fb fb fb fb fb

Proton catat jualan 12,230 unit pada September

(FOTO HIASAN/ BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 5 Oktober- Pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd mencatatkan jualan 12,230 unit bagi pasaran domestik dan eksport pada September 2023.

Ia menjadikan jumlah jualan bagi tempoh tiga sukuan pertama tahun ini sebanyak 116,832 unit, peningkatan 14.1 peratus daripada angka pada tempoh sama 2022.

Dalam kenyataan, Proton menjelaskan jualan pada September merosot sebanyak 1,725 unit berbanding pada Ogos manakala, jumlah keseluruhan industri (TIV) turut susut kepada bawah ambang 70,000 unit.

“Pertumbuhan jualan Proton bagaimanapun masih kekal mendahului jumlah pertumbuhan industri sebanyak lebih 3.7 peratus manakala pegangan pasaran juga kekal mendahului angka pada 2022 dan kini berada pada 20.5 peratus, atau 0.7 peratus lebih daripada tahun sebelumnya,” katanya.

Menurut syarikat itu dalam menuju ke suku akhir 2023, empat modelnya terus meneraju segmen masing-masing.

Proton Persona mengakhiri September sebagai sedan segmen B kedua paling popular dengan 2,053 unit terjual namun, kekal sebagai peneraju pasaran bagi tahun ini setakat ini dengan jumlah jualan sebanyak 18,614 unit, 72.6 peratus lebih daripada tahun lepas, jelas Proton.

“Model terbaharu, Proton X90, juga terbukti menarik perhatian pembeli yang mencari SUV (kenderaan utiliti sukan) keluarga premium yang menggunakan teknologi hibrid ringan.

“Kemas kini perkhidmatan telah dilakukan untuk model ini baru-baru ini, justeru,  semua unit di barisan pengeluaran dan pada pelanggan sedang dalam proses dikemas kini,” tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata September merupakan bulan yang tenang bagi industri automotif, yang menyebabkan penurunan dari segi jualan berbanding Ogos.


(Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah)

“Ramai pembeli juga mengambil langkah untuk menunggu dan lihat dengan menjangkakan pembentangan belanjawan negara 2024 pada 13 Oktober dan ini membawa beberapa kesan jangka masa pendek.

“Suasana keseluruhan pasaran bagaimanapun kekal rancak dengan pengenalan baharu diteruskan pada kadar yang mencatatkan rekod,” katanya.


Media Baharu