fb fb fb fb fb

Ringgit berpotensi untuk terus meningkat - Lim Hui Ying

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying/BERNAMA

BANDA HILIR, 6 Ogos- Ringgit mempunyai potensi untuk terus meningkat pada masa akan datang.

Peluang itu termasuk prospek pulangan pelaburan disebabkan jangkaan Bank Negara Malaysia yang akan terus mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata ditambah pula, Fed di Amerika Syarikat dijangka akan mengurangkan kadar faedah bermula seawal September nanti.

"Selain itu, kenaikan ringgit ketika ini juga menunjukkan bahawa ringgit yang dianggap terkurang nilai (undervalued) bagi tempoh yang agak lama, mula menunjukkan minat belian dalam kalangan pelabur."

"Keadaan terkurang nilai ini turut menandakan bahawa, ringgit mempunyai potensi untuk meningkat lagi pada masa akan datang," kata Hui Ying dalam ucapannya ketika merasmikan Persidangan Akauntan Sektor Awam Kebangsaan (NAPSAC) kali ke-31, di sini.

Persidangan mengangkat tema 'Memacu Perakaunan Awam untuk Masa Hadapan yang Mampan' itu disertai hampir 600 akauntan sektor awam.

Keyakinan itu juga didorong oleh nilai kenaikan ringgit harian terbesar dalam tempoh sembilan tahun dan cecah paras tertinggi sejak April 2023 yang disokong oleh jangkaan kemasukan besar-besaran dana asing ke pasaran tempatan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM