fb fb fb fb fb

Penghantaran pesawat A330neo Malaysia Aviation Group ditangguh

Penghantaran pertama pesawat A330neo kepada Malaysia Aviation Group (MAG), yang sepatutnya diterima pada September lalu, telah ditangguhkan / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Penghantaran pertama pesawat A330neo kepada Malaysia Aviation Group (MAG), yang sepatutnya diterima pada September lalu, telah ditangguhkan.

Menurut syarikat induk Malaysia Airlines itu, pesawat tersebut kini dijangka akan diserahkan selewat-lewatnya bulan hadapan.

"Kelewatan ini berpunca daripada beberapa isu yang dikenal pasti oleh Airbus semasa penyelenggaraan di hangar.

"Akibat penangguhan tersebut, penerbangan sulung pesawat A330neo ke Melbourne yang dijadualkan pada 25 November, serta penerbangan-penerbangan berikutnya, turut terjejas," katanya menerusi kenyataan.

MAG akan kembali menggunakan pesawat A330-300 untuk laluan tersebut tanpa sebarang perubahan pada jadual penerbangan.

MAG menjangkakan akan menerima lima pesawat A330neo menjelang suku pertama 2025, sebagai sebahagian daripada pelan pemodenan barisan pesawatnya.

Sementara itu, perbincangan sedang dijalankan antara MAG, Boeing, dan syarikat pemajak, AirLease Corp, mengenai baki penghantaran pesawat Boeing 737-8 yang turut mengalami kelewatan.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata kelewatan ini telah memberi impak kepada pelan pemodenan syarikat dan pertumbuhan masa depan MAG.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN