fb fb fb fb fb

Pertumbuhan ekonomi 5 peratus bukti keyakinan pelabur terhadap Malaysia

Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5 peratus pada suku keempat 2024, mencerminkan keyakinan terhadap dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 14 Februari – Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5 peratus pada suku keempat 2024, mencerminkan keyakinan terhadap dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI dalam usaha mengubah landskap ekonomi negara.

Pertumbuhan itu dipacu oleh dasar progresif yang diperkenalkan sejak 2023 di bawah kerangka Ekonomi MADANI, serta kestabilan politik yang menyokong keyakinan pelabur dan pengguna.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, pencapaian itu adalah hasil usaha bersepadu antara kerajaan dan industri dalam memperkukuh daya saing ekonomi negara.

"Ekonomi negara berkembang berikutan prestasi kukuh dalam penggunaan swasta, pelaburan, jumlah dagangan, serta aliran masuk pelaburan asing yang positif. Petunjuk lain seperti inflasi yang semakin stabil dan kadar pengangguran yang rendah turut menyokong momentum pertumbuhan," menurut kenyataan Kementerian Kewangan.

Menjelang 2025, Kerajaan MADANI komited untuk memperkukuh agenda pembaharuan ekonomi dan institusi bagi melonjakkan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Ekonomi negara diunjurkan berkembang antara 4.5 hingga 5.5 peratus bagi tahun 2025, didorong oleh beberapa faktor utama, termasuk limpahan daripada kitaran menaik teknologi, pelaksanaan pantas projek infrastruktur kritikal dan pemangkin serta aktiviti pelancongan yang lebih rancak.

Di bawah Belanjawan 2025, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) secara kolektif akan melabur RM25 bilion dalam pelaburan langsung domestik untuk tahun pertama daripada lima tahun pelaksanaan Program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEARuP).

Selain itu, peningkatan perbelanjaan pengguna hasil kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam dijangka terus merangsang pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh mendatang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN