fb fb fb fb fb

PM Anwar mahu projek ECRL disegerakan

Datuk Seri Anwar merasmikan Majlis Pecah Tanah Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak, yang turut dihadiri Perdana Menteri China, Li Qiang.

KUALA LUMPUR, 19 Jun- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) mempercepatkan pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Beliau berkata projek itu penting dalam memastikan pertumbuhan seimbang di antara kawasan-kawasan kurang membangun, termasuk melibatkan negeri seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu.

“Sebab itu saya nyatakan kepada CCCC dan MRL supaya segerakan pelaksanaan projek ini dan kita akan beri segala kerjasama supaya pesatkan pertumbuhan dan kejayaan projek ECRL.

“Kita juga minta beberapa perhatian termasuk jaminan kontraktor, perunding, pembekal dari syarikat negara dan penyertaan Bumiputera selayaknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak, yang turut dihadiri Perdana Menteri China, Li Qiang.

Setakat Mei lalu, pembinaan jajaran ECRL bernilai RM 50.27 bilion merentasi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor telah mencatatkan 67.08% . 

ECRL sepanjang 665 km yang bermula dari Kota Bharu dan berakhir di Pelabuhan Klang akan melibatkan 20 stesen iaitu 10 stesen penumpang sahaja dan 10 lagi stesen yang menggabungkan pengangkutan barang dan penumpang.

Projek infrastruktur mega yang menjadi bukti hubungan dua hala kukuh antara Kuala Lumpur dan Beijing itu dijangka siap menjelang akhir 2026.

Anwar turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mempercepatkan penyiapan projek itu.

“Saya juga berterima kasih kepada mereka terhadap usaha dalam melatih, memindahkan teknologi dan memberi peluang kepada pemain tempatan untuk didedahkan kepada teknologi terbaharu dan meningkatkan keupayaan mereka.

“Jadi sekali lagi terima kasih kepada semua profesional - jurutera, juruteknik dari China dan Malaysia. Pemimpin boleh merancang, membuat keputusan dan merangka dasar, tetapi kita mempunyai profesional yang komited, teknokrat dan pekerja seperti anda. Anda telah menunjukkan bahawa kita boleh melakukannya dengan lebih berkesan, dan dengan jayanya,” katanya.

Perdana Menteri juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Li, terhadap perbincangan mendalam antara mereka, yang menyentuh pelbagai isu, termasuk perdagangan, pelaburan, infrastruktur, pelancongan, budaya dan pendidikan.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI