fb fb fb fb fb

Pengeluaran getah asli susut 12.8 peratus pada Ogos 2025

Pengeluaran getah asli negara mencatatkan penurunan sebanyak 12.8 peratus pada Ogos 2025/Foto arkib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Pengeluaran getah asli negara mencatatkan penurunan sebanyak 12.8 peratus pada Ogos 2025 kepada 31,285 tan berbanding 35,884 tan pada Julai 2025.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, pengeluaran getah asli turut susut 12.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Sebahagian besar pengeluaran getah asli pada Ogos 2025 disumbang oleh sektor pekebun kecil iaitu sebanyak 86.5 peratus, manakala sektor estet menyumbang 13.5 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, jumlah stok getah asli pada bulan sama turut berkurang 7.3 peratus kepada 158,591 tan berbanding 171,153 tan pada Julai 2025.

Menurut beliau, kilang pemprosesan getah merekodkan sumbangan terbesar terhadap jumlah stok iaitu 82.8 peratus, diikuti kilang pengguna getah (17 peratus) dan estet getah (0.2 peratus).

Dari segi perdagangan, eksport getah asli Malaysia pada Ogos 2025 meningkat enam peratus kepada 39,419 tan berbanding 37,198 tan pada Julai 2025.

China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli dengan sumbangan 39.1 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport, diikuti Jerman (16.1 peratus), Emiriah Arab Bersatu (9.2 peratus), Amerika Syarikat (5.7 peratus) dan Portugal (3.9 peratus).

Prestasi eksport itu didorong oleh produk berasaskan getah seperti sarung tangan, tayar, tiub dan benang getah.

“Daripada jumlah itu, sarung tangan kekal sebagai produk utama dengan nilai eksport RM1.2 bilion pada Ogos, menurun 7.7 peratus berbanding RM1.3 bilion pada Julai 2025,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN