KUALA LUMPUR, 12 Disember - Pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia diunjurkan kekal berdaya tahan pada 2025, berada antara 3.2 hingga 3.6 peratus, dipacu oleh pertumbuhan lebih kukuh daripada jangkaan pada Oktober, kata penganalisis.
Menurut Penyelidikan Pasaran Global OCBC, pertumbuhan IPP Malaysia bagi Oktober adalah 6.0 peratus tahun ke tahun berbanding 5.7 peratus pada September sekali gus mengatasi penurunan sederhana yang dijangkakan.
Penyelidikan OCBC itu menjelaskan pemacu utama IPP pada Oktober adalah sektor pembuatan, dengan pengeluaran meningkat 6.5 peratus tahun ke tahun pada Oktober, berbanding 5.0 peratus pada September.
"Kami menjangkakan pertumbuhan IPP kekal berdaya tahan dengan purata 3.6 peratus tahun ke tahun pada 2025 sebelum perlahan kepada 3.0 peratus pada 2026.
"Ini sejajar dengan unjuran kami bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 turun kepada 3.8 peratus tahun ke tahun daripada 4.6 peratus pada 2025," tambahnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) menjangkakan pertumbuhan IPP 2025 bagi Malaysia berpotensi meningkat namun mengekalkan unjurannya pada 3.2 peratus.
Potensi peningkatan itu akan mencerminkan daya tahan aktiviti perdagangan dan pengeluaran seperti yang dicatatkan dalam beberapa bulan lepas.
Bank pelaburan itu turut menjelaskan keadaan tersebut mengatasi kebimbangan awal mengenai kesan daripada peraturan perdagangan yang lebih ketat.
"Sehingga tahap tertentu, peningkatan pengeluaran juga didorong oleh aktiviti pembelian lebih awal oleh kalangan syarikat sebelum pelaksanaan tarif timbal balas yang lebih tinggi.
"Oleh itu, kami menjangkakan normalisasi pengeluaran dan asas yang tinggi boleh menjadikan pertumbuhan IPP lebih sederhana tahun hadapan," menurut nota penyelidikan sama.
MBSB IB bagaimanapun memaklumkan bahawa pihaknya menjangkakan penggunaan domestik semakin meningkat dan aktiviti perniagaan yang semakin rancak akan mendorong pertumbuhan output bagi sektor berorientasi domestik tahun hadapan.- BERNAMA