ANGKASAPURI, 9 November - Pertumbuhan ekonomi Malaysia dilihat berada dalam keadaan yang stabil.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat, pencapaian sekitar 5 peratus hingga 5.3 peratus dalam tempoh suku ketiga adalah realistik dan mencerminkan prestasi kukuh negara sepanjang tahun 2024 ini.
"Ini berdasarkan apa yang dilihat menerusi data-data yang lain seperti eksport, import, indeks pengeluaran indsutri dan sebagainya. Ia jelas menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia ini berada dalam landasan yang betul," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Tambahnya, beliau mengambil pendekatan konservatif dengan meletakkan unjuran tahunan pertumbuhan ekonomi pada 4.9 peratus.
Pendekatan ini mempertimbangkan sikap berhati-hati pengguna dalam berbelanja disebabkan isu kos sara hidup yang masih menjadi cabaran utama.
Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, meneruskan momentum peningkatan kukuh sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua dan 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini.