tahun ini berbanding purata 2.2 kali untuk 2022–2024,” katanya kepada Bernama.

Menyentuh prospek dolar AS, beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) terus meningkat ke arah paras 100 mata apabila penutupan kerajaan di Washington kini memasuki hari ke-35.

“Fed dilihat perlu terus mengurangkan kadar faedah, namun pendapat kalangan anggotanya yang bercampur-campur telah mencabar pandangan sedemikian. Ini sebaliknya telah memberi sokongan terhadap dolar AS dalam masa terdekat,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata USDMYR dijangka diniagakan dalam julat kecil sekitar 4.19-4.20 hari ini.

Sewaktu dibuka, ringgit diniagakan kebanyakanya mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Ini termasuk meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4612/4749 daripada 5.4795/4841 pada penutup semalam dan naik berbanding euro kepada 4.8174/8294 daripada 4.8238/8279.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding yen kepada 2.7322/7392 daripada 2.7331/7355 sebelum ini.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.

Unit tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2075/2158 daripada 3.2131/2160 pada akhir urus niaga semalam dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8701/9118 daripada 12.8859/9026.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 251.0/251.8 daripada 251.0/251.4 semalam dan stabil berbanding peso Filipina pada 7.16/7.19 daripada 7.16/7.18, sebelum ini. -BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM