fb fb fb fb fb

Pasaran hartanah Malaysia separuh pertama 2024 melonjak

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying di Pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2024/Foto RTM

KAJANG, 9 September - Pasaran hartanah Malaysia mencatatkan prestasi menggalakkan pada separuh pertama tahun 2024, dengan jumlah transaksi meningkat sebanyak lapan peratus kepada 198,906 transaksi dan nilai transaksi melonjak sebanyak 23.8 peratus kepada RM105.65 bilion.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, jumlah itu merupakan nilai tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Jelasnya, kekuatan pasaran hartanah ini adalah hasil daripada prestasi transaksi yang positif di semua subsektor, disokong oleh pelbagai inisiatif yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 oleh kerajaan.

Beliau juga menekankan bahawa usaha baharu dan projek pemangkin yang dilancarkan oleh Kerajaan MADANI turut memainkan peranan dalam merangsang perkembangan pasaran hartanah.

Antara inisiatif tersebut termasuk penambahbaikan terkini kepada program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dan penubuhan Zon Kewangan Khas di Forest City.

"Prestasi kediaman siap dibina yang belum terjual juga menunjukkan perkembangan yang positif. Jumlah unit kediaman siap dibina yang belum terjual menurun sebanyak 12.3 peratus kepada 22,642 unit, dengan nilai penurunan sebanyak 19.5 peratus kepada RM14.24 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu," katanya.

Lim Hui Ying berkata demikian dalam ucapannya di Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2024 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) di Institut Penilaian Negara (INSPEN).

Beliau turut memaklumkan bahawa prestasi pasaran mengikut subsektor menunjukkan pertumbuhan yang kukuh tahun ke tahun, termasuk subsektor kediaman (6.1 peratus), komersial (22.4 peratus), industri (2.3 peratus), pertanian (6.5 peratus), dan tanah pembangunan (12.1 peratus).

Data awal Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) untuk separuh pertama 2024 menunjukkan paras 218.7 mata, dengan harga purata RM471,918 seunit dan pertumbuhan tahunan sebanyak 0.9 peratus.

Semua negeri mencatatkan pertumbuhan positif sederhana, kecuali Kuala Lumpur yang mengalami penguncupan sebanyak 0.8 peratus.

Trainee