KUALA LUMPUR, 6 November – Pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) dijangka membuka peluang strategik kepada perniagaan tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk menembusi pasaran global dengan lebih berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan Amerika–Malaysia (AMCHAM), Datuk Siobhan Das berkata tempoh 60 hari selepas pemeteraian perjanjian pada 26 Oktober lalu perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti perniagaan untuk memahami impak ART terhadap model operasi masing-masing.
Menurutnya, syarikat yang produknya termasuk dalam garis tarif akan menikmati kelebihan daripada pengurangan atau pengecualian tarif, sekali gus berpeluang mengakses pasaran AS dengan lebih kompetitif.
Syarikat perlu meningkatkan kesiapsiagaan dan merancang strategi bagi memanfaatkan peluang tersebut. Bagi syarikat yang tidak termasuk dalam senarai tarif, mereka perlu mencari strategi alternatif untuk mengurangkan kesan terhadap kos dan daya saing
"Perlu diingatkan bahawa, dari beberapa aspek tertentu, kita berada pada kedudukan lebih rendah bergantung kepada negara mana kita bersaing dan di mana persaingan berlaku. Bagi Malaysia kita berada selangkah ke hadapan kerana kita merupakan antara peneraju awal dalam pelaksanaan perjanjian tersebut.
"Ini memberi satu kelebihan dan kepastian kepada negara kita mengenai tahap garis tarif iaitu 19 peratus, dan dari situ, strategi perniagaan boleh dirancang dan dibina dengan lebih baik," katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program Biz Malaysia, di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Dalam konteks PKS, Datuk Siobhan menegaskan perjanjian ART tidak akan menjejaskan syarikat tempatan, sebaliknya membuka ruang untuk mereka meningkatkan kualiti produk, memperluas eksport ke AS serta menjalin kerjasama strategik dengan syarikat antarabangsa.
“Ini adalah cara bagaimana kita bekerjasama dengan PKS Malaysia, bagaimana syarikat Amerika membina hubungan, memperluas ekosistem dan membantu PKS beroperasi mengikut piawaian global,” ujarnya.
Tambah beliau, AMCHAM akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan penuh ART, bagi memastikan lebih banyak perniagaan Malaysia dapat mengambil bahagian secara aktif dalam pasaran pengguna AS, sekaligus memperkukuh hubungan ekonomi dua hala antara kedua-dua negara.